Sejak bersara daripada bola sepak, Azmeer kini menumpukan perhatian kepada kerja-kerja dakwah. - Kredit foto: FB Azmeer Yusof 25.


BEKAS pemain bola sepak, Azmeer Yusof sedikitpun tidak terkesan dengan pelbagai tuduhan yang dilemparkan ke atas dirinya termasuk dicap sebagai penunggang agama sebaliknya bangkit menangkis dakwaan itu dengan meneruskan kerja dakwah.

Terbaharu, dia mengembangkan ‘sayap’ Pusat Pengajian Azmeer Yusof (PPAY) yang dibangunkan di Alor Setar sejak 2019 lalu dengan menubuhkan PPAY cawangan Kuala Lumpur sejak awal Oktober 2021 lalu.

“Saya sedar ada segelintir orang yang membuat pelbagai tuduhan dan memberi macam-macam label kepada saya, antaranya menuduh saya sebagai penunggang agama demi kepentingan diri sendiri.


 Lagi kisah-kisah menarik berkaitan kerja-kerja dakwah

Pembinaan pusat mengaji Al Quran, PPAY di Tongkang Yard, Alor Setar membuktikan kesungguhan Azmeer untuk menyebarkan dakwah. - Kredit foto: FB Azmeer Yusof 25.


“Mereka menuduh saya menggunakan PPAY untuk mengaut kekayaan melalui derma atau sumbangan orang ramai. Malah, ada yang menfitnah, mengatakan saya ‘makan’ duit hasil kutipan itu untuk menyara kehidupan saya. 

“Apa yang menyedihkan, golongan yang membuat fitnah itu adalah orang-orang sekeliling saya, ada antaranya pernah rapat dengan saya. Apa motif mereka, saya sendiri tidak tahu dan tidak mahu ambil tahu. 

“Malah, saya sedikit pun tidak terkesan dengan semua tuduhan itu kerana masih ramai yang menyokong usaha saya dengan tidak putus-putus menghulurkan sumbangan.

“Saya juga tidak perlu menjawab semua dakwaan itu, cukuplah saya buktikan kepada mereka melalui kerja-kerja dakwah yang sedang dan akan saya lakukan melalui PPAY,” tegas Azmeer. 



Sebagai bukti, menurut Azmeer, dia sudah menyiapkan pembinaan bangunan PPAY di Tongkang Yard, Alor Setar yang dilancarkan secara rasmi pada 1 Oktober, 2021 lalu.

Bangunan berharga RM300,000 itu boleh menampung lebih ramai peserta malah akan memberi keselesaan kepada masyarakat setempat yang datang mengaji Al Quran di situ. Sebelum itu PPAY beroperasi secara sementara di sebuah rumah milik Azmeer.

“Kos pembinaan bangunan ini, selain menggunakan wang saya sendiri, sebahagiannya adalah daripada sumbangan orang ramai. Mereka yang datang belajar Al Quran di sini tidak dikenakan seberang bayaran, percuma.

“Tapi, sudah pasti kita perlu menggunakan wang sumbangan orang ramai untuk menggaji para petugas serta guru-guru yang mengajar di situ dan ini memang dibolehkan,” ujar Azmeer.



Selain itu, menurut Azmeer ada juga pihak yang menjaja kisah kehidupan peribadinya sebagai modal untuk memburuk-burukkan dirinya.

“Mereka membuat pelbagai dakwaan dan menyebarkan melalui media sosial dengan niat mengaibkan saya. Tapi, saya tidak akan menjawab semua dakwaan itu kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan.

“Saya anggap apa yang saya lalui ini adalah sebahagian daripada ujian Allah dalam menjalankan kerja dakwah. Sedangkan Nabi, alim ulamak  dan pendakwah yang lebih hebat pun menerima pelbagai ujian, inikan pula saya orang biasa.

“Apa yang penting saya teruskan tugas saya dengan ikhlas tanpa mempedulikan apa orang nak kata kerana yang saya cari hanyalah reda Allah,” katanya.


Progam pertama anjuran PPAY Kuala Lumpur sempena sambutan Maulidur Rasul di Surau Al-Ikhlas, Kg Medan Wira Utama, pada 19 Oktober 2021. - Kredit video: FB Azmeer Yusof 25.


Azmeer kini mengembangkan kerja dakwahnya dengan menubuhkan pula PPAY cawangan Kuala Lumpur namun konsepnya berbeza dengan PPAY di Alor Setar.

“Di Kuala Lumpur, kita tidak mempunyai pusat khusus sebagaimana di Alor Setar malah konsep dakwahnya juga berbeza yang mana di sini saya lebih mengutamakan kepada kuliah ilmu melalui program yang diatur oleh PPAY.

“Sebagai permulaan, kuliah-kuliah ini akan dianjurkan sebulan sekali di rumah-rumah Allah di sekitar Lembah Kelang, sama ada masjid atau surau. Ia dimulakan secara rasmi semasa sambutan Maulidur Rasul di Surau Al- Ikhlas, Kg Medan Wira Utama, Kuala Lumpur.

“Konsepnya, PPAY akan mengadakan kolaborasi dengan masjid atau surau, sama ada yang dipilih oleh kami atau atas dasar jemputan untuk menganjurkan kuliah atau ceramah agama.

“Pihak kami akan menyediakan penceramah yang mana bayaran untuk penceramah itu akan ditanggung oleh PPAY. Setakat ini, saya mendapat kerjasama daripada pendakwah-pendakwah yang terdiri daripada bekas peserta program televisyen seperti Imam Muda, Daie, Pencetus Ummah (PU) serta pendakwah bebas lain yang kami pastikan memiliki tauliah.

“Saya amat mengalu-alukan jika ada masjid atau surau yang mahu bekerjasama untuk menjayakan program ini. Mereka boleh menghubungi saya melalui Instagram @azmeeryusoff atau menghantar mesej peribadi melalui akaun Facebook Azmeer Yusof 25,” ujar Azmeer.


Kali terakhir Azmeer aktif dalam bola sepak secara kompetitif adalah mewakili pasukan Liga Super, Kedah pada 2020. Kredit foto: Kedah FA. 


Mengenai karier bola sepak, Azmeer yang pernah mewakili beberapa pasukan, antaranya Kedah, Kuala Lumpur, Perak dan Negeri Sembilan, nekad menggantung but.

“Saya menerima tawaran daripada beberapa pasukan liga tapi ambil keputusan untuk bersara daripada bola sepak kompetitif. Sejak menarik diri daripada pasukan Kedah tahun lalu (2020), saya berasa lebih tenang kerana mempunyai banyak masa untuk melakukan kerja dakwah dan juga masa untuk anak-anak.

“Saya sekarang hanya aktif bermain secara sosial dengan beberapa pasukan sekitar Lembah Kelang, antaranya mewakili pasukan Ustaz Bola FC, Kelab Bolasepak Batu dan pasukan bekas pemain Kuala Lumpur,” katanya. - KitaReporters


17
10
0
11
0

Copy Link: