Nostalgia meruntun jiwa! Sejarah tercipta! Pertemuan selepas 55 tahun! Jalinan kasih murid dan cikgu!
Published by
KitaReporters
--title--
Tidak lama merancang. Dengan satu panggilan telefon dan perbincangan dengan dua tiga sahabat, maka Allah makbulkan hajat
kami.
Majlis pertemuan semula antara guru dan murid Sekolah Kebangsaan Derga (SKD) melibatkan pelajar tahun 60-an dan 70-an berlangsung di Alor Setar baru-baru ini.
Disertai lebih 30 bekas murid dan guru, majlis ternyata meriah dan berlangsung dalam suaasana ceria dan harmoni. Mana tidaknya, ada antara yang hadir tidak pernah berjumpa selepas 55 tahun meninggalkan sekolah.
Bayangkan rasanya bila sudah lama tidak bersua. Apa lagi melihat cikgu yang dikasihi muncul bersama isteri mereka. Terharu campur bangga!
Sir Isa yang juga Guru Pengakap
Dalam ucapan mewakili guru, Sir Isa, yang juga Guru Pengakap, melahirkan terima kasih kepada penganjur. “Saya gembira bertemu kamu hari ini setelah 55 tahun kamu semua meninggalkan Sekolah Derga dalam usia saya 82 tahun,” katanya.
Menurutnya era 60-an dan 70-an adalah era gemilang Sekolah Kebangsaan Derga dalam bidang sukan dan juga akademik. “Saya gembira dengan kejayaan kamu semua walau semua sudah bersara,“ kata Sir Isa.
Yang wanita... Kekal anggun dan mesra
Sementaran itu, Zahreen Ali berkata, majlis ini sesuatu yang sangat berharga bagi bekas pelajar SKD. “Masa 55 tahun satu jangka yang sangat lama. Syukur kerana Allah temukan kami semula pada majlis ini,“ kata Zahreen yang datang dari Shah Alam.
“Saya memang menunggu saat ini untuk berjumpa guru dan kawan-kawan sekolah yang sangat dirindui. Saya sangat terharu dan bersyukur kerana masih diizinkan Allah untuk berjumpa cikgu Md. Zain dan Sir Isa, yang kini berusia 82 tahun,” katanya.
Norlia Md Noor dalam ucapan mewakili murid-murid mengingatkan sahabat supaya menjaga kesihatan dan meningkatkan amalan.
“Pada usia senja, kita diuji dengan pelbagai cara. Jadi bermaaf-maaflah sesama kita serta menjaga silaturahim supaya terus
kekal istiqomah,” tambahnya.
Pelajar-pelajar lelaki yang hadir... tetap gagah
Bekas Ketua Pengawas, Jaafar Ahmad pula menyifatkan majlis silaturahim seperti ini perlu diteruskan walaupun usia semua semakin meningkat.
“Pertemuan begini juga satu terapi untuk kita yang sudah berusia. Sesekali bertemu kawan-kawan sekolah dapat menghilangkan rindu zaman sekolah khasnya kepada cikgu cikgu yang telah berjasa kepada kita," ujarnya.
Rata-rata yang hadir melahirkan rasa gembira dengan pertemuan yang telah lama ditunggu. Selalu majlis hanya dihadiri rakan-rakan sekelas atau sekolah, tetapi kami membawa dua orang guru untuk dihargai dan diraikan.
Semoga masih ada ruang untuk kita teruskan ukhwah ini dengan izin Allah. - KitaReporters
Jaafar Ahmad menyampaikan cenderahati kepada Cikgu Md Zain
Bergambar beramai antara guru dan murid sebagai kenang-kenangan.
9
10
0
18
0