NELAYAN Zon Selatan Melaka Tengah menarik nafas lega menyambut Syawal apabila menerima bayaran sagu hati terakhir RM750 seorang daripada jumlah keseluruhan RM3,000 berikutan projek tambakan laut membabitkan kawasan penangkapan ikan mereka. : KitaReporters


Penyerahan bayaran terakhir kepada 49 nelayan terbabit itu disempurnakan oleh Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani Melaka, Datuk Norhizam Hassan Baktee dalam majlis ringkas yang diadakan di Balai dan Jeti Nelayan Sungai Punggor Alai, Melaka, petang 18 Mei 2020.

Norhizam Hassan Baktee 


Jawatankuasa Pengerusi Nelayan Bukit Punggor Alai, Abdul Rahman Abdullah berkata, penyelesaian semua bayaran sagu hati itu menggembirakan ramai nelayan terbabit yang rata-rata sudah berusia lanjut.

Menurutnya, bayaran itu adalah yang keempat apabila sebelum ini mereka sudah menerima tiga kali pembayaran secara berperingkat-peringkat berikutan kawasan penangkapan ikan ditebus guna untuk projek pembangunan.

Sebahagian nelayan Zon Selatan Melaka Tengah sedang menyemak nama  di meja urus setia pendaftaran. - Kredit foto: JPKK Bukit Punggor


Projek tebus guna tanah itu menjejaskan kawasan penangkapan ikan nelayan di Limbongan, Ujung Pasir, Padang Temu, Bukit Punggor dan Umbai.

“Bayaran sagu hati itu, sekali gus meringankan bebanan tanggunggan mereka yang tidak dapat turun ke laut untuk menangkap ikan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan,” katanya.

Abdul Rahman Abdullah 


Seorang nelayan terbabit dari Bukit Punggor, Hazali Abdul Kadir berkata, duit sagu hati itu dapat digunakan untuk membeli pelbagai barangan keperluan sebagai persiapan menyambut Syawal yang hanya beberapa hari sahaja lagi.

“Saya bersyukur dengan keprihatinan kerajaan negeri sekarang ini yang berusaha mempercepatkan bayaran itu apabila menyedari kesempitan hidup nelayan yang tidak dapat turun ke laut untuk menangkap ikan kerana PKP,” katanya.

Hazali Abdul Kadir menerima bayaran sagu hati daripada Norhizam 


Sementara itu, Norhizam dalam ucapan ringkasnya, mengingati nelayan supaya berhati-hati apabila dapat turun ke laut semula terutama mengambil langkah keselamatan bagi membanteras penularan wabak Covid-19.

Beliau juga menyarankan nelayan supaya membawa telefon bimbit untuk merakam sebarang aktiviti nelayan asing yang menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan sebagai langkah melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan. - KitaReporters

Sebahagian bot nelayan Bukit Punggor Alai tersadai di pengkalan apabila ramai nelayan belum turun ke laut berikutan PKP.

8
0
0
0
1

Copy Link: