Video| Pesanan terakhir Bob Lokman! Taubatlah dahulu sebelum kita mati! Insya-Allah mati dalam insaf!
Published by“BROTHERS (Saudara)… bertaubatlah dahulu sebelum kita mati. Pasal yang kita hidup dahulu Allah tak ambil kira kalau kita bertaubat dan jadi manusia yang baik di sini Allah.. Insya-Allah mati dalam insaf.
“Kalau saya ada dosa, saya minta maaf!”
Itu pesanan terakhir Allahyarham Bob Lokman, 58, yang dititip oleh rakan baiknya yang juga rakan seperjuangan dalam aktiviti kemanusiaan dan dakwah.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kehidupan Bob Lokman
Barangkali pemergian Allahyarham Bob Lokman, petang Jumaat, 23 September 2022 dikenang bukan sekadar sebagai seorang penulis lirik lagu popular atau pelakon terkenal.
Kerana itu masa lampau arwah yang ditinggalkan sudah lama lewat rasa ingin berubah menjadi seorang Muslim yang reda, istiqamah dan dekat dengan Allah.
Hayat-hayat terakhir Allahyarham Bob Lokman sebenarnya dihabiskan dengan kerja-kerja dakwah dan aktiviti kemanusiaan sebelum kudrat jadi terhad gara-gara penyakit jantung yang dihidapi sejak 1998.
ALLAHYARHAM Bob Lokman ketika hayatnya komited dengan aktviti dakwah dan kemanusiaan.
Seorang rakan karib Allahyarham, Zulkilfi Wahijan, 54, yang juga Presiden Muslim Care Malaysia memberitahu, arwah seorang aktivis kemanusiaan dan pendakwah yang komited.
“Selama 11 tahun istiqamah meninggalkan dunia hiburan ketika melafazkan selamat tinggal dalam dunia hiburan sehingga ke hujung nyawanya arwah sentiasa berpesan dan mengajak rakan-rakannya untuk bertaubat,” katanya.
Tambah beliau, arwah juga sejak 2014 juga menjadi penggerak NGO itu yang banyak menghabiskan masa berdakwah dan melakukan aktiviti kemanusiaan di seluruh pelosok tanah air walaupun dengan masalah kesihatannya itu.
PEMERGIAN Allahyarham dirasai semua.
“Kalau ada aktiviti kemanusiaan Muslim Care Malaysia, arwah pasti nak ikut tetapi dalam Malaysia sahaja kerana masalah jantungnya itu.
“Beliau sangat komited sehingga ke Sabah dan Sarawak arwah mahu bersama-sama kami (Muslim Care Malaysia). Kami sangat mengenang arwah sebagai rakan yang baik,” katanya kepada wartawan KitaReporter pada hari ini, Sabtu, 24 September 2022.
Zulkifli memberitahu, Allahyarham terpaksa memperlahankan langkah dalam aktiviti itu setelah masalah jantung semakin buruk pada 2020 apabila beliau terpaksa menjalani pembedahan memasukkan alat Implantable Automatic Cardioverter Defibrillator (IACD) untuk menstabilkan denyutan jantungnya di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah.
“Di sebalik itu, arwah masih mahu berbakti kepada mereka yang memerlukan cuba bantu mereka bersama Muslim Care,” katanya.
Zulkifli turut bercerita tentang permintaan Allahyarham sebelum pemergiannya itu yang meminta beliau membeli minyak sapi Arab.
“Arwah suka masak dan beberapa minggu lepas arwah pesan minyak sapi dari Yemen ini. Khamis (22 September 2022) saya telefon arwah nak pergi ke Kelantan hantar minyak sapi.
“Tengah hari Jumaat pukul 12 saya telefon lagi, isteri arwah cakap dia sedang tidur. Pukul 2.30 petang ketika dalam perjalanan, saya telefon isterinya teresak-esak menangis bagi tahu Haji Bob sudah tak ada.
"Memang terkilan dan kecewa kerana saya dalam perjalanan nak jumpa dan tunai permintaan arwah tetapi tak sempat,” katanya.
Allahyarham Bob Lokman atau nama sebenarnya, Mohd Hakim Lokman dilaporkan meninggal dunia pada pukul 1 petang Jumaat, di kediamannya di Kubang Kerian, Kelantan.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan pada hari yang sama selepas waktu Isyak di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Hilir Kubang Kerian. - KitaReporters