Opah Ngomel| Nancy santuni pengamal media wanita! Mahu lebih ramai wanita dalam politik, kepimpinan!
Published byWAH, ramainya wartawan wanita!
Luahan rasa kagum Menteri kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri yang begitu gembira melihat betapa ramainya petugas media hadir dan bersua muka buat kali pertama dengannya dalam Majlis Sepetang Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersama pengamal media wanita di Kuala Lumpur pada 21 November 2024.
Lagi-lagi bertambah gembira dia melihat sudah ada wanita yang memegang jawatan tinggi dalam organisasi televisyen, media cetak dan agensi berita negara ini sejajar dengan hasrat kementeriannya yang mahu melihat lebih ramai kepimpinan wanita diwujudkan bagi dalam pentadbiran politik, ekonomi dan sosial.
Majlis minum petang itu dengan kerjasama Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA) bagi merapatkan hubungan dengan kementerian yang sedang merangka pelan pembangunan kepimpinan wanita dan memperkasakan keluarga serta masyarakat.
Hampir 100 wartawan dalam pelbagai bidang radio, televisyen, agensi berita dan portal berita dalam talian menjadi tetamu. Tiga wartawan mewakili portal KitaReporters.com turut hadir.
Nancy Shukri (dua dari kiri) diapit oleh Fariza Saidin (dua dari kanan), Hariyati Ariffin (kanan) dan Kartini Mohd Noor (kiri).
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KPWKM, Farah Adura Hamidi; Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KPWKM, Chua Choon Hwa, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Abdul Shukor Abdullah; Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Puan Hanani Sapit dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Wan Noraidah Wan Mohd Zain.
Pengurusan tertinggi media yang turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Nur-ul Afida Kamaludin; Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan Media Prima, Farrah Naz Abd Karim; dan Pengarang Berita Kanan Berita Harian (BH) merangkap Presiden PERTAMA, Sariha Mohd Ali.
Okay cantik.... Wartawan tidak mahu melepaskan peluang bergambar bersama Nur-ul Afida Kamaludin (dua dari kiri).
Dalam ucapannya yang menekankan kerajaan mahu memperkasa wanita dalam kepimpinan terutama politik negara, beliau turut memberitahu usaha kementeriannya mahu menukar taraf keluarga penerima bantuan bulan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menjadi usahawan yang boleh berdikari.
Dengan cara itu katanya, taraf "penerima" bantuan kebajikan itu akan bertukar darjat mereka sebagai pemberi sumbangan kepada masyarakat termasuk mampu membayar zakat.
Selama ini penerima elaun kebajikan itu tertumpu kepada membantu mangsa miskin tetapi jika ada ahli keluarga yang berminat berniaga, KPWKM akan menyediakan bantuan modal dan sokongan supaya mereka dapat keluar daripada kedaifan.
Nancy bersama petugas media dari BERNAMA.
Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong Sarawak, berkata pihaknya juga berusaha melobi untuk menambah 30 penyertaan wanita dalam pilihan raya akan datang.
Sebagai permulaan seramai 25 tokoh wanita akan mendapat geran dalam Program Perantis Kepimpinan Wanita (PERANTIS) 2024 bagi membiayai program yang sudah dikenal pasti.
Sebanyak RM5 juta disediakan untuk PERANTIS itu yang akan menerima peruntukan pada hujung bulan ini. Mereka dipilih daripada 4,000 penyertaan oleh panel yang dianggotai pakar kewangan dan penerajui ekonomi negara.
"Selain itu, kita juga mahu mengembalikan keceriaan dalam rumah tangga, terutama membantu pasangan berkahwin lepas lima tahun melakukan berbulan madu untuk kali kedua, memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan anggota masyarakat, melahirkan remaja berfikiran kritikal dan mengatasi masalah penurunan kelahiran serta membantu pasangan mendapatkan anak melalui bantuan khusus," katanya lagi.
Nancy (tengah) diapit oleh AJK PERTAMA dan Presidennya, Sariha Mohd Ali (empat dari kanan)
Presiden PERTAMA, Sariha Mohd Ali pula memberitahu persatuan itu adalah yang tertua di negara ini untuk memayungi wartawan wanita. Ia diasaskan pada Januari 1971 oleh Allahyarhamah Azah Aziz atau nama sebenar Sharifah Azah Syed Mohammad Alsagoff.
PERTAMA dalam kempennya memerangi gangguan seksual dalam kalangan pengamal media wanita turut mengedarkan plak dalam empat bahasa Melayu, Cina, India dan Inggeris yang disampaikan oleh Nancy kepada 20 wakil media.
"Kita bertugas di luar dan berhadapan dengan banyak pihak, memang tidak dinafikan ada juga ahli-ahli media yang menghadapi gangguan seksual.
"Perkara ini seharusnya tidak berlaku sebab kita sebagai barisan hadapan, kita tahu benda ini adalah satu kesalahan yang tak perlu dilakukan.
"Jadi kita sama-sama beringat tindakan sedemikian boleh didakwa dan kita sebagai golongan media akan sebarkan maklumat seperti ini untuk pengetahuan orang ramai," katanya lagi.
Tahniah pemenang cabutan bertuah.
Sariha juga mencadangkan agar KPWKM mewujudkan tabung kebajikan khas bagi membantu petugas media termasuk ahli PERTAMA yang kurang bernasib baik atau yang berdepan dengan masalah kesihatan.
Beliau turut mencadangkan diwujudkan insurans khas untuk petugas media wanita dengan skim lebih menarik.
Nancy kemudian membalas cadangan itu dengan mengatakan idea itu akan diperhalusi lagi. - KitaReporters
Portal dalam talian, Kitareporters dapat satu plak.
Nancy bergambar bersama wakil agensi media yang menerima plak pada Majlis Sepetang Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersama pengamal media wanita Malaysia dengan kerjasama Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA). - Foto NSTP/Asyraf Hamzah