Selamat tinggal Ramadan! Bagaimana dengan puasa kita? Capai KPI tak? Atau sekadar lapar dan dahaga?
Published by
SOLAT sunat tarawih antara ibadah dilakukan sepanjang bulan Ramadan.
BULAN Ramadan 1446H/2025M sudahpun sampai ke penghujungnya dan kini kita meraikan ‘hari kemenangan’ dengan merayakan Hari Raya Aidilfitri.
Namun, di sebalik keghairahan kita hendak menyambut Aidilfitri, marilah kita menoleh ke belakang, merenung sejenak pencapaian atau petunjuk prestasi utama (KPI) kita sepanjang mengerjakan ibadah puasa pada Ramadan tahun 2025 ini.
Apakah kita benar-benar mencapai KPI ditetapkan sebagai syarat mendapatkan taqwa yang sebenar? Atau puasa kita sekadar 'berpuasa'.
Menurut pendakwah, Ustaz Mohd Firdaus Abu, Ramadan adalah bulan yang membawa keberkatan, rahmat, maghfirah serta menawarkan pembebasan daripada api neraka sebagaimana dijanjikan oleh Allah SWT namun berapa ramai yang menyambut tawaran itu?
“Nabi Muhammad SAW bersabda betapa ramai umat yang puasanya sia-sia, tak dapat apa-apa kecuali lapar dan dahaga.
“Golongan ini adalah kalangan mereka yang berpuasa sekadar ‘melepaskan batok di tangga’, tak melakukannya secara bersungguh-sungguh.
“Mereka tidak ada kesungguhan untuk memperbaiki diri dan tiada kesungguhan untuk meningkatkan kualiti ibadah sepanjang Ramadan.
“Kedaan ini dapat kita lihat dengan kehadiran umat Islam mengerjakan solat tarawih di masjid atau surau. Minggu pertama kedaannya sungguh luar biasa sehingga ada tempat terpaksa menempah khemah untuk menampung kehadiran Jemaah yang ramai.
“Masuk minggu kedua, jemaah mula berkurangan, minggu ketiga mereka semakin jarang datang solat tarawih di masjid atau surau sehingga kita boleh nampak saf pun ada ruang antara jemaah.
“Minggu keempat, jemaah yang pada awalnya ghairah datang bersolat tarawih mula mengambil sikap kadang-kadang datang, kadang-kadang tidak.
“Malah, kadang-kadang imam pun turut hilang kerana balik ke kampung,” ujar Ustaz Firdaus menerusi Kuliah Subuh di Surau Jabal Nur, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor pada Sabtu, 29 Mac, 2025.
Beliau juga menegur sikap umat Islam yang berlumba-lumba balik ke kampung sehingga mengabaikan solat tarawih.
“Berapa ramai yang tidak bersolat tarawih kerana nak balik kampung. Sepatutnya mereka bergerak balik selepas menunaikan solat tarawih atau dalam perjalanan, singgah di mana-mana untuk bersembahyang tarawih.
“Mungkin ada yang melakukannya tapi lebih ramai yang mengabaikannya. Alangkah ruginya golongan ini apatah lagi berlaku pada penghujung Ramadan,” katanya lagi.
USTAZ MOHD FIRDAUS ABU
Menurut Ustaz Firdaus, sepatutnya menjelang berakhir Ramadan, umat Islam mempertingkat dan memperkemas lagi ibadat mereka kerana kita tidak pasti adakah kita akan bertemu lagi dengan Ramadan tahun depan (2026).
Beliau berkata, adalah penting untuk umat Islam merenung serta menilai prestasi mereka sepanjang Ramadan, apakah ada peningkatan, statik atau semakin teruk? Contohnya, Ramadan tahun lepas hanya mengata, tapi tahun ini upgrade ke fitnah?
“Tanya diri sendiri, habis Ramadan bagaimana amal ibadat kita, bagaimana akhlak kita. Kata Imam Ghazali, jika sama saja seperti tahun sebelumnya, tak ada peningkatan, maka ia sia-sia. Jika lebih teruk, ia adalah celaka.
“Sangat malang Ramadan yang menawarkan pelbagai tawaran disia-siakan, tidak diambil peluang sewajarnya kerana setiap perkara bermanfaat kita lakukan seperti bersolat sunat, membaca al-Quran, bersedekah, bermunajat kerana Allah gandakan pahala sehingga 700 kali ganda.
“Amalan fardu seperti solat digandakan 70, sementara solat sunat yang kita kerjakan pada bulan Ramadan mendapat pahala sembahyang wajib. Tapi, berapa ramai ambil peluang itu?
“Sesiapa yang mendirikan ibadat dengan keimanan serta keyakinan dan mendapat Lailatuqadar, maka akan dihapuskan dosa-dosa lalu,” jelasnya.
Gambar hiasan... SUASANA balik kampung pada setiap perayaan.
Di samping itu Ustaz Firdaus berkata tidak kurang pentingnya adalah kesinambungan ibadah selepas berakhirnya bulan Ramadan.
“Teruskan apa yang sudah kita lakukan sepanjang Ramadan seperti solat sunat, sekurang-kurang buat tahajud dan dhuha.
"Teruskan juga amalan membaca al Quran walaupun sudah khatam pada Ramadan kerana Nabi SAW menyuruh kita membaca Quran sehingga kita mati.
“Kedua, amalkan kebiasaan yang baik semasa Ramadan seperti menjaga makan, tidur dan ibadah. Banyakkan bersedekah, juga jaga hubungan sesama manusia.
“Teruskan juga momentum bulan puasa dengan berpuasa sunat selepas Ramadan. Di samping itu tingkatkan ilmu agama dengan menyertai kelas agama, kuliah dan membaca buku-buku agama.
“Dan paling penting, jaga solat lima waktu kerana itulah asas bagi memastikan kita terus istiqamah dengan segala amalan dan kebaikan yang kita lakukan sepanjang Ramadan.
“Jika kita berjaya istiqamah dengan segala amal baik yang kita lakukan dari akhir Ramadan kali ini sehingga bertemu Ramadan akan datang, Allah akan hapuskan dosa-dosa kita sepanjang tempoh itu,” katanya mengakhiri kuliah.
Allahuakbar! Sama-sama kita bermuhasabah diri, adakah kita dalam golongan yang meraih ganjaran Allah atau yang menanggung kerugian. Wallahualam. - KitaReporters
SUASANA lengang pada Kuliah Subuh di Surau Jabal Nur kerana ramai yang sudah balik ke kampung.-