PANDEMIK Covid-19 masih belum reda. Sedar atau tidak, penularan wabak ini sudah memasuki usia setahun lebih sejak ia mula dikesan pada pertengahan Disember 2019 di Wuhan, China. Menurut laman web Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), wabak ini telah meragut lebih 2.0 juta nyawa penduduk dunia selain turut membabitkan lebih 93 juta kes positif setakat 15 Januari 2021. : KitaReporters



Lagi cerita-cerita berkaitan Islamic Relief:

https://kitareporters.com/search?search=islamic+relief


Di Malaysia pula, terdapat lebih 33,000 kes aktif manakala angka kematian sudah menjangkau 578 orang setakat 14 Januari. 

Impak dari sudut ekonomi sememangnya tidak dapat dinafikan lagi. Kesan besar lain yang turut membimbangkan adalah dari sudut tekanan mental dan psikososial di kalangan masyarakat. Ketakutan terhadap virus ini dilihat merebak lebih pantas daripada penularan wabak itu sendiri.

Penderitaan yang dialami masyarakat dunia tidak terhenti di situ, pembukaan tahun 2021 bukan sahaja memberi tekanan berganda kepada penduduk dan pelarian di luar negara dengan ancaman musim sejuk, malahan di Malaysia sendiri ada sesetengah penduduk berdepan ujian bah ekoran taburan hujan lebat berterusan.

Agihan bantuan pek makanan bagi membantu penduduk terjejas pandemik Covid-19 di PPR Desa Rejang, Setapak, Kuala Lumpur dengan kerjasama Islamic Relief Malaysia dan program ILTIZAM tajaan Ekuiti Nasional berhad (EKUINAS). - Kredit foto-foto: Islamic Relief Malaysia


Seperti yang semua sedia maklum, Islamic Relief Malaysia (IRM) sentiasa proaktif membantu golongan rentan sama ada di dalam mahupun di luar negara.

Dalam situasi semasa yang menguji penduduk dunia seluruhnya, Islamic Relief Malaysia bersama barisan Ikon Kemanusiaan saling berusaha keras menjalankan kempen dan aktiviti pengumpulan dana untuk meringankan beban mereka yang terjejas.

“Sebagai salah seorang Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia, saya anggap usaha menyebarkan semangat kemanusiaan dan inisiatif mengajak masyarakat melakukan kerja kebaikan merupakan tanggungjawab saya sebagai selebriti. 

"Saya berharap dengan inisiatif yang dilakukan ini, para peminat dan follower saya juga boleh turut serta menjalankan perkara kebaikan untuk manfaat dunia sejagat.

“Islam juga menggalakkan kita untuk saling bantu-membantu dan memberi manfaat kepada orang lain. Pendekatan memberi manfaat itu tidak kira dalam apa jua bentuk pertolongan dan bantuan yang dihulurkan asalkan ia mendatangkan kebaikan kepada si penerima. 

"Mungkin dengan sekecil-kecil sumbangan yang kita hulurkan hari ini sebenarnya dapat memberi impak besar dalam hidup seseorang, siapa tahu,” kata Ashraf Muslim, Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia.



Meskipun padat dengan jadual penggambaran dan tugasan lain, Ashraf tetap berusaha untuk menjayakan kempen ini selain berkongsi pengalaman dan kata-kata semangat untuk pesakit Covid-19.

Menurut Ashraf, pesakit Covid-19 bukan penjenayah dan tiada siapa yang minta untuk diduga dengan keputusan positif jangkitan. Justeru, dia menasihati masyarakat sekeliling agar memberi semangat kepada pesakit Covid-19 yang dikenali serta mengelakkan insiden-insiden kecaman berlaku.

Tambahnya, ujian ini adalah takdir yang telah ditetapkan Allah dan kita sebagai hamba perlu sabar, redha serta tabah mengharunginya. 

Ashraf Muslim dan kumpulan nasyid Saujana telah mengambil langkah proaktif mengumpul dana dengan melancarkan kempen Covid-19 Emergency Appeal (Rayuan Kecemasan Covid-19) secara dalam talian di platform crowdfunding Launchgood.



“Pandemik tidak hanya memberi kesan kepada golongan B40 dan ke bawah, malahan golongan M40 contohnya turut terkesan dan ada yang hilang punca pendapatan akibat dibuang kerja. 

“Dan kalau M40 pun terasa susah dan sukarnya hidup dalam keadaan pandemik ini, bayangkan betapa peritnya lagi kehidupan golongan B40 yang sememangnya sudah sedia susah daripada sebelum pandemik melanda,” kata Ahmad Zuhaidi Abd Aziz, Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia.

“Pandemik ini memang memberi impak yang sangat mencabar pada kami sekeluarga. Bil api dan air kadangkala tertunggak. Dalam keadaan gaji suami yang telah dipotong dan pemberian elaun juga sudah dihentikan, keadaan kewangan keluarga kami memang sangat terjejas. 

“Dari segi makanan, kami memang cuba sedaya upaya untuk berjimat cermat. Alhamdulillah, anak-anak faham keadaan ibu ayah mereka sedang susah sekarang dan mereka tidak merungut walaupun terpaksa makan nasi berlaukkan telur selalu,” kata Sharifah Nor Hayati, penerima manfaat bantuan Covid-19.

“Ahli keluarga saya ada tujuh orang dan saya seorang sahaja yang bekerja untuk menyara keluarga. Saya bekerja mengambil upah memasang pendawaian elektrik. Sejak pandemik, pendapatan saya turut terjejas. Hasil upah yang diperolehi berkurangan daripada dahulu sebab ‘job’ pun kurang.

"Pernah juga kami terputus bekalan makanan sewaktu mula-mula Covid-19 melanda, tetapi mujur ada ahli keluarga dan saudara mara yang sudi membantu kami di sini," kata Mohd Salleh bin Mohamed, penerima manfaat bantuan Covid-19.


Antara sumbangan bantuan khusus bagi penduduk terjejas Covid-19 di Sabah hasil usahasama Islamic Relief Malaysia dan Malaysian Relief Agency (MRA).


Pelbagai luahan diterima dan terlalu banyak kisah sedih yang dikongsi. 

Ibu bapa runsing dengan komitmen kewangan juga perbelanjaan harian dalam meneruskan kelangsungan hidup.  Anak-anak pula menghitung hari untuk kembali ke sekolah persekolahan bagi menjalani pembelajaran secara fizikal seperti dahulu.

“Memandangkan kita semua terkesan, jadi sama-samalah kita berkongsi rezeki yang ada. Peka dan prihatinlah dengan orang-orang di sekeliling kita dan cubalah bantu semampunya.

"Jika tidak mampu membantu dari sudut wang ringgit, bantulah dengan memberi sokongan moral atau lebih mudah bantulah kami sebarkan maklumat berkenaan kempen ini,” kata Suffian Amrin, Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia.

“Jika ada yang sering melemparkan persepsi juga kata-kata bahawa NGO di Malaysia banyak membantu penerima manfaat di luar negara, jadi dengan adanya kempen COvid-19 Emergency Appeal ini dapat mengubah pandangan mereka. 

“Islamic Relief Malaysia khususnya sentiasa berusaha membantu mereka yang memerlukan tanpa mengenepikan keperluan bantuan masyarakat kita sendiri. Jadi, bantu kami dengan menyokong kempen ini kerana sedekah itu bukan amalan orang kaya sahaja tetapi ianya ibadah yang mampu menjemput rezeki menjadi melimpah ruah,” kata Azalinor Abdul Rahman, Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia.



Orang ramai yang berminat untuk membantu boleh melakukan sumbangan serendah RM5 menerusi platform berikut:

  1. https://www.launchgood.com/AshrafSaujanaCovid19. Sumbangan menerusi kad kredit/debit. (jika anda mengalami kesukaran untuk meneruskan langkah seterusnya, sila hubungi pusat khidmat pelanggan bank anda untuk pertanyaan lanjut).
  2. Nombor akaun CIMB Islamic Relief Malaysia: 8602073818. Sila isikan bahagian butiran pembayaran dengan ‘LG_ICON’ untuk rujukan dan rekod pihak Islamic Relief Malaysia.
  3. Bagi akaun bank yang tidak mempunyai bahagian butiran pembayaran, anda boleh hantarkan bukti pembayaran (resit/slip bank) ke aplikasi WhatsApp Islamic Relief Malaysia di +60196379788. - KitaReporters

0
0
0
0
0

Copy Link: