Tolong kami! Bantu kami, MB Johor! Lebih 30 pembeli PAKR Labis berdepan kemungkinan akan diusir!
Published bySalah sebuah rumah RAKR Labis yang terlibat dengan masalah pertindihan hak milik.
Salah seorang pembeli, Faridah Atan, 50, ketika ditemui menjelaskan secara perundangan bahawa dia tidak mempunyai hak ke atas rumah tersebut yang dibelinya daripada kerajaan negeri Johor dengan harga RM20,000 pada tahun 2002 walaupun terpaksa menjelaskan hutang pembiayaan bank kerana secara jelas hak milik rumah yang didudukinya itu didaftarkan atas nama individu yang tidak dikenali sejak tahun 1990.
Lagi certa-cerita menarik berkaitan perumahan
Faridah Atan menunjukan surat perjanjian jual beli rumah RAKR Labis antara dia sebagai pembeli dan Kerajaan Negeri Johor sebagai pemaju.
"Saya hanya mengetahui masalah ini ketika menerima surat tuntutan tunggakan cukai tanah atas nama individu lain yang tidak dikenali daripada Pejabat Tanah Labis sekitar tahun 2004.
"Ekoran daripada itu saya bertindak membuat carian persendirian di pejabat tanah dan ternyata hasil carian yang diperolehi menunjukkan pemilik yang tercatat di geran rumah saya adalah individu lain yang tidak pernah saya kenali.
"Masalah pertindihan ini telahpun dipanjangkan ke pengetahuan pihak SUK Perumahan negeri Johor, Pengerusi Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, termasuk Menteri Besar sebelum ini namun selepas lebih 10 tahun tiada sebarang perkembangan positif dan usaha kami menuntut hak kami tidak ubah bagai 'membuang batu ke laut' dan tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada kerajaan negeri sebagai pemaju projek perumahan ini," katanya ketika ditemui di perumahan awam Labis itu.
Faridah Atan
Katanya, adalah mustahil kerajaan negeri sebagai pemaju mengambil masa hampir 20 tahun di mana sudah tiga kerajaan negeri dengan lima kali pertukaran Menteri Besar sepanjang tempoh tersebut, namun gagal untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi pembeli sedangkan punca kepada masalah yang berlaku adalah disebabkan kecuaian agensi kerajaan negeri sendiri.
Menurutnya, lebih malang lagi terdapat pembeli yang sudah melunaskan pinjaman pembiayaan tetapi gagal mendapatkan dokumen hak milik sama ada disebabkan oleh perbezaan nama peminjam dan nama yang didaftarkan sebagai pemilik, selain pihak bank tidak menyimpan dokumen hak milik sebagai cagaran.
Jalan masuk ke kawasan Perumahan Awam Labis.
"Persoalannya bagaimana pihak bank boleh meluluskan pinjaman pembiayaan kami sedangkan hak milik sudah pun didaftarkan atas nama individu lain yang juga telah mencagarkan rumah yang sama untuk mendapat pembiayaan terlebih dahulu sebelum kami.
"Pendek kata pihak bank meluluskan dua pinjaman pembiayaan untuk sebuah rumah atas nama yang berbeza dan perkara ini diharap mendapat perhatian pihak berwajib untuk meneliti apakah terdapat sebarang unsur salah guna kuasa atau sesuatu yang tersembunyi," katanya.
Lebih malang lagi katanya, terdapat juga kes di mana salah seorang pembeli atau pemilik berdaftar asal yang telah didaftarkan telah meninggal dunia menyebabkan usaha penyelesaian semakin sukar.
Zainal Abidin Abdullah menunjukan notis tuntutan tungakan yang diterima daripada
SUK Perumahan Johor.
Zainal Abidin Abdullah, 56, pula selain menghadapi masalah sama turut berdepan masalah lain di mana pihak SUK Perumahan Johor menuntut baki tunggakan berjumlah RM12,994 secara sekali gus sedangkan sebelum ini pihak SUK sudah bersetuju agar pembeli yang gagal mendapatkan pembiayaan bank dibenarkan membuat bayaran secara ansuran tanpa faedah dengan kadar RM200 sebulan secara terus kepada pihak SUK Perumahan Johor.
"Sebelum ini saya dan rakan-rakan lain membayar mengikut jadual kepada pegawai SUK Perumahan yang datang setiap bulan dan sejak dua tahun kebelakangan ini pegawai tersebut tidak muncul dan dalam masa sama, kami dimaklumkan pembayaran ditangguhkan ekoran pihak SUK Perumahan sedang mengemas kini dokumen.
"Baru-baru ini kami menerima notis tuntutan keseluruhan baki tunggakan yang perlu dijelaskan sekali gus daripada SUK Perumahan Johor dan jika kami gagal melunaskannya rampasan akan dilakukan. Kami menyifatkan tindakan ini tidak adil kepada kami," katanya.
Dalam masa sama, dia turut mengesa agar pihak kerajaan negeri selaku pemaju bertanggungjawab terhadap segala kesulitan yang berlaku dan menyifatkan pihak berwajib tidak serius untuk menyelesaikan masalah tersebut memandangkan sudah hampir 20 tahun berlalu tanpa sebarang penyelesaian. - KitaReporters