Haziq Irfan Ahmad Effendi (dua dari kiri) menangi tempat kedua Kategori Classic Physique Novice Open.


Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Haziq Irfan Ahmad Effendi, 25 tahun, mengikuti jejak arwah datuknya Ariffin Hassan yang pernah bergelar Mr Asia dalam pertandingan seni bina badan dalam tahun 1956.  

Menurut Haziq, pembabitannya dalam dunia seni bina badan adalah satu usaha yang dibuat oleh bapanya, Ahmad Effendi Ariffin yang mahu mendisiplinkan hidup Haziq yang banyak buang masa selepas SPM.

Kata Haziq, "bapak hantar Haziq pergi gim untuk disiplinkan diri,  sebab tak mahu Haziq ikut pengaruh rakan sebaya yang tidak elok,  ketika itu baru lepas SPM umur pun bawah 18 tahun. 

"Aktiviti Haziq masa tu melepak sampai tengah malam dan merempit bawak motor laju-laju. Bapak tak suka Haziq campur dengan orang yang salah dan boleh rosakkan masa depan Haziq. Jadi bapak yang aturkan hidup Haziq sampai Haziq berjaya dalam seni bina badan ni. " katanya.


Inilah piala yang diidamkan oleh Haziq yang pernah disandang oleh arwah Datuknya Ariffin Hassan sebagai Mr Asia dalam tahun 1956.


Haziq anak kelahiran Petaling Jaya dan menetap di Puchong, Selangor adalah anak sulung daripada dua beradik, bapanya adalah orang yang memperkenal Haziq dalam dunia sukan bina badan dan sangat banyak memberi sokongan dan membentuk Haziq menjadi atlet bina badan.  

"Haziq tak pernah tahu ada acara atau pertandingan bina badan bawah 21 tahun (B-21)  masa tu, bapak yang uruskan semua tu.

"Haziq mula masuk beberapa pertandingan dalam sukan bina badan. Bermula Dari Mr Kuala Lumpur pada tahun 2019 dan dapat tempat kedua dalam kategori B-21, masa tu baru dapat keyakinan dalam sukan bina badan ini," katanya. 

Bila ditanya mengapa pilih sukan bina badan berbanding sukan yang lain. Haziq memberitahu dia tiada bakat dalam sukan  yang lain walaupun pernah ceburi sukan bola sepak , hoki dan olahraga. 

Tetapi bila menceburi sukan bina badan dan dia kerap menang tempat kedua. 

Yang terkini, Haziq menjadi naib juara pada FIF International Mortal Battle (Asia Tenggara) 2024 yang berlangsung di Jaya One Petaling Jaya pada 21 Disember 2024. Haziq memperoleh Pingat Perak dalam Kategori Classic Physique Novice Open (Terbuka Novis Fizikal Klasik).


Haziq Irfan Ahmad Effendi


Haziq memenangi Pingat Perak dalam Kategori Classic Physique Novice Open pada FIF International Mortal Battle (Asia Tenggara) 2024.


Menurut Haziq lagi, sukan bina badan mengajar beliau mendisiplinkan diri, jaga kesihatan diri, seperti  bangun pagi waktu subuh,  masak sendiri, jalani latihan ikut jadual, jaga permakanan dan mengamalkan pantang serta yang paling penting kurangkan melepak dan membuang masa. 

Impian Haziq pula adalah untuk menjadi juara dan katanya lagi, "Haziq nak bawa balik piala yang arwah Atok pernah pegang lebih 60 tahun lalu sebagai Mr Asia." - KitaReporters


Datuk kepada Haziq pernah menjadi Juara Bina Badan Mr Asia pada tahun 1956. dan sering berkecimpung dalam sukan seni badan sejak remaja. 



8
15
0
12
1

Copy Link: