Keadaan Md Din yang terlantar kaku ketika dirawat di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia.


SAMBUTAN Kemerdekaan Negara ke-64 tahun ini besar ertinya kepada pengurusan Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia di Semenyih, Selangor apabila berjaya memulih dan memberikan kehidupan baharu kepada seorang warga Bangladesh yang tersisih di situ sejak Oktober 2020 lalu.

Warga asing itu yang dikenali dengan nama Md Din Islam, 41, ibarat diberi ‘nyawa baharu’ untuk meneruskan kehidupan selepas terjatuh dari bangunan tempat beliau bekerja dan mengalami kecederaan parah di kepala serta ditinggalkan rakan di Hospital Serdang, Selangor dalam keadaan ‘nyawa ikan’.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pusat jagaan

Md Din menyampaikan cenderahati kepada Pegawai Jabatan Sosial Perubatan Hospital Serdang, Aidah Jaamat (kanan) yang bertanggungjawab dalam urusan memindahkannya ke pusat jagaan itu.


Pengerusi pusat jagaan itu, Ruslan Saidin, berkata sebaik sahaja dihantar oleh Jabatan Sosial Perubatan hospital berkenaan Md Din terus ditempatkan di satu katil untuk membolehkan rawatan pemulihan dilakukan oleh petugas pusat itu selain mendapat rawatan lanjut di hospital.

Menurutnya, pada ketika itu keadaan Md Din sangat kurus, kaku terlantar begitu sahaja di atas katil tanpa boleh bercakap seperti orang koma dengan hanya menerima makanan khususnya susu melalui saluran tiub yang disalurkan ke lubang hidung.


Pengerusi Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Ruslan Saidin (kanan) menyampaikan sumbangan barangan kepada Md Din sebelum berangkat pulang ke Bangladesh pada 19 Ogos 2021 lalu.


Jelas beliau, rawatan serta pembersihan diri warga Bangladesh itu seperti pertukaran pampers pakai buang semua dilakukan oleh petugas pusat itu yang sedikit pun tidak menunjukkan rasa bosan atau jemu sebaliknya tetap bertanggungjawab melaksanakan tugas setiap hari.

“Penasihat Satu, Azman Rasman dan Penasihat Dua, Mohiadin Bahado pusat jagaan ini senantiasa memantau dan mengawasi penjagaan Md Din ini dengan berharap dia akan pulih serta boleh berhubung dengan keluarga di negara asal selepas terputus hubungan lebih dua tahun.


Mohiadin (kiri) menerangkan keadaan Md Din kepada dua pramugari MAS yang akan membantunya menaiki pesawat ke Bangladesh.


“Berkat doa kita semua Md Din menunjukkan tindak balas dan reaksi apabila mula boleh bangun untuk duduk di atas katil dan berjalan selain luka teruk akibat jangkitan kuman di belakang punggungnya pulih dengan sempurna beberapa bulan sebelum Ramadan tahun lalu (2020),” katanya.

Azman berkata, sebaik pulih selepas berada lapan bulan di pusat jagaan itu Md Din menyatakan keinginan untuk pulang ke tanah airnya selepas sekian lama tidak berhubung dengan keluarganya dan melahirkan rasa bersyukur diberi nyawa panjang untuk meneruskan kehidupan.


Mohiadin menguruskan urusan penerbangan Md Din di kaunter MAS Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.


Menurutnya, beliau dengan Mohiadin akhirnya berjaya mendapatkan maklumat dengan bantuan beberapa warga asing negara itu dan membuat panggilan video telefon dengan emak Md Din di Bangladesh untuk memaklumkan anak beliau itu masih hidup.

“Apa yang kami lakukan semata-mata ikhlas membantu mereka yang terbiar tanpa waris walaupun bukan rakyat negara ini, demi rasa tanggungjawab dan keprihatinan membela nasib mereka ditimpa musibah,” katanya.


Md Din mengangkat tangan tanda selamat tinggal sebelum berlepas balik ke Bangladesh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Subang.


Mohiadin berkata, seorang dermawan Titi Rahmawati Hamedon menaja pembelian tiket kapal terbang dan sebagainya untuk membolehkan Md Din pulang berjumpa keluarga selepas beliau secara kebetulan datang ke pusat jagaan itu dan dimaklumkan mengenai nasib warga asing berkenaan.

Menurutnya, dengan bantuan pelbagai pihak seperti Hospital Serdang, Jabatan Imigresen, Kedutaan Bangladesh dan Penerbangan Malaysia Berhad (MAB), akhirnya Md Din dapat dihantar pulang ke tanah airnya pada 19 Ogos 2021 lalu dan selamat sampai berjumpa dengan ahli keluarganya di sana.


Md Din (kanan) bersama ahli keluarga selepas selamat sampai di kampungnya di Bangladesh.


Kata Mohiadin, apa yang dilakukan itu umpama memerdekakan seorang warga asing yang terbiar serta memberikan dia nafas baharu selepas pulih daripada kecederaan parah sehingga boleh menjalani kehidupan seperti orang lain dan berjumpa kembali dengan keluarga khusus emak, isteri dan adik- beradik.

“Ketika membuat panggilan video telefon apabila kami menunjukkan wajah Md Din, emak dan isteri beliau menitis air mata menahan kesedihan kerana mereka menyangka Md Din sudah meninggal dunia selepas terputus hubungan serta merayu supaya dihantar pulang segera Md Din,” katanya. - KitaReporters


Kiriman WhatsApp daripada Md Din sebaik tiba di Bangladesh.

16
2
1
1
0

Copy Link: