Video| Tuah badan! Dari hidup jalanan ke dunia glamor! Dari pengemis simpati jadi model terkenal!
Published byKEMISKINAN itu tidak hanya membawa nasib malang semata-mata, sebaliknya ada ketikanya tanpa kita sedari kemiskinan mampu menghadirkan ruang dan peluang bagi seseorang itu mengapai kehidupan yang lebih baik untuk keluar dari belenggu kemiskinan.
Hal demikian dibuktikan melalui kisah hidup model jelita Filipina, Rita Gaviola yang pernah menjadi pengemis jalanan di bandar kelahirannya Lucban, Quezon City, Filipina sebelum menempa nama dalam bidang peragaan dan hiburan di Filipina.
Anak sulung dari lima adik-beradik itu dilahir dalam sebuah keluarga miskin di mana bapanya hanya seorang pengutip sampah sementara ibunya seorang suri rumah sepenuh masa yang terpaksa meguruskan hal keluarga serta empat orang adiknya yang lain.
Disebabkan kemiskinan, empat adiknya tidak berpeluang untuk menjejakkan kaki ke sekolah dan Rita sendiri terpaksa turun mengemis di jalanan selepas habis waktu sekolah untuk membantu kewangan keluarga bagi memastikan kelangsungan hidup keluarga tersebut dan lebih menyedihkan, ada kalanya mereka terpaksa mengikat perut kerana bapanya tidak mampu meyediakan makanan mencukupi untuk mereka sekeluarga.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kehidupan pengemis
Namun pada Mei tahun 2016, ketika usianya meginjak ke angka 13 tahun, ternyata ada hikmah disebalik kemiskinan keluarganya apabila kehadiran Rita yang mengendong adiknya untuk mengemis di Festival Pahiyas di bandar Lucban telah menarik perhatian seorang jurufoto Filipina, Topher Quinto Burgos yang kebetulan menghadiri festival tersebut di mana dalam diam-diam dia telah merakam gambar Rita ketika mengemis.
Topher yang tertarik dengan keayuan semula jadi yang dimiliki Rita telah memuat naik gambar tersebut dalam laman sosial dan telah menarik perhatian Miss World Philippines 2015, Hillarie Danielle Parungao; Miss International Philippines 2014, Bianca Goidotti; dan Miss Earth Philippines 2015, Angelua Ong yang kemudiannya bersepakat untuk membawa Rita keluar dari belenggu kemiskinan.
Bermula saat itu, gadis yang medapat gelaran 'Badjao Girl' kerana berasal dari etnik Badjao itu telah dihujani dengan pelbagai tawaran untuk menjadi model beberapa jenama selain berpeluang muncul dalam beberapa rancangan televisyen dan yang paling manis mencatat sejarah muncul peserta termuda dalam program realiti antarabangsa 'Big Brother' ketika berusia 13 tahun.
Sejak itu, Rita bukan sahaja mendapat perhatian dalam kalangan rakyat Filipina, malah turut mengumpul pengikut dari luar negara yang turut membantunya menjadi semakin terkenal dan terdapat juga dalam kalangan mereka yang membantu Rita serta keluarga dari segi kewangan.
Pada tahun 2018, Rita Gaviola telah memuat naik video yang memaparkan rumah baharu keluarganya dan mengucapkan terima kasih kepada seorang peminatnya dari Amerika Syarikat, Grace Kreutzer yang dikatakan telah menaja kos pembinaan rumah baharu tersebut.
Enam tahun berlalu, Rita Gaviola kini sudah menginjak dewasa dan apa yang lebih menarik mengenai model yang kini berusia 19 tahun itu, dia tidak pernah lupa kepada apatah lagi cuba menyembunyikan kisah silam hidupnya yang pernah menjadi pengemis jalanan, malah dia juga tidak pernah memadam gambar-gambar zaman kanak-kanaknya yang terpaksa menjalani kehidupan dalam kemiskinan dalam Instagram miliknya, @itsritagaviola yang mencatat lebih 160,000 pengikut.
Kejelitaan semula jadi Rita menjadi rebutan pelbagai pihak untuk kerjasama mempromosi produk mereka. - Kredit foto: Instagram@itsritagaviola.
Biarpun sudah mempunyai kehidupan yang selesa ketika ini, Rita yang bercita-cita untuk mewakili Filipina dalam pertandingan Miss Universe dikatakan lebih selesa hidup secara sederhana berbanding kehidupan mewah penuh glamor yang mampu dijalaninya ketika ini.
Menyedari kecantikan bukan anugerah yang berkekalan dan kerjayanya sebagai model bakal melalui zaman pudar suatu hari nanti, Rita kini giat menumpukan perhatian terhadap pengajiannya sebagai persiapan masa depan dan dalam masa sama tidak mengetepikan bidang peragaan yang telah membawanya ke tahap seperti hari ini.
Kisah kejayaan Rita Gaviola ini mungkin terjadi hanya satu dalam jutaan insan yang terpaksa hidup dalam kemiskinan, namun ianya sebagai bukti bahawa tiada yang mustahil dalam kehidupan ini. - KitaReporters