“IBARAT suatu rahmat kepada komuniti setempat apabila ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuka pusat jagaan di tempat mereka bagi menjaga dan mengurus warga emas tersisih daripada keluarga bagi meneruskan kelangsungan hidup.

“Malah adalah wajar bagi komuniti di tempat yang dibuka pusat jagaan ini untuk turut terbabit membantu atau meringankan tugasan menyantuni warga emas berkenaan kerana tindakan sedemikian umpama menjaga ibu bapa sendiri,” kata Ketua Kampung Sungai Purun, Semenyih, Selangor, Kamaruzzaman Samad.

Beliau berkata, amat besar pahala yang dapat kita kongsi dengan petugas sukarelawan di pusat jagaan berkenaan apabila terpaksa memikul tanggungjawab dengan jujur serta ikhlas untuk menyantuni warga emas terbabit walaupun bukan ibu bapa atau darah daging mereka.


Kamaruzzaman Samad (kanan) dan  Mohd Yunus Mahood bertanya khabar seorang warga emas di PJMM.


Menurutnya, bukan suatu yang mudah untuk menjaga dan menguruskan warga emas terbabit terutama apabila ada antara mereka sudah uzur serta terlantar di atas katil kerana pelbagai penyakit dengan memerlukan perhatian setiap masa.

Tambahnya, dalam hal sedemikian, penduduk seperti sekitar Kampung Sungai Purun termasuk persatuan sukarelawan dan NGO yang ditubuhkan boleh datang membantu dengan menjadikan salah satu aktiviti amal kebajikan serta kemasyarakatan.

“Mereka tidak perlu datang setiap hari sebaliknya dengan membuat jadual kunjungan berkumpulan bersama-sama ahli seperti seminggu sekali supaya dapat membantu meringankan tugasan petugas di pusat jagaan terbabit,” ujarnya lagi.


Ustaz Baharudin Ali Abdul Wahab (kiri) mengajar Muhammad Saif Yusuf Abdullah atau Lew Kang Fatt mengucap dua kalimah syahadah.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1446H, Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di kampung berkenaan pada 18 September 2024. 

Turut hadir pada majlis itu Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Sungai Purun, Mohd Yunus Mahmood; Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado; Setiausaha serta Pengurus PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin dan Sazali Mohiden.

Turut hadir memeriahkan majlis itu ahli Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA’24), Sukarelawan Kasih, Hospital Kajang, Hospital Ampang, Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan ahli JPKK. 

Majlis itu dimulai dengan perarakan sambil berselawat bersama-sama warga emas, berzanji serta marhaban oleh sukarelawan PJMM, penceritaan sejarah memeluk agama Islam oleh mualaf Zizan Abdullah, tazkirah yang disampaikan mantan Kaunselor Hospital Kajang dan HKL, Nuriza Zakaria.


Warga emas, sukarelawan dan tetamu jemputan berarak sambil berselawat sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1446H Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, di Kampung Sungai Purun, Semenyih, Selangor pada 18 September 2024.


Sempena sambutan maulidur itu juga diadakan majlis pengislaman warga emas, Lew Kang Fatt yang memilih untuk menganuti Agama Islam dan menukarkan nama kepada Muhammad Saif Yusuf Abdullah yang disempurnakan oleh Eksekutif Baitulmal Majlis Agama Islam Daerah Hulu Langat, Selangor, Ustaz Baharudin Ali Abdul Wahab.

Kamaruzzaman yang juga Pengerusi JPKK Sungai Purun, berkata penduduk kampung itu yang datang berkunjung ke PJMM boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti senamrobik, gotong-royong membersih persekitaran, memasak untuk makan tengah hari umpamanya di samping melakukan program berbentuk hiburan bagi menggembirakan hati warga emas.

Tambahnya, sebagai memikul tugas Ketua Kampung dan Pengerusi PJKK dia amat memahami keperluan dan cabaran terpaksa dihadapi petugas dalam menyantuni warga emas bawah jagaan mereka kerana pelbagai masalah terpaksa ditempuhi.


Sukarelawan dan pengurusan PJMM merakamkan kenangan bersama Kang.


Jelasnya, manakala pihak pengurusan PJMM pula terpaksa sentiasa berikhtiar setiap hari mencari dana, sumbangan pelbagai barangan keperluan asas harian bagi membiayai kos operasi kerana yang berlindung di situ tidak dikenakan sebarang bayaran.

Menurutnya, dia bersama Mohd Yunus dan ahli JPKK lain turut mengikuti perkembangan operasi PJMM dan akan berusaha menghulurkan bantuan yang diperlukan terutama dalam penyediaan kemudahan asas, kelengkapan dan sebagainya demi keselesaan warga emas di pusat itu.

“Saya berharap apa yang dilakukan ini menjadi contoh dan teladan terbaik kepada penduduk yang paling penting bersangka baik kewujudan PJMM di komuniti mereka,” katanya. - KitaReporters

12
7
0
11
0

Copy Link: