Sembang-Sembang| Apa nak jadi? Majlis kahwin dah jadi pesta! Adab diketepikan, segan silu pun hilang!
Published by
KitaReporters
--title--
Masa berlalu, manusia berubah. Yang tak boleh, banyak dah boleh. Hukum hakam ditolak ke tepi. Yang penting, tercapai hajat hati
Menjadi trend terkini, majlis kahwin menjadi pesta. Bercampur pelbagai acara, sampai adab pun terlupa.
Majlis kahwin kini bagai pesta hiburan. Adab diketepikan, segan silu hilang.
Inilah yang ingin saya kongsi dengan anda kali ini.
Mengingatkan diri saya juga kadang kala kita terlepas pandang akan perkara perkara yang sepatutnya dijaga pada majlis pernikahan dan perkahwinan.
Tidak salah untuk bergembira tetapi biarlah dengan adab dan kesesuaian tetamu yang hadir.
Yang ingin saya kongsi tentang kebanyakan majlis kahwin sekarang sudah menjadi pesta hiburan.
Di kaca TV, di hotel dan di arena lokasi perkahwinan yang terkenal, perkara ini menjadi kebiasaan sekarang.
Malah ada sesetengah majlis, sebaik pengantin lelaki selesai lafaz nikah, tetamu bertepuk tangan dengan gembira. Pengantin pula buat aksi yess! Sambil mengangkat tangan.
Perlukah? Tak salah bertepuk tangan, cuma tak manis! Bukankah elok diaminkan beramai-ramai mohon keberkatan Allah SWT.
Sambutan gilang gemilang... Meriah. Gamat dengan nyanyian dan tarian. Majlis berinai pelbagai tema. Tua muda sama rancak berdansa. Lupa seketika usia menghambat senja dek teruja menerima menantu.
Gadis dan teruna bercampur suka, usik mengusik tak rasa segan. Ibu bapa pula bagi galakan. Menarilah, bergembiralah sampai pengsan.
Pada hujung majlis pengantin pun ambil bahagian. Berpelukan menari di hadapan tetamu. Aduhai.
Peliknya tiadakah yang menegur? Ibu bapa takkan ikut sahaja kehendak anak. Atau memang itu trendnya kini.
Apapun saya sekadar mencatat apa yang dilihat tanpa sebarang niat dan mengingatkan diri saya juga. Mudah mudahan kita masih mampu mempertahan adab, adat dan budaya positif dalam kalangan generasi kita.
Tidak salah mengikut kemodenan tetapi ingatlah, agama dijunjung, adat dikendong.
Apapun saya akur, ada duit semua jadi. Tepuk dada tanya hati, perlukah ikut orang atau ikut kemampuan kita tanpa mengetepikan adab dan hukum.
Saya ni old school sikit. Maaf jika terasa hati, saya hanya berkongsi!
Iktibar daripada kisah ini.
Dahulukan yang wajib. Biar sederhana jangan membazir. Jangan ikut orang, jangan terikut-ikut dengan hajat nak glamor pada hari bahagia.
Ibu bapa dan saudara mara patut main peranan menyusun majlis supaya lebih cantik dan beradab. Kawal keadaan. Jangan serah bulat bulat kepada perancang majlis.
Pengantin patut lebih peka dengan hari bahagia mereka yang sepatutnya menjadi saat paling bernilai untuk melalui fasa baharu dalam kehidupan.
Lebihkan membaca dan mendalami ilmu dan tip rumah tangga (saya tahu ada yang buat) supaya tahu akan tanggungjawab masing-masing setelah hidup bersama.
Majlis perkahwinan majlis mulia yang membawa keberkatan kepada pengantin dan keluarga.
Jangan sampai tetamu pulang dengan membawang yang macam-macam terutama bila tak dapat salam dengan tuan rumah yang sakan dok berjoget. Pengantin pula hilang outdoor shooting.
Biar sederhana asal tenang jiwa daripada meriah tapi menyakitkan mata. Wallahualam. - KitaReporters
11
12
0
9
1