Saiful Lizan Ibrahim melihat lebih dekat bot pemintas berteknologi tingg jenis IC 1170CC


Bot pemintas berteknologi tingg jenis IC 1170CC, antara aset terbaru dimiliki Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Pahang dalam menjaga kedaulatan perairan negera khususnya di negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia. 

Timbalan Ketua Pengarah Logistik, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, bot tersebut mempunyai spesifikasi canggih dengan panjang 12.6 meter dan lebar 3.5 meter.

Menurutnya, ia juga dilengkapi dengan enjin berkuasa tinggi yang membolehkannya mencapai kelajuan maksimum 56 knot (103.6 kilometer sejam), manakala kelajuan pelayaran optimum ialah 40 knot (74 km/jam).

Satu knot bersamaan 1 batu nautikal sejam atau 1.85 kilometer sejam.

“Reka bentuk dalaman bot ini telah diubah suai secara khusus bagi memastikan keselesaan serta kelancaran pergerakan kru semasa operasi.

“Tidak kurang juga, ia dilengkapi ‘aluminium trailer’, membolehkannya dipindahkan dengan mudah mengikut keperluan operasi. Pendek kata ia akan memudahkan proses up-slip dan down-slip dalam tempoh segera,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini. 

Dalam pada itu, lebih tampak hebat bot tersebut dibuat berasaskan kejuruteraan moden. Bot ini direka sebagai aset pemintas berkelajuan tinggi yang berupaya beroperasi secara optimum, menjadikannya aset strategik dalam usaha memperkukuhkan keselamatan perairan negara.



Bot kuniaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.


Mengulas lanjut, Saiful Lizan berkata, bot tersebut adalah pinjaman tanpa kos bagi tempoh lima tahun bermula 1 Mac 2025 dan akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk mempertingkat keupayaan rondaan serta operasi penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Ia susulan, bot ini ialah bot kurniaan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menerusi Royal Boat Hangar Johor dan disampaikan dalam satu penyerahan ringkas di Pos Maritim Teluk Gading, Kuala Rompin, Pahang, pada 5 Mac 2025.

Pastinya bot tersebut akan dimanfaatkan sepenuhnya dalam pelbagai operasi termasuk rondaan maritim, Operasi Mencari dan Menyelamat (CariLamat) serta penguatkuasaan undang-undang di laut.

Penyerahan bot ini turut menjadi simbolik kepada komitmen Seri Paduka Baginda dalam menyokong usaha Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan perairan negara berada pada tahap tertinggi.

Kurniaan ini bukan sahaja satu penghormatan buat Maritim Malaysia Negeri Pahang, tetapi juga amanah besar dalam memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara. - KitaReporters


 

14
9
0
16
0

Copy Link: