Tolong kami! Moh bantu ibu tunggal 7 anak, Adicky Dzuliana!
Published byIBARAT kata orang-orang tua iaitu 'patah kandar', jika sebelum ini suami menjadi tempat isteri serta anaknya bergantung, namun keadaan itu berubah sekelip mata selepas pasangannya itu dijemput Ilahi. Hakikatnya, inilah yang dihadapi seorang ibu tunggal, Adicky Dzuliana Ab Rahman, 37, selepas suaminya, Norhisam Adun meninggal dunia awal tahun 2020 dalam usia 59 tahun akibat serangan jantung. : KitaReporters
Adicky Dzuliana Ab Rahman bersama anak-anaknya (tidak kelihatan dalam gambar seorang lagi sedang tidur) yang menginap di rumah sewa bernombor No. 20, Lorong Gemilang Dua, Taman Gemilang, Jerantut, Pahang. - Foto dirakamkan dengan izin Adicky Dzuliana.
Lagi cerita-cerita berkaitan ibu tunggal:
https://kitareporters.com/search?search=ibu+tunggal
Hal ini menyebabkan dia bersama tujuh orang anak lelaki berusia antara 12 tahun hingga bayi masih tiga bulan perlu meneruskan kehidupan bersendirian.
Katanya, sebagai ibu tunggal bukanlah mudah menguruskan tujuh orang anak memandangkan dia tidak bekerja dan hanya semata-mata bergantung kepada ihsan saudaranya dan sehingga ini cuma mendapat perhatian penuh sebuah keluarga angkat berdekatan kediaman yang disewanya, iaitu di No. 20, Lorong Gemilang Dua, Taman Gemilang, Jerantut.
"Arwah suami dahulu hanya berniaga kecil-kecilan berdekatan tempat tinggal kami di Kampung Melayu, Kepong, pendapatannya tidak banyak tetapi cukup untuk kami anak beranak.
"Namun, selepas dia meninggal dunia, saya hilang tempat bergantung dan perlu memikirkan bagaimana cara memperoleh wang belanja membesarkan anak saya termasuk persekolahan," katanya di Taman Gemilang, Jerantut pada 3 November 2020.
Adicky Dzuliana menunjukkan surat kelulusan bantuan bulanan yang baru diterima daripada pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menurut Adicky, perkara yang membimbangkan, iaitu memikirkan masa depan anaknya kerana empat orang anaknya belum lagi dapat memasuki alam persekolahan sejak arwah suami masih hidup.
Dia berkata, kehidupan bersama anak-anaknya tentu bertambah sukar pada masa akan datang kerana masih tidak mempunyai tempat tinggal tetap (sendiri) memandangkan arwah suaminya tidak pernah membeli kediaman semasa tinggal di Kepong, Selangor sebelum ini lantaran pendapatan yang kecil.
Kata ibu tunggal itu, bukan dia tidak mahu keluar bekerja, tetapi memikirkan anak-anaknya yang masih kecil perlu diberi perhatian penuh termasuk keselamatan di rumah malahan tidak mampu menghantar di bawah jagaan pengasuh dan tadika.
"Anak saya tidak pernah dihantar menerima pendidikan formal oleh arwah suami dan mereka cuma belajar mengaji al-Quran dan fardhu ain di rumah di bawah didikan bapa anak-anak ini," katanya.
SHAIDTHA HUMPHREY MANAF
Bercerita selanjutnya, Adicky berkata, selepas kematian suaminya pada awal tahun 2020, dia dan anak-anaknya berpindah dan menyewa di Taman Gemilang, Jerantut pada bulan Julai 2020 atas pertolongan Shaidtha Humphrey Manaf, iaitu keluarga angkatnya yang juga sebagai peniaga di Kuala Lumpur.
"Dialah yang membantu bayaran sewa bulanan rumah ini termasuk makan minum saya dan anak-anak serta menjaga ibu saya yang berusia 77 tahun kini terlantar uzur akibat penyakit angin ahmar," katanya.
Adicky yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan menambah, mujurlah ada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Jerantut ada mengunjungi melihat kesusahan keluarganya dan sudahpun memperoleh kelulusan bantuan bulanan.
"Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pejabat JKM Jerantut atas kelulusan bantuan ini dan dapatlah sikit berbelanja keperluan dapur selain pertolongan daripada saudara dan keluarga angkat yang tinggal berdekatan," katanya.
Sementara itu, Shaidtha Humphrey berkata, keluarganya amat bersimpati dengan nasib ibu tunggal itu dan membantu setakat termampu membayar sewa rumah dan belanja makan minum keluarga itu, walaupun dia hanya memperoleh pendapatan kecil sebagai peniaga.
"Saya juga akan berusaha membantu empat orang anak Puan Adicky Dzuliana supaya dapat bersekolah di sini (bandar Jerantut) dan akan menemui pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah bagi penempatan dan kemudahan mereka belajar tidak lama lagi," katanya.
Ahmad Fahmi Daud (kanan) menyampaikan infak wang tunai kepada Adicky Dzuliana Ab Rahman di Taman Gemilang, Jerantut pada 3 November 2020. - Foto dirakamkan dengan izin Adicky Dzuliana.
Dalam pada itu, wakil jawatankuasa Biro Cakna Masjid Tengku Mahkota Abdullah, Jerantut, Ahmad Fahmi Daud turut berziarah menyumbangkan infak wang tunai kepada keluarga tersebut.
"Kita turut bersimpati melihat keluarga ini terutama nasib anak-anak yang masih kecil perlu pembelaan kebajikan termasuk persekolahan pada masa akan datang. Diharap ada pihak tertentu dan dermawan yang bermurah hati membantu keluarga ini," ujarnya.
Orang ramai dan dermawan yang ingin beramal jariah bolehlah menghubungi Adicky Dzuliana Ab Rahman menerusi talian 017 3137935 atau menyalurkan bantuan terus ke akaun Bank Islam (Adicky Dzuliana) bernombor 12-225-02-041131-9. - KitaReporters