PERARAKAN Vespa dari Pangkalan Kuala Lumpur ke Dataran Merdeka antara acara utama yang menanti dalam 'Hari Vespa 2024'. - Kredit foto: MS


BERITA gembira buat para penggemar skuter berjenama Vespa di seluruh Malaysia! Pada 29 Jun 2024 di Pangkalan Kuala Lumpur, Sungai Besi, satu acara sebagai meraikan ulang tahun ke-78 skuter jenama popular yang diasaskan pada 1948 itu bakal dilangsungkan yang digelar ‘Hari Vespa 2024’.

Dari pukul 2 petang hingga 11 malam, ‘Hari Vespa 2024’ menjanjikan temasya yang penuh keterujaan dan nostalgia yang bermula dengan Perarakan Vespa membabitkan ratusan penggemar skuter itu.

“Para peserta Perarakan Vespa akan menunggang dari Pangkalan Kuala Lumpur pergi dan balik ke Dataran Merdeka untuk memperagakan kecintaan berterusan mereka terhadap skuter ikonik ini.

“Mereka juga akan mentransformasikan jalan-jalan di bandar raya Kuala Lumpur kepada satu lautan warna-warni Vespa yang bersemangat,” lapor satu siaran media Didi Group, pengedar dan pengimport tunggal kenderaan bermotor termasuk jenama Piaggio, Aprilia dan Moto Guzzi di Malaysia.


SKUTER berjenama popular di Malaysia, Vespa mengharungi pelbagai inovasi dan reka bentuk sejajar dengan peredaran masa dan teknologi sepanjang 78 tahun pengeluarannya. - Kredit foto: MS


Para pengunjung ‘Hari Vespa 2024’ turut akan menikmati peluang unik menerokai Muzium Vespa yang menawarkan pameran pertama eksklusif model-model Vespa terkini dan satu koleksi Vespa klasik yang disusun rapi sejak 1950-an.

“Inilah pameran yang menyerlahkan sejarah panjang Vespa dan perjalanannya ke arah inovasi dan reka bentuk masa depan.

“Acara ini turut akan menampilkan sebuah pameran Vespa yang direka khas di mana hadirin-hadirat dapat mengagumi pelbagai jenis Vespa yang diperibadikan secara unik oleh pemiliknya sebagai meraikan kreativiti dan perwatakan dalam komuniti Vespa,” lapor siaran itu.

Merencahkan atmosfera temasyanya, para pengunjung juga dipelawa menikmati persembahan secara langsung dan menggetarkan oleh artis-artis popular tempatan seperti Gerhana Ska Cinta, Sonaone, Talitha, Bate, The WooHoo, Skudap Skudip, DJ Din Soulfaces dan DJ Re Na.


HANYA bermodalkan RM50 sebagai tiket masuk, para pengunjung 'Hari Vespa 2024' berpeluang membawa pulang sebuah skuter baharu Vespa 150cc. - Kredit foto: MS 


“Sepanjang hari acara ini, aneka permainan dan aktiviti disediakan termasuk peluang keemasan untuk para pemilik Vespa memenangi anugerah Vespa Klasik Terbaik dan Vespa Moden Terbaik.

“Buat semua hadirin, mereka berpeluang memenangi sebuah Vespa 150cc berjenama baharu sebagai hadiah cabutan bertuah dan barangan lain yang menarik.

“Tiket-tiket masuk ‘Hari Vespa 2024’ berharga RM50 dengan setiap pembelinya, mendapat beg cenderamata dan satu tiket cabutan bertuah,” lapor siaran tersebut.


SIAPA pemilik skuter Vespa yang memenangi anugerah 'Vespa Klasik Terbaik' dan 'Vespa Moden Terbaik' akan terjawab pada'Hari Vespa 2024' pada 29 Jun 2024. - Kredit foto: MS 


11
8
0
17
0

Copy Link: