Datuk Lat pandang tinggi keistimewaan bakat seni Mamat Khalid! Apa sahaja dibuat pasti menjadi!
Published byPelakon dan pengarah, Mamat Khalid. - Kredit foto - Wikipedia
INI kisah anak kepada insan bernama Mohamad Khalid, iaitu Mohamad lebih dikenali Mamat Khalid, 58, dan Datuk Mohamad Nor, lebih dikenali Datuk Lat, 70, dua beradik yang sama-sama berdarah seni dengan cabang bidang berbeza dan sama-sama tersohor.
Sungguhpun Datuk Lat dikenali sehingga ke peringkat antarabangsa melalui karya kartun dan siri animasi Kampung Boy yang disiarkan di banyak negara di dunia, namun beliau tetap memandang tinggi kepakaran adiknya, Mamat Khalid dari sudut bidangnya!
Lagi kisah menarik berkaitan Mamat Khalid
Ini kerana katanya, apa saja dilakukan oleh Mamat Khalid dalam kegiatan seninya, di luar daripada kemahiran Datuk Lat lantaran kepakaran bidang seni mereka berbeza sama sekali.
Mamat Khalid yang baru beberapa hari meninggalkan kita kerana pulang ke negara abadi disifatkan oleh abangnya, sebagai individu mempunyai sentuhan magis ke atas setiap karya seninya.
Menurut Lat, kreativiti besar dimiliki adik bongsunya itu membuatkan setiap apa dilakukannya menjadi, dan menarik perhatian ramai.
Datuk Lat. - Kredit foto: darialmarikartun.blogspot.
“Dari dulu kita tahu dia berdarah seni, apa saja yang dia pegang contohnya gitar, mesti jadi lagu. Begitu juga, apabila dia pegang alat seperti piano," ujar Lat memetik laporan Utusan Online, baru-baru ini.
Menurut Lat lagi, jika adik bongsunya tu (Mamat) bercerita orang pasti ketawa.
"Dalam keluarga jika kami dengar cerita dia pun kami akan ketawa," tambahnya. Lat juga mengakui, mereka berdua memiliki watak berbeza sama sekali.
"Allahyarham ada karisma sebagai seorang pengarah kerana sifatnya lebih suka bersuara. Kehadirannya mampu menceriakan suasana dengan gaya tutur katanya.
Bukan jenis suka simpan suara seperti Lat, kerana itu Allahyarham Mamat Khalid mempunyai karisma sebagai pengarah.
“Sedangkan saya gemar bersendirian, duduk di bucu buat kerja,” ujar Lat yang tersohor sebagai pelukis kartun di Malaysia dan antarabangsa.
Menurutnya lagi, Allahyarham Mamat kuat bekerja sejak muda dan banyak mencapai kejayaan menerusi hasil seninya. Sumbangan Allahyarham dalam industri seni juga mendapat sambutan baik masyarakat.
Ketika memberi ucapan selepas dinobat Pengarah Filem Terbaik Anugerah Skrin untuk filem Kala Malam Bulan Mengambang. Kredit foto - Wikipedia
Mamat Khalid dan Mohammad Nor Khalid (Lat) masing-masing tersenarai sebagai tokoh dikenali dalam Wikipedia.
Mamat Khalid (6 April 1963 - 24 Oktober 2021) seorang pelakon dan pengarah filem serta penulis lakon layar Malaysia terkenal dengan filem-filem jenis komedi.
Dilahirkan di Ipoh, Perak, Mamat Khalid memulakan kerjaya awal di pejabat kerajaan sebelum terbabit di bidang perfileman.
Pertama kali, menduduki kerusi pengarah pada 2003 menerusi filem komedi sejarah, Lang Buana.
Filem pertamanya bergenre muzikal Rok 2005 dan dua filem kesinambungan Rock Oo! (2013) dan Rock Bro! (2016), yang dikatakan menyelit mesej dilema ramai pemuzik berbakat zaman kegemilangan rock 1980-an. Filem ini mengurniakan Mamat anugerah pertama daripada Festival Filem Malaysia, untuk Lakon Layar Terbaik pada 2005.
Antara karya lainnya yang terkenal termasuk Man Laksa (2006), Kala Malam Bulan Mengambang (2008) yang menggunakan konsep filem noir dan Apokalips x (2014) berkonsepkan manga dan buku komik grafik.
Filem terbaru arahannya, Hantu Kak Limah 3 ditayangkan di pawagam pada Ogos 2018.
Filem lain yang popular ialah Zombie Kampung Pisang, 16 Puasa, 17 Puasa, 18 Puasa Di Kampung Pisang dan banyak lagi.
.
Poster filem Rock Oo! arahan Mamat Khalid. - Kredit foto: Wikipedia
Allahyarham adalah orang yang mula-mula mencadangkan siri televisyen legenda Puteri Gunung Ledang untuk stesen ntv7.
Namun Enfiniti Productions yang menerima cadangan itu menukarkannya menjadi sebuah filem untuk tayangan pawagam, dibintangi Tiara Jacqualine dan M Nasir.
Filem Puteri Gunung Ledang akhirnya terhasil menelan belanja lebih RM16 juta, iaitu filem Malaysia termahal dalam sejarah, ditayangkan di dalam negara mulai 2004. Filem ini turut menikmati tayangan khas di festival filem luar negara, iaitu di Venice dan di Los Angeles.
Hasil karya awal Mamat Khalid adalah komedi satira, sering menyelitkan kritikan sosial dalam setiap karyanya yang disifatkan ada kaitan dengan senario politik negara, seperti juga karya kartun abangnya, Datuk Lat.
Koleksi poster filem Hantu Kak Limah arahan Mamat Khalid. - Kredit foto: themoviedb
Di luar bidang seni, Mamat Khalid adalah pengasas dan pemilik kafe Sarang Art Hub yang beroperasi di Tanjung Malim, Perak, dibuka pada 2016.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Slim River pada pukul 12.30 pagi, 24 Oktober 2021. Terdahulu, Allahyarham dikatakan pengsan di restorannya sebelum dikejarkan ke Hospital Slim River dan disahkan meninggal dunia.
Pengarah terkenal itu dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Slim River, Perak dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Paloh.
Lat pula giat melukis seawal usia 9 tahun, pernah bekerja di New Strait Times Press (M) Bhd, sebagai wartawan sebelum kemudian diberikan jawatan khas melukis kartun untuk siaran di akhbar.
Bakatnya semakin berkembang selepas itu sehingga berjaya melahirkan beberapa naskah kartun, Kampung Boy. Kejayaannya memuncak apabila Kampung Boy dijadikan siri televisyen animasi Malaysia, disiarkan pada 1997.
Kisahnya berkisar mengenai pengembaraan seorang kanak-kanak bernama Mat, dan kehidupannya di sebuah kampung. Ia adalah sebuah kisah autobiografi Lat sendiri. - KitaReporters
Mamat Khalid (kanan) dan Lat.