Tapak untuk dibina bangunan baharu Maahad Tahfiz Masjid Al-Hidayah di Bandar Behrang 2020.


Impian pelajar Maahad Tahfiz Masjid Al-Hidayah, Bandar Behrang 2020 untuk berada di dalam bangunan sendiri berbanding menyewa di rumah kedai seperti sekarang masih tidak kesampaian dan menanti sinaran yang diharapkan akan menjadi kenyataan. 

Mudir pusat tahfiz berkenaan, Ustaz Mohd Hafiezi Hashim, berkata 12 pelajar tahfiz yang berusia antara tujuh dan 14 tahun, terpaksa berteduh dan terus belajar di sebuah rumah kedai berhampiran masjid berkenaan.

“Kami ingin membina sebuah bangunan yang lengkap sepenuhnya dengan kemudahan asas bersebelahan Masjid Al-Hidayah sekali gus merealisisasikan impian anak-anak tahfiz berada dalam bangunan yang lebih selesa,“ katanya.


Ustaz Mohd Hafiezi Hashim menunjukkan kalendar 2025 yang dijual bagi mengumpul dana.


Menurut beliau, pusat tahfiz itu ditubuhkan pada tahun 2014 dengan pengambilan pertama pelajar seramai 40 orang, kini terdapat tiga tenaga pengajar termasuk beliau sendiri menguruskannya dengan pembelajaran diadakan di masjid berkenaan selain di rumah kedai.

Beliau berkata, pelbagai usaha untuk menambah dana dilakukan seperti menjual kalendar dan air minuman, selain mengharapkan sumbangan orang ramai dalam bentuk sedekah serta wakaf namun ia masih belum mencukupi. 

Jelasnya, pihak pengurusan tahfiz masih memerlukan kira-kira RM1. 6 juta lagi untuk pembinaan bangunan yang mempunyai kemudahan asrama dan pentadbiran.

“Justeru, kami sangat mengharapkan sumbangan orang ramai dalam bentuk sedekah, wakaf atau zakat daripada mana-mana individu dan badan korporat supaya jumlah dana dapat ditambah bagi tujuan pembinaan bangunan baharu,” ujarnya.

Kepada mereka yang ingin menyumbang boleh menghubungi Ustaz Mohd Hafiezi Hashim melalui talian 019-5076537 untuk pengesahan atau terus menyumbang menerusi nombor akaun Bank Islam (08068010039681) di bawah nama Maahad Tahfiz Masjid Al-Hidayah Bandar Behrang 2020. - KitaReporters


Pelajar Maahad Tahfiz Masjid Al-Hidayah Bandar Behrang 2020 belajar di sebuah rumah kedai.

10
5
0
6
0

Copy Link: