Video| Megat Jenaris tongkah arus! Novel tak popular! Mahu bentuk gen Madani kenal, kuat jati diri!

Published by
KitaReporters

.



LAZIMNYA penulis muda tidak dapat lari daripada tema cinta melankolia atau paling tidak, kisah kehidupan remaja yang sangat dekat dengan kehidupan mereka kerana ia lebih mudah untuk dijual.

Tapi, Hambali Idrus, 28, yang baru melahirkan novel sulung, ‘Megat Jenaris’, menongkah arus dan sudah bersedia untuk menempuh laluan serta perjalanan yang sukar untuk mencipta nama sebagai penulis asalkan suatu hari kelak dia akan menggapai apa yang diimpikan.

Cita-cita Hambali sangat tinggi dan murni. Dia mahu membentuk generasi Madani yang kenal asal usul dan jati diri mereka melalui penulisan novelnya. 


HAMBALI mengambil masa lima tahun untuk menyiapkan novel 'Megat Jenaris'.


Ikuti wawancara KitaReporters (KR) bersama Hambali (H):

KR: Tahniah Hambali atas kelahiran novel ‘Megat Jenaris (MJ)’. Selalunya, penulis muda seperti Hambali lebih suka menulis cerita ringan yang bersifat popular, kisah percintaan atau alam remaja sebagai jalan selamat dan pintas untuk mencipta nama tapi novel MJ ternyata melawan arus. 

H: Terima kasih. Ya, saya sedar keadaan itu. Setiap penulis mempunyai impian dan matlamat. Saya ingin membina identiti saya sendiri. 

KR: Sebenarnya apakah identiti yang mahu Hambali bina melalui novel ini? 

H: Sejak kanak-kanak, saya sudah terdedah dengan karya-karya sasterawan ulung seperti Kris Mas, Abdullah Husien, Wijaya Mala, Buya Hamka dan ramai lagi. Saya sangat tertarik dengan cara penulisan mereka. Bahasa yang digunakan sangat sedap dibaca dan tema yang dipaparkan tidak lari daripada identiti Melayu. 

Inilah yang cuba saya terapkan dalam MJ dengan mengadunkan sastera klasik, Saya ingin membawa pembaca kepada zaman kegemilangan sastera kita yang penuh seni. 

KR: Tapi, apakah karya-karya sebegitu masih relevan dengan zaman sekarang. Malah, sebagai penulis baharu, tidakkah ia satu langkah yang berisiko. Mengapa tidak Hambali membina nama terlebih dahulu melalui karya-karya ringan sebelum beralih ke arah sastera yang lebih serius. 

H: Saya yakin masih ada kelompok yang meminati corak penulisan sebegitu. Mungkin tak ramai, tapi menjadi tanggungjawab saya untuk mendidik generasi sekarang agar mengenali akar atau susur galur sastera kita dan meminatinya.

Saya mahu generasi muda kita kembali kepada jati diri sebenar mereka dan kepada tradisi serta peradaban Melayu. Saya kena mulakan dari awal karya saya, mungkin penerimaan mereka agak lambat tapi akhirnya mereka akan terima.


PENULIS novel thriller terkemuka, Ramlee Awang Murshid menjadi idola dan ikutan Hambali dalam berkarya. - Kredit foto Sinar Harian.


KR: Apakah Hambali yakin usaha ini akan berjaya?

H: Ramlee Awang Murshid adalah antara penulis yang menjadi idola dan ikutan saya. Pada peringkat awal dahulu, karya-karya beliau pun kurang diberi perhatian kerana ia lari dari galur popular tapi kini peminat tertunggu-tunggu karya terbaharunya.

KR: Berbalik kepada MJ, apakah sebenarnya jalan cerita novel ini?

H: Watak utama novel ini, Megat Jenaris seorang pemuda yang mahu mencari susur galur keturunannya apabila ibu saudara yang membesarkannya kerap menceritakan mengenai kehebatan arwah ayahnya, Pahlawan Saputra.

Dalam kembara untuk menjejaki asal usul dirinya, dia menempuh pelbagai peristiwa termasuk misteri pembunuhan berantai yang dilakukan oleh mahkluk jelmaan. Akhirnya Megat Jenaris berjaya membongkar rahsia makhluk jelmaan itu yang asal usulnya memeranjatkan semua.

KR: Mengapa orang mesti membaca novel ini?

H: Pertama, jika anda pencinta kisah kepahlawanan dan silat, novel ini sangat sesuai untuk mereka yang gemar cerita penuh aksi, seni pertarungan tradisional dan nilai-nilai kepahlawanan Melayu.

Yang kedua, ia sesuai untuk penggemar sejarah dan budaya yang minat kisah tentang leluhur, asal usul ataupun perjuangan terutama untuk mencari jati diri yang sebenar.

Novel ini juga sesuai untuk penggemar novel aksi dan misteri yang mana anda akan dapat merasai pengalaman suspens, ada plot twist dan perjalanan aksi yang mendebarkan. Apa yang penting novel ini sarat dengan unsur-unsur kemelayuan.


HAMBALI mendapat bimbingan daripada penulis berpengalaman, Norden Mohamed.


KR: Berapa lama Hambali mengambil masa untuk menyiapkan novel ini?

H: Lima tahun. Saya memulakannya ketika saya berusia 23 tahun, sekarang saya berumur 28 tahun.

KR: Lima tahun satu tempoh yang lama untuk hasilkan sebuah novel.

H: Ya, kerana saya mahu pastikan ia benar-benar menepati apa yang mahu saya sampaikan.

KR: Adakah Hambali berpuas hati dengan hasilnya?

H: Untuk karya pertama, ya. Tapi, terdapat kelemahan yang perlu saya perbaiki dalam karya-karya seterusnya.

KR: Ada mendapat bimbingan daripada sesiapa?

H: Saya berterima kasih kepada Norden Mohamed yang banyak membimbing saya. Pengalaman beliau dalam bidang penulisan, penyuntingan dan penerbitan novel sangat bermanfaat kepada saya. Beliau adalah mentor saya.

Bagi mereka yang berminat untuk membeli novel ini, sila layari pautan: https://shopee.com.my/Empayar-Pena-Megat-Jenaris-i.1427755583.27921322786 ini. - KitaReporters


20
12
0
14
0

Copy Link: