Shahrul balik kampung tanam ubi! Tak kisah jadi petani, penternak! Kini ada 2 ekar ubi kayu Indonesia!

Published by
KitaReporters


Rezeki itu ada di mana-mana tidak kira di bandar atau di kampung. Apa yang penting, kena rajin berusaha tanpa kenal erti putus asa. Kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Namun, tidak dinafikan ramai yang berhijrah ke bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur untuk mencari rezeki. Peluang pekerjaan di bandar dikatakan lebih banyak dan gaji yang ditawarkan juga lebih besar. 

Ya, itu benar tetapi tidak bermaksud tiada peluang rezeki di kampung.

Tidak semua orang berjaya hidup di bandar dan juga sebaliknya. Paling penting, jangan mudah putus asa. 

Ada juga memilih untuk pulang ke kampung kerana sudah jemu atau puas hidup di bandar besar. Memandangkan usia makin meningkat, kehidupan di kampung yang lebih tenang menjadi pilihan. 


Shahrul berhijrah dari bandar ke kampung halaman dan memilih untuk menjadi petani dan penternak.


Begitulah yang dilakukan oleh seorang petani, peladang dan juga penternak, Shahrul Firdaus, 47, yang kini menetap di kampung halamannya di Taman Lamanda, Chini Sentosa, Pekan, Pahang.

Menurut Shahrul, sejak enam tahun lalu (2018) dia mengambil keputusan untuk pulang ke kampung bersama isteri dan anak-anak. Keputusan itu dibuat sementelah dia berasa jemu dan puas tinggal di bandar.

Menurut bapa kepada empat orang anak ini, sebelum itu dia tinggal di USJ, Selangor. Di situ, dia bekerja makan gaji dalam sektor swasta dan kerajaan.


Menanam pokok pisang secara integrasi dengan ubi kayu Indon.


“Rasanya dah tak muda dah, sebab itu saya balik kampung sejak enam tahun lepas. Saya sudah puas tinggal di bandar. Apabila usia makin meningkat, saya pilih nak kembali menetap di kampung untuk mencari ketenangan dan lari daripada kesibukan kota,” luahnya.

Di kampung, Shahrul tidak goyang kaki kerana dia perlu mencari rezeki untuk menyara anak isteri. 

Setelah setahun tinggal di kampung, dia mendapat idea untuk menanam ubi kayu Indonesia (Indon) di hadapan rumahnya. Namun, pada mulanya dia menanam ubi kayu Indon hanya suka-suka dan untuk keperluan keluarga sahaja.

Siapa sangka, daripada suka-suka ia menjadi perniagaan dan sumber rezeki. Begitulah kalau kita berbudi pada tanah, hasilnya pasti kembali kepada kita satu hari nanti.


Tanpa tekad dan kerja keras, Shahrul tidak akan berada di kedudukan sekarang.


“Saya mula tanam di Chini di depan rumah, Taman Lamanda sejak lima tahun lepas. Sekarang dah luaskan kawasan tanam di kebun di Kampung Salong dan Kampung Bukit Udang iaitu kampung bersebelahan.

“Pada mulanya, saya menanam ubi kayu ni untuk makan sekeluarga dan tanam pun dekat kawasan rumah sahaja pada tahun 2019. Saya dapat benih daripada sepupu yang tinggal di Sekinchan, Tanjung Karang, Selangor.

“Alhamdulillah pada hujung tahun 2022, saya mula menanamnya secara integrasi dengan pokok pisang di Kampung Salong, Pekan, Pahang seluas dua ekar. 

"Saya memilih tanaman ubi kayu ini sebabnya mudah untuk jaganya dan tidak memerlukan kos yang tinggi,” ceritanya. 


Pisang yang sudah siap sedia untuk dipasarkan.


Mungkin ada yang masih belum tahu atau tidak pernah mendengar nama ubi kayu Indon. 

Ubi kayu ini khabarnya berasal dari Indonesia. Ia dibawa masuk oleh pekerja-pekerja Indonesia yang bekerja di kebun-kebun sayur di sini. Namun, kesahihan faktanya tidak dapat dipastikan sama ada betul atau tidak.

Pokok ubi kayu Indon bersaiz kecil jika dibandingkan dengan pokok ubi kayu yang kita tanam. Ia ditanam melalui keratan batang dan boleh dituai selepas empat bulan penanaman dengan bilangan ubi yang banyak. 

Ubinya juga kecil dan panjang serta keistimewaannya ia langsung tidak berkayu dan mempunyai tangkai buah yang kecil juga.

Ubi kayu Indon sangat sesuai dibuat tapai kerana ia tidak terlalu empuk atau hancur apabila direbus. Ia juga sesuai digoreng dan dibuat pengat dan dijadikan kerepek ubi. Pucuk ubinya pula boleh dibuat sayuran.


Shahrul juga menternak ikan air tawar secara kecil-kecilan.


Menurut Shahrul, hasil ubi kayu Indon sangat menggalakkan ketika musim tengkujuh. Kalau di luar musim tengkujuh, biasanya dia jualkan kepada pembuat kuih-muih yang berasaskan ubi kayu.

Selain menanam ubi kayu Indon, Shahrul juga membantu bapanya membela lembu dan ayam.

“Ayah saya ternak lembu ni sudah hampir 16 tahun. Saya cuma membantu sahaja sejak saya duduk di kampung. Manakala ayam dan ikan saya ternak secara kecil-kecilan sahaja. Sekadar belajar untuk suka-suka dan bolehlah dapat duit tambahan,” akhirinya. - KitaReporters


Membela ayam secara kecil-kecilan sebagai sumber pendapatan tambahan.

16
15
0
11
0

Copy Link: