ALHAMDULILLAH dan bersyukur atas prihatin kerajaan Malaysia Madani.



Itulah ucapan sebahagian besar ibu bapa yang menyambut baik usaha kerajaan memberikan "wang saku" melalui program eBeliaRahmah kepada pelajar yang berusia 18 hingga 20 tahun atau pelajar sepenuh masa di institut pengajian tinggi (IPT).

Pelajar  yang layak itu sudahpun menerima RM200 dalam bentuk kredit e-tunai secara ‘one-off’ yang dibayar pada 26 Jun 2023.

Pemberian wang itu dibuat bersama dengan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 yang sudahpun disalurkan pada 26 Jun 2023.

Fasa 3 STR kali ini membabitan 8 juta penerima dari golongan B40 berjumlah RM2 billion.  

Tempoh pendaftaran dan tuntutan eBeliaRahmah adalah mulai 26 Jun 2023 sehingga 22 Ogos 2023 . 



Sa'adiah Maharop mengucapkan syukur kerana dua anaknya sudah dapat duit eBeliaRahmah itu sambil berkata,"Terima kasih Kerajaan (Malaysia) Madani."

Zuraini Omar Nong dalam satu hantaran dalam Facebooknya, juga bersyukur kerana pemberian berkenaan dan anak-anaknya sudah menikmatinya. Beliau turut mendoakan agar ekonomi negara dapat dipulihkan kembali.

Bagaimanapun ada juga ibu bapa yang "tidak tahu" remaja yang layak memohon sambil bertanyakan,"Umur berapa boleh mohon." Soalan itu kemudian dijawab oleh seorang Netizen lain Aisah Jilang dengan menulis 18 hingga 20 tahun.



M Syafiq Izwan turut bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang memberi bantuan eBeliaRahmah kerana sekurang-kurangnya dia dapat meringankan beban kewangannya sepanjang menjalani latihan praktikal yang bakal dilalui tidak lama lagi.

Begitu juga dengan Abu Abdul Azim yang memberitahu, "Alhamdulillah, RM200 digunakan sepenuhnya membeli barangan keperluan anak nak masuk Matrikulasi. Sedikit sebanyak dapat meringankan beban kos persediaan."

May Twantyn pula secara lucu memberitahu anaknya menggunakan duit eBeliaRahmah itu untuk perbelanjaan harian sementara menunggu gaji masuk!

Sementara itu, Kementerian Kewangan dalam satu hantaran dalam akaun Facebooknya memberitahu penerima wang berkenaan boleh menggunakan kredit itu dengan sebarang transaksi menggunakan e-dompet pilihan atau QR DuitNow di lebih 1.7 juta premis peruncitan dan sektor perniagaan.

Kerajaan menasihatkan penerima eBeliaRahmah jangan terpedaya dengan tawaran tunai oleh sesetengah pihak kerana kredit berkenaan tidak boleh digunakan antaranya bagi pemindahan “peer-to-peer” atau penebusan tunai. 

Sentiasa berwaspada dengan sebarang taktik penipuan oleh scammer yang menawarkan penebusan tunai bagi kredit eBeliaRahmah atau lain-lain tawaran. - KitaReporters


18
8
0
12
0

Copy Link: