.


Abadikan gambar-gambar menarik mengenai Bandar Warisan Taiping dalam sebuah album. 

Begitulah yang dilakukan oleh Pusat Khidmat Ahli Parlimen Taiping bagi merealisasikan keunikan, kebudayaan dan masyakarat di bandar bersejarah ini.

Bagi tujuan itu sebuah album yang diisikan dengan gambar-gambar berwarna mengandungi gambar bangunan, Taman Tasik Taiping, nelayan di Kuala Sepetang, dapur arang di Kuala Sepetang dan kesenian masyarakat telah ditampilkan di dalam album tersebut.

Ahli Parlimen Taiping Wong Kah Wah berkata, pihaknya telah mendapatkan gambar-gambar tersebut untuk koleksi dengan menganjurkan satu pertandingan fotografi pada tahun ini (2024).

Beliau berkata, gambar yang memenangi pertandingan dan yang menyertainya dimasukkan di dalam album berkenaan.



“Gambar yang diambil itu mempunyai keunikan dan cerita yang tersendiri kerana bandar warisan ini mempunyai keunikan yang tersendiri.

“Kita buat album dan koleksi ini akan dijadikan hadiah kepada rakan-rakan dari luar negara dalam versi Bahasa Melayu dan Cina supaya ia dapat memperkenal bandar Taiping pada peringkat antarabangsa,” katanya pada majlis Pelancaran Album Koleksi Gambar Ulang Tahun Ke-150 Bandar Taiping 2024 di Rentree Walk di Taman Tasik Taiping pada 14 Disember 2024.

Kah Wah yang juga Timbalan Menteri Pendidikan berkata, sebanyak 150 naskhah hardcover (kulit keras) dan 1,500 naskhah kulit nipis telah dicetak.

Katanya, keunikan bandar Taiping, termasuk Taman Tasik yang tertua di negara ini, sentiasa menjadi daya tarikan.

“Oleh kerana itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntuk dana sebanyak RM10 juta untuk memasang sistem pencahayaan dan menaik taraf laluan pejalan kaki di Taman Tasik Taiping.

“Selain itu, dipastikan juga pokok hujan-hujan yang berusia di antara 130 hingga 140 tahun dipulihara bagi memanjangkan hayat pokok itu yang menjadi ikon kepada taman ini,” katanya lagi.



Sementara itu, tiga jurugambar dinobatkan sebagai pemenang dalam pertandingan tersebut. 

Mereka ialah Ong Chen Chean dari Perak dengan gambar Dragon Incense Factory; Ngo Kok Foong dari Perak dengan gambar Semarak Taiping 150 - Menara Jam dan Lin Joe Yin dari Selangor dengan gambar Taman Tasik Taiping.

Pemenang pertama, kedua dan ketiga masing-masing menerima sijil dan wang tunai RM5,000, RM2,000 dan RM1,000. - KitaReporters

9
14
0
9
0

Copy Link: