Meriah tapi cemas! Sunathon Perdana 3.0 di Masjid Hasanah! Mandi ramai-ramai! Dapat duit raya lagi!

Published by
KitaReporters

Ibu bapa membuat pendaftaran untuk anak-anak mereka sempena program Sunathon 3.0 di Masjid Hasanah, Bandar Baru Bangi, Selangor.


CUTI sekolah datang lagi! Sinonim dengan kehadirannya, ramai ibu bapa mengambil peluang cuti panjang itu untuk mengkhatankan anak-anak mereka. Apatah lagi bersunat adalah tuntutan agama bagi anak-anak lelaki.

Masjid Hasanah, Bandar Baru Bangi terpanggil untuk memudahkan tanggungjawab ibu bapa dengan menganjurkan program Sunathon Perdana 3.0 bagi membolehkan anak-anak berkhatan secara beramai-ramai dengan kos berpatutan berbanding di hospital atau klinik swasta.

Kanak-kanak yang mengambil bahagian dalam Sunathon 3.0 bergambar kenangan sebelum program berkhatan bermula.


Seawal jam 7 pagi, ibu bapa membawa anak-anak mereka mendaftar dan pada wajah kanak-kanak terbabit tampak ceria dan gembira, berlari ke sana sini bersama rakan-rakan. Ada juga yang bermain video game dan tidak kurang bersarapan bersama keluarga masing-masing.

Selepas majlis perasmian dan mengambil gambar beramai-ramai, kanak-kanak dibawa ke luar masjid untuk mandi bersama-sama dengan pancutan air daripada anggota bomba Bandar Baru Bangi selama 15 minit. Selepas itu, mereka ditempatkan di dewan masjid sebelum nama mereka dipanggil untuk berkhatan.

Pada masa inilah, pelbagai ragam boleh dilihat, ada yang masih ceria, berlari ke sana sini seperti sebelumnya tapi terdapat juga yang bertukar tingkah laku menjadi gementar, gabra dan gemuruh ketika menunggu giliran nama dipanggil petugas. 

Justeru, ibu bapa terpaksa masuk campur untuk memujuk dengan kata-kata lembut bagi meredakan tekanan perasaan.

Bagi yang masih ceria, mereka masih boleh tersenyum ketika nama dipanggil dan terus masuk ke bilik berkhatan tanpa perlu ditemani ibu atau ayah. Malah, selepas selesai berkhatan, mereka berjalan keluar dengan selamba sambil disambut oleh AJK Masjid Hasanah yang memberi goodies beg, duit raya RM20 dan bunga telur.    

Keseronokan mandi beramai-ramai satu pengalaman baru yang diingati kanak-kanak yang mengambil bahagian dalam program Sunathon 3.0.


Bagi Muhammad Aryan Rizqi Mohd Ariffudin, 8, dia bersama adiknya, Muhammad Abid Rafiqi, 5, berkhatan kerana ayahnya mahu mereka berbuat demikian dan keterujaan juga apabila beberapa rakannya dari SK Taman Jasmin, Kajang turut mengambil bahagian.

Dengan memakai busana Melayu lengkap bertengkolok, kedua-dua beradik itu aktif berlari dan bermain tanpa riak gementar atau takut sebelum program berkhatan bermula. 

Ayah dua beradik itu, Mohd Ariffudin, 40, mengakui gembira menyertai Sunathon Perdana 3.0 kerana anak-anaknya dapat berkhatan beramai-ramai bersama kanak-kanak lain selain kosnya berpatutan berbanding jika bersunat di hospital atau klinik swasta.

"Saya berharap, program seumpama ini dapat dilakukan setiap tahun, sekurang-kurangnya ia mengurang beban kewangan ibu bapa terutama yang mempunyai anak ramai," katanya.


Muhammad Aryan Rizqi Mohd Ariffudin (berdiri di belakang) dan adiknya, Muhammad Abid Rafiqi Mohd Ariffudinyang mengambil bahagian dalam program berkhatan segak berbusana Melayu tradisional bersama ayah dan ibu mereka.  


Sementara itu, dua beradik, Muhammad Qashid Mohd Nazril, 8, dan adiknya Muhammad Qayyum, 5, lega selepas selesai berkhatan dan mereka kelihatan ceria walaupun mengangguk ketika ditanya sama ada sakit atau tidak.

"Saya berbual-bual dengan doktor, apatah, kemudian berdoa. Lepas tu dah selesai," katanya sambil tersenyum ketika disambut oleh AJK Masjid Hasanah yang memberi goodies bag, duit raya RM20 dan bunga telur. 


Muhammad Qashid Mohd Nazril, 8, ditemani ayahnya dan AJK program Sunathon 3.0 selepas selesai berkhatan.


AJK Kebajikan Masjid Hasanah, Mohd Johaary Abdul Hamid, berkata ini adalah tahun ketiga program Sunathon Perdana diadakan yang membabitkan seramai 102 kanak-kanak berusia di antara 6 hingga 12 tahun di Bandar Baru Bangi dan kawasan sekitar.

Beliau berkata, program itu diadakan bagi memudahkan ibu bapa melaksana tanggungjawab berkhatan untuk anak-anak mereka secara beramai-ramai dan mengurangkan beban kewangan mereka. 

"Setiap anak-anak hanya dikenakan bayaran RM100 berbanding kos di antara RM200 hingga RM300 jika dilakukan di hospital atau klinik swasta. Tiada bayaran dikenakan untuk anak-anak yatim dan asnaf, manakala kaedah berkhatan menggunakan laser haba kerana kadar penyembuhan lebih cepat dan tidak terlalu sakit.


Muhd Johaary Abdul Hamid (kiri) memberi duit raya dan goodies bag kepada Muhammad Qayyum Mohd Nazril, 5, selepas selesai berkhatan sambil ditemani ibunya.


"Program tahun ini juga lebih tersusun. Kami menyediakan sarapan pagi, baju-T, tag nama dan 10 doktor pakar dan 20 jururawat dari MyMedic Puchong untuk operasi berkhatan.

"Bagi memberi keriangan kepada anak-anak, kami menjemput anggota bomba Bandar Baru Bangi untuk memandikan mereka supaya selesa apabila berkhatan nanti. 

"Dan paling istimewa, Masjid Hasanah menyediakan duit raya, RM20 dan bunga telur kepada setiap peserta," katanya. 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sunathon Perdana 3.0 di Masjid Hasanah, Bandar Baru, Bangi, Selangor. Turut hadir, Imam 2 Masjid Hasanah, Ustaz Muhammad Sodiq Khaja Kamaluddeen. - KitaReporters


Kanak-kanak yang sepatutnya menjadi peserta pertama terpaksa ditenteramkan oleh ibunya dan petugas Sunathon 3.0 selepas gemuruh dan gementar apabila namanya dipanggil jururawat untuk berkhatan.

19
8
0
7
0

Copy Link: