Lagi beberapa hari lagi kita akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-67 Malaysia yang dikasihi dan dicintai. 

Banyak acara dirancang. Perarakan dan sambutan besar-besaran akan diadakan di Putrajaya pada 31 Ogos 2024 ini. Rakyat di ibu kota akan dapat menyaksikannya secara live sementara yang jauh akan menontonnya dari kaca televisyen. 

Pertandingan pakaian beragam kanak-kanak bertemakan hari kemerdekaan diadakan di sekolah, tadika dan taska. Sementara pertandingan membaca puisi kemerdekaan turut mendapat tempat. 

Seluruh negara diminta memasang bendera.. Baik di kediaman sendiri, bangunan pejabat dan premis perniagaan serta kenderaan semua memastikan Jalur Gemilang berkibar megah. 



Lalu teringat saya pada zaman persekolahan. Kami diberi sehelai bendera kecil. Disuruh cikgu cari buluh atau ranting kayu untuk memasang bendera tersebut. 

Seronoknya bila dapat bendera. Balik rumah ajak kawan-kawan jalan masuk kampung cari buluh halus. Paling Tidak ranting kayu yang sesuai. 

Balik rumah duduk beramai-ramai atas pangkin yang kini dipanggil wakaf membersih buluh atau ranting .. potong ikut saiz yang sesuai. 

Mak pun turut bantu siapkan gam dari tepung ubi kayu. Dulu tidak ada gam macam sekarang. Kena masak tepung ubi kayu sampai pekat. Itulah gam original dulu-dulu. 

Dulu Jalur Gemilang dibuat dari kertas.. Kena hati-hati semasa hendak dilekatkan pada buluh atau ranting kayu. 

Kerjanya mudah. Buat beramai-ramai lagi meriah.. maklum la. Zaman kanak-kanak yang penuh nostalgia dan kekal dalam ingatan sampai bila-bila. 

Bendera inilah yang dibawa ke sekolah untuk sambutan Hari Kemerdekaan peringkat sekolah. 

Perayaan ringkas peringkat sekolah. Berarak sekitar sekolah sambil mengibar Jalur Gemilang dan menyanyi lagu Berjaya antara lagu patriotik yang menjadi kegemaran rakyat pada masa lalu. 

Selesai semua, diadakan juga pertandingan membaca sajak, menyanyi lagu patriotik dan lain-lain. Pendek kata meriah cara dulu-dulu. 

Tidak mewah sambutan seperti sekarang, tapi semangat tetap menyala. 



Sambutan hari kemerdekaan antara acara yang ditunggu-tunggu. Kemuncak acara peringkat kebangsaan paling ditunggu. Hari kemegahan kita rakyat Malaysia pelbagai bangsa dan agama. 

Dengan tema “Jiwa Merdeka, Malaysia Madani,” untuk 2024 diharap sambutan kali ini menjadi pemangkin kepada kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Malaysia keseluruhannya. 

Jiwa Merdeka menggambarkan kebebasan rakyat Malaysia daripada elemen negatif. Menekankan semangat patriotisme dan cinta negara. Melibatkan aspek pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi. 

Membentuk satu kesatuan rakyat yang kukuh, harmoni, dan progresif. Menyatukan hati dan teguh pada jati diri negara.

Semoga tema yang penuh kata-kata semangat ini akan menjadikan kita lebih menghargai tanah air yang dicintai dan menjunjung kedaulatan Malaysia di persada dunia. 

Salam Hari Kemerdekaan 2024. - KitaReporters


15
12
0
12
0

Copy Link: