.



Rasa seperti tidak puas dan lengkap sekiranya penulis tidak membuka bicara tirai tahun baharu 2025 tanpa menulis dalam ruangan ‘Impak Maksima’ yang dicetuskan untuk membicarakan kata hati sendiri dalam portal ‘KitaReporters’ ini.

Sepanjang tahun 2024, penulis berjaya menyumbang kira-kira 75 buat penulisan bermula dengan artikel pertama pada 3 Januari 2024 dengan tajuk ‘Pendekar Awang sasar 4j penonton! Fazura seram naik kuda! Belajar memanah dalam masa 3 hari” diakhiri dengan berita ‘Program Baucer Buku Madani IPT Fasa 2 terima sambutan luar biasa! Mahasiswa dimohon bersabar tunggu!’, yang diterbitkan pada 31 Disember 2024.

Terima kasih kepada editor KitaReporters, Gamal Nasir yang satu bumbung dengan penulis ketika bertugas di bawah Kumpulan Utusan dulu, dengan memberikan peluang menulis dalam portal yang diasaskan oleh beliau pada tahun 2023 dengan berita pertama penulis adalah pada 25 Ogos 2023 untuk ruangan Seni & Sukan bertajuk ‘Nadeera tampilkan emas! Penjenamaan semula! Kelahiran semula! Lebih cantik! Lebih tersusun!’.



Sepanjang bergelar ‘wartawan’ dan seterusnya aktif sebagai ‘blogger’ di halaman blog sendiri #KakFasOnline selepas bersara, tarikh 31 Disember 2024 di mana seluruh dunia mempunyai acara masing-masing menyambut ambang tahun baharu 2025, penulis atau Kak Fas, nama singkat yang disapa rakan-rakan seperjuangan, tanpa dirancang mencipta sejarah tersendiri apabila berpeluang meraikan malam 1 Rejab 1446 H di puncak Menara Kuala Lumpur.

Tidak terbayang sebelum ini akan berada di menara komunikasi ketujuh tertinggi di dunia itu di belakang Menara CN di Kanada (553m), Menara Ostankino di Rusia (537m), Menara Shanghai di Negara China (468m), Borg-e Milad di Iran (435m)  dan Tokyo Sky Tree di Jepun setinggi 634 meter.

Menara KL setinggi 421 meter dibina pada tahun 1993 dan siap pada 1996. 


Kak Fas (tengah) bersama sebahagian daripada media dan rakan blogger yang hadir di Menara KL pada malam Ambang Tahun Baharu 2025.


Itu serba sedikit sejarah di belakang pembinaan Menara KL tetapi ‘sejarah’ yang tercipta bagi diri Kak Fas apabila berpeluang berada di menara itu pada malam Ambang Tahun Baharu, lebih-lebih lagi meraikan kemunculan 1 Rejab bersamaan tarikh menyambut tahun baharu Masihi 2025.  

Lazimnya, Kak Fas menyambut kehadiran Tahun Baharu di kediaman sahaja dan menyaksikan acara-acara melalui peti televisyen disebabkan ‘malas’ hendak berdepan dengan kesesakan jalan raya dan sebagainya pada malam tahun baharu.

Tetapi 31 Disember 2024 mengubah segalanya apabila mendapat jemputan daripada NH Mall Worldwide, sebuah syarikat yang mengendalikan perniagaan jualan produk usahawan Islam secara dalam talian, untuk hadir ke majlis jamuan makan malam yang dinamakan ‘Gema Selawat’.

Pada malam itu ‘Gema Selawat’ bukan sahaja dianjurkan di Menara KL tetapi secara serentak di Menara Alor Setar. Kedah, setinggi 165.5 meter.

Seramai 300 orang terdiri daripada Muslimin dan Muslimah dari pelbagai latar belakang berkumpul untuk bersama-sama menghayati selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

Dengan gabungan seni Islamik dan dokumentari sejarah, acara ini berjaya menyemarakkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW dan meningkatkan kesedaran tentang pentingnya amalan sunah dalam kehidupan seharian.

Konsep unik makan malam diiringi lantunan selawat, tausiyah, dan marhaban ini menjadikan majlis tersebut lebih bermakna dan berkat.

Kak Fas bersetuju dengan hasrat Pengarah Urusan NH Mall Worldwide selaku penganjur bersama AM Entertainment, Noor Amira Abdul Razak yang berhajat menggemakan ‘selawat’ di lokasi attitud paling tinggi seperti di Menara KL.

Rasanya ini julung kali sesebuah acara yang memperdengar lantunan selawat, tausiyah, marhaban dengan alunan syadu qasidah bergema di lokasi setinggi 421 meter diserikan pula dengan percikan bunga api anjuran Pengurusan Menara KL sendiri menambahkan  keindahan pemandangan malam 1 Rejab 1446 Hijrah.



Lebih menarik apabila Persembahan Bunga Api pada Altitud Tertinggi di Malaysia itu disahkan oleh Malaysia Book of Records (MBOR) apabila pertunjukan bunga api pertama dilancarkan dari Tingkat TH07, mencapai ketinggian 307.610. meter disusuli persembahan bunga api kedua ditembak dari Tower Terrace pada ketinggian 401.61 meter.

Andai kata, majlis Gema Selawat pun mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MOB) pada malam sama pasti terciptanya sejarah berganda bagi Menara KL dan NH Mall Worldwide secara serentak. 

Mungkin NH Mall kesuntukan masa untuk memikirkan tentang pengiktirafan tersebut namun Kak Fas syorkan ia dapat dilaksanakan kerana masih belum terlambat untuk mendaftar dengan MBOR apatah lagi NH Mall Worldwide bercadang untuk meneruskan program seumpama di beberapa lagi menara tertinggi yang ada di seluruh negeri.

“Walaupun ini pertama kali tetapi bukan kali terakhir kerana kami akan menganjurkan majlis seumpama di menara tertinggi lain yang terdapat di Malaysia,” janji Noor Amira.


Noor Amira Abdul Razak (tengah) diapit oleh Pengerusi Kopstar, Dato Royce Saayan (kiri) selaku penyelaras pentas dan Petugas Khas NH Mall Worldwide, Ustaz Muhammad Fittri yang turut hadir.


Menara mana pula agaknya yang akan menjadi lokasi ‘Gema Selawat’ seterusnya? Mungkinkah di Menara Merdeka 118 setinggi 678.9 meter atau Menara Taming Sari yang cuma setinggi 80 meter atau ada yang lain? Apa pun kenalah tunggu bila tiba masanya seperti janji Noor Amira.

Yang pasti, tirai 2024 seterusnya ditutup dengan bacaan doa  mengharapkan rahmat dan keberkatan dari Allah SWT untuk umat Islam di seluruh dunia dan diiringi lagu Negara Ku serta salam bersalaman memohon keampunan sekali gus mengeratkan sillaturrahim semua.

Cuma ‘slack’nya pada malam itu, pertama kali juga Kak Fas dan ramai yang lain terpaksa tunggu berjam-jam untuk turun dari Menara KL, waima khabarnya kira-kira 4,000 khalayak yang hadir pada malam tersebut.


Penganjur turut mengundang tokoh-tokoh Islam terkemuka antaranya daripada Syria, Yaman dan Mekah,


Disebabkan kesesakan itu. tidak dapat dibayangkan andai kata berlaku ‘kecemasan’ bagaimana nak turun  dengan pantas. Lif yang ada cuma empat tetapi satu tidak berfungsi manakala satu lagi dilihat terus menerus turun dari atas ke bawah tanpa berhenti di TH02 di mana kami berada.

Hanya dua lif yang beroperasi sedangkan satu lif berkongsi pula dengan perabot-perabot dam peralatan yang perlu juga dibawa turun pekerja.

Mungkin pihak pengurusan Menara KL perlu memikirkan alternatif lain untuk membawa khalayak turun dengan selamat dan pantas andainya berlaku insiden yang berbahaya. Apa solusinya perlulah difikir-fikirkan.

Dalam pada itu, pertama kali juga Kak Fas terpaksa turun berjalan kaki ke tempat parkir kereta di bawah melalui lorong dan tangga yang tersedia. Penat gak waima bas ‘shuttle’ tidak mencukupi untuk semua. Disyorkan menyewa beberapa bas shuttle jika ada majlis sebesar begini malah tak salah jika mahu dikenakan tambang 50 sen sekali pun. rasanya sanggup membayar untuk turun ke tempat parkir di kaki bukit.

Walau bagaimanapun, Selamat Tahun Baharu dan Salam bulan Rejab! - KitaReporters

13
14
0
11
0

Copy Link: