Komentar| Laporan khas: Bukan untuk menyukarkan tapi berhati-hati! Zakat untuk fakir, miskin, asnaf!

Published by
KitaReporters


RUNGUTAN segelintir masyarakat berhubung prosedur online pihak zakat yang begitu terperinci dan menyukarkan asnaf dan fakir miskin memohon zakat diperjelas oleh wakil pusat zakat Selangor. 

Pihak zakat akui terdapat pelbagai prosedur yang perlu diisi dan dilengkapkan oleh pemohon sebelum mendapat bantuan zakat. Ini adalah prosedur biasa untuk meneliti kelayakan mereka mendapat bantuan zakat.  


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan ibadat zakat


Md Yusmizan Md Yusof


Menurut Timbalan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Lembaga Zakat Selangor (LZS), Md Yusmizan Md Yusof,  sebelum pusat zakat meluluskan permohonan berkenaan, data-data yang diterima diselidik dan disiasat terlebih dahulu  untuk memastikan mereka ini layak dalam kategori golongan penerima zakat. 

Ditanya mengapa proses itu dikatakan sangat terperinci, pihak zakat memberitahu,  ini kerana pihak zakat mahu memastikan mereka yang memohon adalah dalam golongan yang benar benar layak menerima zakat. 


Md Yusmizan juga memberitahu, secara ringkas golongan penerima zakat ada 8 kategori iaitu:

1. Fakir - Mereka yang tidak ada harta, pekerjaan atau pendapatan lain

2. Miskin - Mereka ada pekerjaan tapi tidak cukup untuk menampung  keperluan harian

3. Amil -  Golongan yang terlibat secara langsung dengan Institusi Zakat seperti mentadbir, memungut zakat,  urus kewangan dan sebagainya

4. Mualaf - Golongan yang baru memeluk Islam 

5. Al Riqab -  Membantu mereka yang dalam kejahilan iaitu mereka yang terbelenggu dengan masalah sosial dan aqidah. Disalurkan pada pusat2 yang pulihkan akidah dan akhlak.

6. Al Gharimin-  Mereka yang berhutang untuk keluarga dan perlu penyelesaian segera umpamanya hutang perubatan dan keperluan hidup

7. Fisabilillah-  Mereka yang terlibat dlm menegakkan or mempertah agama Islam. Tetapi pada masa sekarang zakat Fisabilillah digunakan orang yang sedang belajar atau sambung belajar

8. Ibnu Sabil - Mereka yang dalam perjalanan dan tidak memiliki biaya untuk kembali ke tanah air mereka.

Menurut Md Yusmizan, jika orang ramai ingin mendapatkan keterangan lanjut dan penjelasan terperinci mengenai golongan yang boleh mendapat zakat mereka boleh layari website e-zakat.




Menyentuh mengenai persoalan ada segelintir asnaf sukar hendak mendapat zakat kerana mereka tinggal di pedalaman atau kawasan terpencil serta tidak mempunyai talian internet. Mereka juga dikatakan tidak mengetahui banyak informasi mengenai zakat. 

Dalam hal ini beliau memberitahu, cara memohon bantuan zakat bukan hanya melalui borang online tetapi juga ada cara lain yang memudahkan fakir miskin dan mereka yang memerlukan bantuan. 

Md Yusmizan memberitahu, Pusat Zakat Selangor telah melantik seramai 2,000 orang penolong amil di seluruh daerah di Selangor untuk menjadi wakil pusat zakat mencari fakir miskin yang memerlukan bantuan. 

"Mereka ini juga umpama mata dan telinga Pusat Zakat yang berusaha mencari maklumat mereka yang susah dan turun ke lapangan membantu asnaf dan fakir miskin," katanya lagi. 

Menurut beliau, penolong amil ini yang lebih tahu siapa yang memerlukan bantuan dan sebagainya. Mereka biasanya turun padang mencari golongan fakir miskin untuk dibantu. 

Mereka bekerjasama dengan ketua kampung dan wakil wakil masyarakat yang memberi info mengenai golongan fakir miskin ini. Dari situ bancian dan pemilihan dijalankan bagi mengenal pasti mereka yang hidup susah dan layak mendapat bantuan zakat. 



"Penolong amil ini diletakkan di beberapa masjid di 9 daerah di negeri Selangor ini bagi menjalankan tugas mencari dan mendapatkan maklumat mengenai fakir miskin. 

"Namun tidak dinafikan ada golongan yang tidak mahu mengaku mereka susah dan mereka lebih rela berusaha sendiri kerana merasa malu jika menerima bantuan. Disebabkan itu ada antaranya tidak mahu menghadiri program yang dikendalikan zakat untuk mengenalpasti mereka ini " katanya lagi.

Pusat zakat sebenarnya menyediakan banyak program untuk membantu asnaf dan mereka yang kurang berkemampuan ini. 

Selain bantuan zakat dan bantuan bantuan yang lain, ada juga bantuan pendidikan yang diberikan pada anak-anak asnaf dan bantuan tempat tinggal orang orang tua asnaf dan fakir miskin yang tinggal sendirian dan tidak ada keluarga yang menjaga mereka. 

Umpamanya program pembangunan pendidikan baitul hasanah, di mana pusat zakat membantu anak-anak fakir miskin dari umur 7 sampai 17 tahun. Mereka ditempatkan di asrama di bawah seliaan pusat zakat untuk memudahkan mereka ke sekolah dan mendapat kemudahan pembelajaran. Juga ada bantuan untuk sesi pembelajaran di rumah. 

Manakala , baitul mawaddah pula adalah tempat golongan tua fakir miskin yang diabaikan keluarga tinggal di sana. Tempatnya seperti pusat penjagaan orang tua dan syarat umur melebihi 60 tahun. Di sana ada aktiviti tertentu seperti aktiviti kerohaniah dan pelbagai lagi.


Mengenai kes pelajar yang mengatakan permohonan zakat pendidikannya telah ditolak dan LZS tidak melayan sebarang rayuan, kini kes berkenaan sedang disiasat. Kata Yusmizan jika pelajar itu layak dia boleh memohon zakat pendidikan yang boleh membayar yuran setiap semester dan akan mendapat beberapa lagi bantuan pendidikan.

Pusat zakat menasihatkan orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai apa yang ditawarkan pusat zakat kepada mereka yang layak agar melayari website Lembaga Zakat Selangor, dan media sosial yang lain seperti YouTube, TikTok , Facebook, dan Instagram. 

Bagi mereka yang memerlukan cara paling cepat untuk dapat bantuan zakat, dinasihatkan ke masjid yang berdekatan mereka kerana ada penolong amil yang diletakkan di sana untuk urusan berkenaan. 

Mereka ini akan bantu sesiapa sahaja yang memerlukan maklumat dan bantuan, oleh yang demikian masyarakat diminta supaya  merujuk pada pusat zakat atau penolong amil jika tidak mengetahui cara mendapatkan bantuan dan kemudahan bantuan yang disediakan oleh pihak zakat.

LSZ akan terus menyantuni asnaf yang memerlukan bantuan dan boleh berurusan terus di kaunter pusat zakat yang berdekatan, akhir kata Md Yusmizan. - KitaReporters


7
8
0
15
0

Copy Link: