Rashid Mat Shah menunjukkan tong yang digunakan untuk menadah air hujan bagi kegunaan hariannya. - Kredit foto: Sinar Harian


Penantian selama hampir 30 tahun, seorang warga emas tanpa dokumen pengenalan diri, yang menghuni pondok usang di kebun getah dekat hutan, untuk melihat dunia luar akhirnya menjadi kenyataan apabila kisahnya yang tular sebelum ini mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim.

Kegembiraan jelas terpancar pada wajah Rashid Mat Sah, 65, ketika ditemani Pegawai Khas ADUN Slim, Mohd. Nazri Mohd. Hashim dan pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dibawa ke Pejabat Pendaftaran Negara (JPN) di Slim River untuk urusan pengenalan diri.

Dia juga dibawa ke klinik untuk menjalani pemeriksaan kesihatan termasuk rawatan penyakit kulit yang dialaminya turut teruja kerana bakal mendapat kad pengenalan diri yang diidamkannya selama ini.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan hutan


Rashid di depan pondok usang yang dijadikan tempat tinggalnya sejak hampir 30 tahun lalu.

Kredit foto : Facebool Mohd. Zaidi Aziz.


ADUN Slim, Mohd. Zaidi Aziz berkata, beliau telah melawat warga emas itu di pondok usangnya di hutan yang berteman 15 ekor anjing sebelum ini selepas dimaklumkan orang awam yang mendapati kehidupannya begitu daif dan memerlukan bantuan. 

“Saya akan terus membantunya untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri selain bantuan lain termasuk bekalan barangan keperluan harian selain peralatan seperti dapur gas serta pinggan mangkuk.

“Pihak kami juga akan cuba menggali perigi untuk mendapatkan bekalan air bersih serta membina kandang anjing bagi mengelakkannya tinggal di dalam pondok bersama Rashid,” katanya.


Mohd Zaidi Azizi. - Kredit foto:  UMNO Online.


Kisah Rashid yang hidup sebatang kara tular sebelum ini selepas didedahkan oleh Presiden Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia, Dr. S Santharasekaran yang menemui tempat “persembunyian” warga emas tersebut di kawasan kebun getah dekat hutan, yang terletak kira-kira 1.5 kilometer dari Jalan Trolak-Slim River, Perak.

Menceritakan kisah hidupnya, Rashid yang berasal dari Kota Tinggi, Johor berkata, dia yang tiada dokumen pengenalan diri sejak kecil kerana tinggal dengan neneknya selepas kematian bapa, sementara ibunya pula menghilangkan diri selepas berpisah dengan bapanya.


Rashid menunjukkan dapur kayu yang digunakan untuk memasak. - Kredit foto:  Sinar Harian.



“Saya mengambil keputusan untuk merantau mencari kerja sehingga ke sini (Slim River, Perak) dan ditawarkan kerja menjaga dusun durian.

“Disebabkan tiada dokumen pengenalan diri, pergerakan saya terbatas dan mengambil keputusan untuk terus tinggal di sini dan membina pondok menggunakan zink dan kayu terpakai untuk dijadikan tempat berlindung dari hujan dan panas,” katanya.

Beliau berkata, dia hanya menggunakan air hujan yang ditadah untuk kegunaan harian selain menyalakan pelita pada waktu malam serta memasak menggunakan dapur kayu.


Rashid menerima bantuan barangan keperluan daripada Dr. Santharasekaran. - Kredit foto: Sinar Harian.


Menurutnya lagi, sejak tinggal di pondok usang di hutan itu dia tidak pernah keluar walaupun untuk membeli barangan keperluan, sebaliknya meminta bantuan pemilik kebun berhampiran, Dr. PK Velayudhan untuk membelikan barangan keperluan.

Dia hanya bergantung hidup hasil upah menjaga kebun berhampiran dan tidak berhasrat untuk pindah kerana sudah biasa dan selesa dengan suasana di kawasan tersebut.

“Memang saya berasa sunyi tinggal bersendirian di sini, namun saya sudah terbiasa dengan kehidupan begini yang hanya ditemani anjing-anjing yang ada ini.

“Selepas ini saya sudah boleh keluar untuk membeli barangan keperluan sendiri dan meihat dunia luar bagi menghilangkan rasa sunyi apabila mendapat kad pengenalan diri nanti,” katanya. - KitaReporters


Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Slim River melawat Rashid bagi mendapatkan maklumat lanjut warga emas itu. - Kredit foto:  Sinar Harian

1
0
0
0
0

Copy Link: