Program Pendayaan Komuniti @ Unimadani! Projek Ternakan Tilapia UPSI perkasa ekonomi golongan asnaf!
Published byDr Md Amin Md Taff menurunkan tanda tangan pada plak perasmian Projek Ternakan Ikan Sangkar (Tilapia) UPSI.
UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, melancarkan Projek Ternakan Ikan Sangkar (Tilapia) UPSI di bawah Geran Program Pendayaan Komuniti Universiti Awam (Komuniti @ Unimadani) pada 17 Januari 2025.
Projek itu adalah sebagai inisiatif memperkasa golongan asnaf dan membantu mereka menjana pendapatan melalui kemahiran keusahawanan serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata projek yang dirasmikan di Tasik Glamping, UPSI Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI itu bertujuan memanfaatkan kepakaran universiti untuk meningkatkan taraf hidup golongan asnaf dalam kalangan pelajar UPSI dan penduduk Muallim.
Jelas beliau, projek itu mencerminkan komitmen UPSI untuk menyokong pembangunan komuniti melalui pemindahan ilmu dan kemahiran serta contoh nyata bagaimana universiti boleh memainkan peranan proaktif dalam membantu masyarakat setempat, khususnya golongan asnaf, untuk mencapai kehidupan yang lebih baik.
Menurutnya, projek itu turut menyumbang kepada usaha kerajaan untuk mengurangkan bilangan belia yang tidak bekerja atau tidak melanjutkan pelajaran.
Dr Md Amin (tiga dari kiri) bersama pengurusan UPSI melepaskan seribu anak ikan Tilapia pada majlis Perasmian Projek Ternakan Ikan Sangkar Tilapia UPSI.
Dr Md Amin berkata demikian pada majlis perasmian Projek Ternakan Ikan Sangkar (Tilapia) UPSI di Tasik Glamping, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UPSI, Prof Dr Abdul Rahim Razalli; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin; Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman; dan Ketua Pustakawan UPSI, Noriha Muhammad.
Beliau berkata, latihan yang diberikan melalui projek itu, termasuk teori dan amali penternakan tilapia, bertujuan melahirkan generasi belia yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi serta mampu menjana ekonomi komuniti.
“Ini seiring dengan aspirasi kerajaan untuk membangunkan masyarakat yang inklusif dan lestari di samping manfaat projek ini tidak terhad kepada aspek sosial tetapi turut memberi peluang ekonomi kepada komuniti.
“Hasil ternakan ikan tilapia bukan sahaja untuk kegunaan
sendiri tetapi juga boleh dikomersialkan, memberikan peluang kepada pelajar dan
penduduk setempat untuk menambah pendapatan. Ini adalah langkah penting ke arah
memperkasa komuniti asnaf secara mampan,” ujarnya.
Projek berkenaan dibiayai melalui geran Komuniti @ Unimadani
dengan sokongan Kementerian Kewangan (MoF), Pusat Pengurusan Penyelidikan dan
Inovasi (RMIC) UPSI, Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV) UPSI serta Pusat
Kokurikulum UPSI.
Projek itu bukan sekadar inisiatif satu kali, tetapi satu langkah yang menunjukkan keprihatinan UPSI terhadap isu-isu yang dihadapi masyarakat. UPSI berharap ia dapat terus berkembang dan memberi manfaat kepada generasi akan datang.
Dr Md Amin bergambar bersama-sama pengurusan tertinggi UPSI dan pengurusan FTV UPSI pada majlis Perasmian Projek Ternakan Ikan Sangkar Tilapia di bawah Geran Pendayaan Komuniti Universiti Awam (Komuniti @ Unimadani) di Tasik Glamping, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.
Sementara itu, Dekan, Teknikal dan Vokasional (FTV) UPSI,
Prof Madya Dr Mohd Azlan Mohammad Hussain, berkata projek itu merupakan
manifestasi kerjasama pelbagai pihak dalam memastikan kesejahteraan komuniti asnaf.
“FTV UPSI berbangga dapat menjadi tulang belakang dalam
pelaksanaan projek ini. Kami memastikan latihan yang diberikan adalah
berstruktur dan relevan, meliputi aspek teori serta amali bagi memastikan
komuniti asnaf dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang ini,” katanya.
Jelas beliau, impak projek berkenaan bukan sahaja dirasai pelajar-pelajar dan penduduk Muallim, tetapi juga membuka ruang kepada
penyelidikan dan inovasi dalam bidang akuakultur.
Menurutnya, projek itu membuka peluang kepada UPSI untuk membangunkan modul pembelajaran dan penyelidikan yang dapat dimanfaatkan pada skala lebih besar. Hasilnya nanti diharap menjadi model terbaik untuk projek seumpamanya di seluruh negara.
“Terima kasih kepada MOF, RMIC UPSI serta pelbagai pihak yang telah memberikan komitmen penuh. Kerjasama ini menjadi bukti bagaimana kolaborasi strategik mampu menjana impak positif kepada komuniti,” ujarnya. - KitaReporters