Allahuakhbar! Ramai mak nyah dah terima hidayah! Untuk kembali ke pangkal jalan! Sertai program agama!
Published byGolongan mak nyah memberi 100 peratus tumpuan ketika mengikuti kelas mengaji
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mengambil inisiatif menyediakan rumah mengaji dan memberi sumbangan wang saguhati kepada golongan mak nyah yang mengikuti Kelas Bimbingan al-Quran dan Fardu Ain anjuran mereka.
Perasaan insaf dan kesal yang lahir dari hati yang tulus ikhlas dan ingin berubah berjaya membawa kesedaran dalam diri golongan mak nyah untuk bertaubat dan kembali ke pangkal jalan. Golongan ini dengan seikhlas hati mula mendampingi ajaran Islam selepas sekian lama lalai dibawa arus nafsu songsang.
Selepas memperoleh hidayah mereka tampil secara sukarela mengikuti program Kelas Bimbingan al-Quran dan Fardu Ain anjuran Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) sejak lebih setahun lalu.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan golongan mak nyah
Beberapa mak nyah bersama pengajar menunaikan solat berjemaah selepas selesai mengikuti kelas di Rumah Ngaji PIP Indera Mahkota.
Kini, terdapat lebih 30 mak nyah mengikuti program terbabit di Rumah Ngaji Persatuan Insaf Pahang (PIP) Indera Mahkota di Kuantan. Tiga guru agama diberi tanggungjawab membimbing golongan terbabit setiap minggu pada Jumaat hingga Ahad.
Pengerusinya, Cik Nor, 50, (bukan nama sebenar) berkata, golongan terbabit yang benar-benar insaf sahaja tampil mengikuti program kelas bimbingan al-Quran dan fardu ain.
Menurutnya, terdapat lebih 200 ahli PIP membabitkan komuniti LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) namun kira-kira 30 sahaja yang tampil mengikuti program keagamaan yang diadakan oleh Muip.
Katanya, kelas bimbingan al-Quran dan fardu ain yang diadakan antara lain bertujuan membawa mereka yang sebelum ini terbabit dengan aktiviti songsang di lorong gelap kembali ke pangkal jalan.
"Ada kalangan mereka yang sebelum ini terlalu lama meninggalkan al-Quran kerana terjebak dengan maksiat, kini mula mendampingi kitab suci yang dapat menghalang mereka daripada meneruskan kegiatan bertentangan Islam.
"Ada juga yang baharu mula mengenali al-Quran, dan ini saya latih membaca Iqra secara berperingkat-peringkat. Kesungguhan yang ditunjukkan begitu membanggakan," katanya ketika ditemui di rumah Ngaji di Indera Mahkota, Kuantan.
Beliau berkata, ada juga dalam kalangan mereka yang belajar mengaji tidak terbabit dengan aktiviti songsang, selain mempunyai kerjaya dalam sektor swasta dan kerajaan termasuk berniaga.
Belajar mengaji
Cik Nor berkata, selain warga tempatan terdapat juga mak nyah dari Thailand dan Indonesia yang turut sama mengikuti kelas al-Quran dan fardu ain selepas mendapat cahaya keinsafan.
"Kelas bimbingan al-Quran dan fardu ain yang dianjurkan MUIP amat bererti buat golongan mak nyah yang telah insaf sekali gus dapat mengembalikan semangat mereka untuk meneruskan kehidupan normal dan bebas daripada aktiviti songsang yang dilalui sebelum ini.
"Saya akan terus berusaha menarik lebih ramai lagi mak nyah menyertai program yang diadakan, walaupun ia sukar tetapi usaha ke arah itu tetap diteruskan," katanya.
Rakannya yang dikenali sebagai Kak Jun, 60, berkata selepas 25 tahun bergelumang dengan aktiviti songsang dalam dan luar negara, akhirnya pintu taubat hadir dalam dirinya selepas kehilangan ibu tersayang.
Menurutnya, perjalanan hidup sebagai mak nyah bertaraf antarabangsa penuh dengan keseronokan, tanpa pernah memikirkan dosa dan janji balasan dari Yang Maha Esa.
"Dalam kelekaan melayan hawa nafsu songsang, hidayah untuk bertaubat datang selepas kehilangan ibu yang tidak reda dengan perbuatan saya sejak sekian lama.
"Saya nekad untuk bertaubat dan mengikuti kelas bimbingan al-Quran dan fardu ain di beberapa tempat dan kini bersama program anjuran MUIP sejak ia diwujudkan setahun lalu," katanya.
Dr Asmadi Abdul Rahman memberi kata-kata semangat kepada golongan mak nyah ketika meninjau Rumah Ngaji di Indera Mahkota.
Bagi Kak Lier, 44 (bukan nama sebenar), selain belajar agama, dia turut membantu mengajar rakan-rakan lain yang malu untuk belajar dengan ustaz.
Katanya, sedikit kemahiran membaca al-Quran yang ada membolehkan dia membantu dalam melancarkan program pendidikan agama bagi golongan mak nyah yang ingin insaf.
Sementara itu, bagi Mohd Khairul Shaharudin, 42, yang bertanggungjawab mengajar golongan mak nyah di kelas bimbingan itu menegaskan bukan mudah untuk mengajar golongan berkenaan.
"Naluri dan perwatakan mak nyah lebih lembut daripada wanita, mereka mudah merajuk, cemburu dan sentiasa ingin perhatian.
"Walaupun susah untuk mengajar mereka namun semangat menimba ilmu yang ditunjukkan golongan terbabit amat tinggi, mereka sentiasa berusaha tanpa rasa jemu, malu dan putus asa," katanya yang juga tenaga pengajar Briged Arriqob MUIP.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, pihaknya juga turut bertanggungjawab menyediakan tiga tenaga pengajar yang berpengalaman.
Katanya, sebagai galakan MUIP menyediakan wang saguhati antara RM100 hingga RM600 sebulan kepada setiap mak nyah yang mengikuti kelas bimbingan al-Quran dan fardu ain di Rumah Ngaji PIP itu.
"Wang saguhati yang disediakan sebagai menampung kehidupan golongan berkenaan terutama bagi mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap selain sebagai galakan mengikuti program terbabit.
"Rata-rata mak nyah berpuas hati dengan kelas bimbingan al-Quran dan fardu ain yang diadakan. Mereka mendakwa sudah lama ingin mencari tempat menimba ilmu agama selepas mendapat sinar keinsafan," katanya.
Asmadi berkata, pihaknya bercadang mengadakan pelbagai program keagamaan antaranya kursus menguruskan jenazah mak nyah dan kem motivasi selain khidmat kaunseling pada yang memerlukan.
Katanya, adalah menjadi tanggungjawab MUIP menyedarkan, memulihkan dan memberi didikan agama kepada golongan terbabit.
"Kita tidak boleh membiarkan mereka terus melakukan aktiviti tidak bermoral di celah-celah lorong tanpa sebarang usaha kesedaran," katanya.
Semoga golongan mak nyah terus terima hidayah dan bersungguh-sungguh untuk kembali ke pangkal jalan dan bertaubat dengan ikhlas daripada hati serta berjanji pada diri untuk tidak ulangi kesilapan masa lalu. - KitaReporters
Mereka belajar dengan seikhlas hati dan enggan mengulangi kesilapan lalu.