PERASAAN sedih masih menghantui penduduk di Kampung La, Jerteh, Kuala Terengganu selepas perkampungan mereka teruk di landa banjir apabila air melebihi paras tiga meter dalam kejadian yang berlaku pada awal pagi 19 Disember 2022.

Bagi penduduk yang kehilangan rumah selepas hanyut dibawa oleh arus deras air Sungai La dalam kejadian itu kini hanya mampu merintih kesedihan kerana segala harta benda terbina lebih 40 tahun lalu sekelip mata lenyap begitu sahaja.

Penduduk terbabit yang  kini tinggal sehelai sepinggang dengan menumpang rumah saudara mara selain menyewa homestay dibiayai anak dan dalam proses pascabanjir berharap ada pihak sudi membantu bagi membina semula rumah mereka di tapak asal berkenaan.


Lagi cerita-cerita tragedi berkaitan mangsa-mangsa banjir

Raja Kamarudin Raja Mohamed (kiri) dan Mek Mas salleh disantuni sukarelawan Mohiadin Bahado (kanan), Azman Rasman dan Ustaz Alias Ahmad.


Seorang penduduk yang ditemui, Raja Kamarudin Raja Mohamed, berkata dia dan keluarga bersyukur kerana terselamat dalam kejadian arus deras melanda kampung itu kerana lebih awal berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) pada petang 18 Disember 2022 itu.

Katanya, pada keesokan pagi dia segera pergi meninjua untuk melihat keadaan rumahnya dan terkejut apabila rumah dia sudah lenyap dan hanya tinggal runtuhan simen tangga di bahagian hadapan sahaja begitulah juga nasib rumah saudara mara yang berdekatan.

Menurut jiran beliau, Mek Mas Salleh pula, dia berasa amat sedih apabila melihat rumah pusakanya yang sering dikunjungi anak dan cucu pada musim cuti musnah dibawa arus deras dan hanya tinggal serpihan sahaja.

“Makcik amat berharap dalam proses pasca banjir ini ada pihak sudi membantu membina rumah baharu walaupun tidak sebesar rumah dahulu asalkan selamat untuk di diami dan boleh dikunjungi anak serta cucu,” katanya.


Embong Mamat (berkain pelikat) menceritakan rumah beliau yang dibina lebih 40 tahun lalu musnah dihanyut arus deras.


Seorang lagi penduduk, Embong Mamat, berkata berdasarkan cerita didengari daripada penduduk kampung, rumah dia dan beberapa rumah jiran rosak dan hanyut dibawa arus deras sungai yang datang bersama-sama batang pokok yang tumbang dan sampah sarap.

Jelasnya, dia sendiri pun tidak sempat menyelamatkan banyak barangan kerana sudah terlebih dahulu berpindah ke PPS apabila diarah oleh pihak berkenaan untuk mengelak perkara tidak diingini sebelum arus deras melanda pada awal pagi 19 Disember 2022 itu.


Sebahagian 30 keluarga mangsa banjir di Kampung La, Jerteh, Terengganu merakam kenangan bersama-sama sukarelawan PKMM selepas menerima agihan barangan makanan kering keperluan asas dan senaskhah Al-Quran pada 26 Disember 2022.


Bagaimanapun kesedihan mereka terubat apabila dilawati serta menerima sumbangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia (PKMM) dari Semenyih, Selangor, bersama-sama sukarelawan pelbagai pertubuhan termasuk Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, Selangor pada 26 Disember 2022.

PKMM bersama sukarelawan terbabit adalah dalam misi bantuan banjir di kampung berkenaan untuk membantu membersih rumah penduduk disamping mengagihkan bungkusan barangan makanan kering keperluan asas kepada 30 keluarga yang sudah dikenal pasti oleh pihak berkenaan. 

Menggunakan jentera pengepam air, ahli-ahli NGO terbabit membersihkan rumah penduduk yang teruk diselaputi lumpur tanah liat selain membersih serta menbuang kelengkapan rumah yang rosak digenangi air banjir dan lumpur.


Sukarelawan PKMM terpaksa menggunakan kereta tolak untuk mengangkut keluar lumpur yang menyelaputi rumah seorang mangsa banjir.


Pengerusi PKMM, Azman Rasman, berkata kehadiran mereka ke kampung berkenaan disamping untuk membantu membersihkan rumah juga sebagai menyempurnakan amanah penyumbang serta penginfak yang prihatin dengan nasib mangsa banjir

“Kami bukan setakat menghulurkan sumbangan wang tunai juga pelbagai barangan makanan kering keperluan asas seperti beras, gandum, gula, susu pekat, kicap, sos cili, tomato, bihun, telur masin dan sebagainya bagi meringankan bebanan mangsa banjir,” katanya.


Ustaz Alias memberi motivasi dan kata-kata semangat kepada mangsa banjir sebelum menerima sumbangan daripada PKMM.


Penduduk yang menerima bantuan itu menzahirkan rasa bersyukur kerana masih ada pihak yang tidak putus datang ke kampung berkenaan bagi menghulurkan pelbagai bantuan kepada mereka termasuklah memberi motivasi untuk memulihkan semangat.

“Kami semua ibarat sudah putus asa apabila melihat keadaan rumah yang sebahagian besar diperbuat daripada papan ini diselaputi lumpur dan musnah dipukul arus deras kerana akan mengambil masa berminggu-minggu untuk dibersihkan jika tiada pihak datang membantu.

“Sejak 25 Disember 2022 kami semua dibenarkan pulang ke rumah selepas air banjir surut dan kini terpaksa bertungkus lumus membersih kelengkapan dan persekitaran rumah manakala sumbangan barangan kering makanan ini akan dimanfaatkan untuk seisi keluarga,” kata mereka. - KitaReporters


Banyak kelengkapan rumah seperti tilam terpaksa dibuang kerana rosak selepas digenangi air banjir dan lumpur.

27
15
2
16
0

Copy Link: