Pujian terlampau buat Siti Sarah? Jawapan Ustaz Azhar Idrus mengenai hukum, peraturan memuji!

Published by
KitaReporters

Allahyarham Siti Sarah Raissuddin. - Kredit foto: Facebook Shuib Sepahtu


MULAI hari pertama penyanyi dan usahawan Siti Sarah Raissuddin (Sarah) diumum telah pergi ke negara abadi, laman media sosial dibanjiri kata-kata pujian dan doa terhadapnya, bagai air deras yang mengalir, melimpah ruah tanpa dapat dihalang. 

Bukan saja dalam kalangan netizen bahkan asatizah turut memuji sampai ada mengatakan ada tanda husnul khatimah pada kematian almarhumah. Ini berdasarkan dua faktor, iaitu pertama meninggalnya bersebab melahirkan anak dan kedua kerana wabak penyakit, kata Ustazah Asma Harun.


Lagi cerita-cerita




Satu fenomena baru yang positif apabila ada artis yang mati meninggalkan nama baik dikaitkan dengan amalan dan kebajikan.  Kerana kebiasan, trend pemikiran ramai, kalau artis automatik dipandang negatif, berikutan aktiviti lara pakaian ketat, tidak menutup aurat, terlalu sosial dan sebagainya.

Hakikatnya bukan semua artis begitu. Kalau pun pada peringkat awal kelihatan sedemikian, jangan lupa bahawa manusia boleh berubah merentasi zaman kehidupannya, sama ada menjadi lebih baik atau sebaliknya di penghujung hayat.

Berapa ramai rasa bersalah terhadap Sarah kerana pandangan negatif mereka pada masa lalu setelah rahsia amalan baiknya terbongkar, sebagai seorang sangat baik dan dermawan. 

Juga ramai kagum apabila mendapat tahu ada imam masjid di Mekah turut solat ghaib dan mendoakan khas untuk Sarah, dari bumi Ambia itu. 


Siti Sarah dan Shuib Sepahtu. - Kredit foto - Facebook Shuib Sepahtu.


Selebriti dan usahawan, Shuib Sepahtu menyifatkan isterinya terlalu baik dan menggelarkannya bidadari syurga, yang kemudian dipetik oleh ramai seperti kelihatan melata dalam media sosial.

Viral pujian itu menimbulkan kekeliruan dalam kalangan sesetengah netizen. Pujian mencurah dan terlampau itu menimbulkan persoalan, mereka ingin tahu pandangan dari segi Islam sama ada wajar atau tidak. 

Persoalan itu dijawab Ustaz Azhar Idrus (UAI) dalam video terbaru dalam saluran You Tube beliau melalui sesi soal jawab bertajuk: "PKP Bersama UAI - Viral Puji Kematian Artis?"

"Ramai bertanya hal ini dan saya simpulkan dalam satu jawapan, kerana maksud soalan mereka sama sahaja. Ada orang kata tak boleh puji sangat sebab kita tak tahu macam mana dia dengan Allah. Adakah Allah ampunkan dia atau pun tidak." 

Kepada persoalan itu UAI berkata, sama ada seseorang itu artis atau siapa pun yang meninggal dunia, peraturannnya, kita tahanlah daripada berkata yang tidak baik mengenainya. Dan berkatalah perkara yang baik sahaja.  


Kredit foto - Facebook Shuib Sepahtu


"Kalau ramai yang berkata baik sehingga viral, itu tidak mengapa, jangan ada hasad," katanya.  

"Kita kena tahu hukum memuji orang. Apabila sebut memuji maknanya menyebut benda molek, yang baik. Maka dalam hal ini, Islam menganjurkan berkata yang baik baik. 

"Kalau bercakap, bercakap benda baik, kalau berjalan, berjalan ke tempat yang baik, nak berbuat sesuatu, buatlah perkara baik, kalau fikir, fikir yang baik-baik, maka itu dalam hal memuji ini, hukumnya adalah baik dan digalakkan syarak. Puji Allah, puji makhluk, itu semuanya baik," kata UAI lagi.

Cuma dalam memuji ini ada sempadannya, tambah beliau, dalam segenap hal kita dianjurkan tidak berlebih-lebih, maka begitu juga dengan memuji, janganlah berlebih-lebih. Kalau marah pun jangan berlebih.

"Apabila ada kematian hamba Allah ini (Sarah), ramai post dalam media sosial mengenai kebaikannya. Hukumnya moleklah! Kerana apa, kalau ada orang mati, kita disuruh sebut yang baik, yang molek. Walaupun ada perkara yang tak baik (mengenai si mati), dilarang sebut, begitu juga kepada orang masih hidup," jelas beliau.

Tambahnya, selagi tidak mendatangkan fitnah maka kita boleh memuji.

Sebagai dalil, satu hadis dari kitab Syarah Muslim Imam Nawawi yang bermaksud "harus kita puji orang itu berdepan (maksudnya boleh kita puji di depan muka orang tu) dengan syarat selamat, tidak sampai menimbulkan perkara tidak baik, misalnya dari pujian berlebihan itu menyebabkan fitnah. Maka kalau tidak sampai merosakkan orang itu, memuji hukumnya harus."



Namun bagi orang mati, dia sudah tiada maka pujian itu semua tiada masalah. Itu yang terbaik sebenarnya. Kerana apabila kita sebut kebaikan orang telah mati sebenarnya malaikat mengaminkan. Kita tak dengar kerana itu di alam ghaib, tetapi malaikat mengaminkan.

Kata UIA, "diriwayatkan Ibnu Umar R.A, Nabi SAW bersabda: 'Kalau ada orang mati maka sebut yang molek', maksud pujilah dia dan jangan kamu sebut yang tidak molek, 'tahan mulut kamu daripada mencercanya'." 

Maka sebut sisi baik, yang buruk jangan disebut kerana dia saudara kita, sesama hamba Allah dan sesama Islam, tegasnya.

"Mudah-mudahan apabila kita mati, orang pun berdoa yang baik baik baik untuk kita juga," jelasnya sambil menambah dengan itu kalau nak tulis dalam Facebook, Instagram dan sebagainya, tulislah yang baik-baik.

Kalau kita tengok orang ramai medoakan dia, tengok viral banyak pujian, kita tak perlulah hasad dengki, malah kita berkata-kata yang baik baik juga. 

Bagi orang beriman dengan hari akhirat, jika tidak ada apa nak berkata baik, lebih baik diam sahaja daripada memburukkan si mati. Sebaiknya kita berdoa, semoga Allah Taala memberi keampunan kepadanya. - KitaReporters


1
1
1
1
2

Copy Link: