Jangan hukum anak tak sah taraf! MAZA rayu ahli-ahli agama!
Published byMUFTI Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (MAZA) menerusi laman Instagramnya merayu agar golongan agamawan untuk mempertimbangkan tentang kedudukan anak tak sah taraf atau anak luar nikah yang biasanya dibinkan atau dibintikan dengan nama Abdullah dan bukannya nama bapa kandung mereka. : KitaReporters
Lagi cerita-cerita berkaitan
Sebelum itu, apa kata kita fahami apakah yang dimaksudkan anak tak sah taraf ini dari sudut Islam.
Anak tidak sah taraf atau anak luar nikah ialah anak yang lahir hasil daripada hubungan seks sebelum perkahwinan yang sah.
Sebagai contoh, jika pasangan lelaki dan perempuan bersekedudukan sama ada lama atau sekejap kemudian mengandung maka anak yang dikandung itu dianggap anak tidak sah taraf walaupun anak itu lahir dalam perkahwinan yang sah.
Ini bermakna benih-benih kandungan yang terjadi sebelum
kahwin tapi dilahirkan dalam tempoh perkahwinan, maka anak itu tetap dianggap
anak tidak sah taraf.
Anak orang Islam yang dilahirkan di luar ikatan
perkahwinan atau tidak sah taraf, tidak boleh dibinkan atau dibintikan dengan nama
bapanya. Kebiasaannya anak tak sah taraf akan dibinkan atau dibintikan dengan nama
Abdullah (hamba Allah).
Berbalik kepada saranan dan rayuan Dr Asri tadi, menurut beliau sering menerima surat-surat daripada orang ramai terutama anak tak sah taraf yang tertekan kerana malu apabila nama ayah tidak sama dengan adik-beradik yang lain.
Masalah yang sering dihadapi anak tak sah taraf dan ibu bapa yang mempunyai anak seperti ini.
Menurut Dr Asri, Islam adalah agama yang menutup sebaik
mungkin keaiban peribadi apatah lagi untuk menghukum anak-anak yang tidak
bersalah.
Berikut adalah penjelasan Dr Asri mengenai masalah
dan dilema yang dihadapi anak tak sah taraf apabila dibinkan atau dibintikan
dengan nama Abdullah.
“Sejak dahulu, boleh dikatakan saban minggu saya
menerima surat-surat yang seperti ini. Islam itu sifatnya merahmati dan
memberikan peluang untuk manusia membaiki diri. Islam menutup sedaya mungkin keaiban
peribadi. Apatah lagi, Islam tidak akan menghukum anak-anak yang tidak
bersalah.
“Dalam fekah khususnya dalam urusan kehidupan ada
banyak pandangan mujtahid. Kita tidak wajar memilih pendapat yang jika
dilaksanakan akan menjadi bebanan dan menghukum insan-insan yang tidak berdosa.
“Mungkin pendapat-pendapat tersebut tidak membebankan pada zaman tertentu. Namun, ada pendapat yang mungkin menjadi lemah apabila zaman berubah. Kita hidup pada zaman pendaftaran bertulis, pasport, kad pengenalan, kewarganegaraan tertentu, sijil dan lain-lain ini.
“Ia mungkin berbeza dibandingkan zaman di mana manusia boleh menasabkan kepada kabilah, tempat, keadaan, boleh berpindah tanpa perlu kad pengenalan dan pasport, boleh bersekolah tanpa perlu kad pengenalan atau surat kelahiran dan seterusnya,” tulis Dr Asri.
Dr Asri menyarankan agar golongan agamawan mencari ikhtiar untuk membantu anak tak sah taraf.
Justeru, Dr Asri mencadangkan agar memilih
fatwa-fatwa ulama yang sesuai untuk diguna pakai dengan zaman kini kerana
terdapat ratusan ribu yang berhadapan dengan masalah ini.
Jadi, beliau memohon simpati daripada golongan
agamawan yang telah mengeluarkan fatwa dan pendapat dalam masalah ini.
“Mungkin kita merasa diri kita sempurna dan ingin
menghukum pendosa sepanjang hayat mereka. Soalannya, apakah itu yang disuruh
oleh Allah SWT dan Rasul-Nya?
“Apakah benar terhukum pendosa atau kita menghukum yang tidak berdosa dan telah bertaubat daripada dosa. Mengapa tidak kita memilih fatwa-fatwa ulama seperti 'Urwah bin al-Zubair, Hasan al-Basri, Muhammad bin Sirin, Sulaiman bin Yasar, Ishaq bin Rahuyah (Rahawaih), Ibrahim al-Nakhai, Abu Hanifah, Ibn Taimiyah, Ibn Qayyim (secara hujah), Dr Yusuf al-Qaradawi dan ramai lagi yang membenarkan dibinkan kepada bapa biologi (kandung) sekalipun kurang enam bulan atau anak zina?
“Dilaporkan lebih 500,000 yang menghadapi masalah ini. Mohon simpati daripada golongan agamawan yang mengeluarkan fatwa dan pendapat dalam masalah ini,” rayu Dr Asri.
Tegas Dr Asri, di Perlis sudah lama dikeluarkan
fatwa anak tak sah taraf boleh dibinkan atau dibintikan dengan nama bapa kandung
atau suami kepada ibu anak tersebut.
“Alhamdulillah, Perlis sejak 2008 telah pun
mengeluarkan fatwa ‘anak yang lahir kurang dari enam bulan selepas ibunya
berkahwin, boleh dibinkan kepada suami ibunya, kecuali jika dinafikan oleh si
suami’.
“Tidaklah ingin mengajar pihak lain, tapi sekadar
mengajak bersimpati dan memberikan peluang untuk orang lain meneruskan
kehidupan,” ujar Dr Asri.
Sementara itu, netizen turut bersetuju dengan
pendapat dan saranan Dr Asri berkenaan anak tak sah taraf ini.
“Setuju Datuk. Tak wajar anak-anak menanggung beban malu akibat kesilapan masa lalu ibu bapanya. Situasi mungkin jadi bertambah parah jika si anak tidak sah taraf lari dari rumah, ambil dadah, bunuh diri, murtad dan lain-lain akibat dasar pejabat agama,” tulis salah seorang netizen.
Netizen berstuju dan menyokong saranan yang telah dikemukankan oleh Dr Asri berkenaan anak tak sah taraf.
Semoga saranan dan rayuan Dr Asri dapat
dipertimbangkan dan dalam masa yang sama, masyarakat juga dapat memainkan
peranan agar tidak memandang serong terhadap anak-anak tak sah taraf yang
membuatkan mereka rasa tertekan dan malu. - KitaReporters