Video| Zainab Abdullah gigih berniaga! Nenek OKU kayuh basikal keliling bandar jual rojak buah!

Published by
KitaReporters


DENGAN kudrat empat kerat yang tinggal tidak seberapa itu, seorang warga emas nekad mengayuh basikal sejauh kira-kira lapan kilometer setiap hari untuk menjual rojak buah di sekitar bandar raya Alor Setar, Kedah. 

Zainab Abdullah, 84, yang juga orang kurang upaya (OKU) dari Pumpong dekat Alor Setar memberitahu, dia terpaksa berbuat demikian untuk menambah pendapatan di samping memperoleh bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), RM300 sebulan. 

Katanya, walaupun mempunyai empat anak namun dia tidak mahu menyusahkan mereka yang mempunyai masalah kewangan masing-masing. 

“Anak-anak pun bukan berada sangat, saya tak mahulah bergantung hidup kepada mereka. Sejak suami (Ahmad Putih, 80) meninggal dunia empat tahun lepas kerana sakit tua, saya jual rojak ini untuk tampung duit makan minum. 

“Saya jual keliling Alor Setar, kat mana-mana sahaja boleh singgah dan berteduh daripada panas hujan kerana saya bawa basikal sahaja tidak ada meja atau khemah,” katanya ketika ditemui Mergong, Alor Setar, Kedah. 


TETAP KUAT… Zainab Abdullah menjual rojak buah dengan harga RM2 sebekas dengan menggunakan basikal mininya di sekitar Alor Setar Kedah setiap hari. 


Menurut Zainab, setiap hari dia menjual kira-kira 20 bekas rojak buah dengan harga RM2 setiap satu. 

“Setiap hari saya bawa 20 bekas kadang-kadang habis awal, kadang-kadang pukul lima petang baru habis. Selagi tak habis saya tidak akan balik rumah. 

“Ada juga yang beli banyak-banyak kemudian sedekah kat orang lain mungkin mereka kasihan tengok saya berniaga macam ini,” katanya. 

Tambahnya, di sebalik pelbagai kesukaran kerana terpaksa berhujan dan berpanas itu warga emas ini tega dengan kehidupannya seperti itu. 

“Sudahnya inilah hidup saya, saya terimalah. Tak apalah kayuh basikal ke sana sini, kalau duduk rumah pun bukan buat apa bila keluar macam ini dapat juga duit. Kalau duduk rumah sendiri sebab semua anak-anak sudah ada rumah mereka sendiri, jadi saya selalu sunyi sahaja. 

“Bila keluar berniaga macam ini sekurang-kurangnya dapat jumpa banyak orang juga, banyak orang baik-baik yang selalu sedekah dekat saya, Alhamdulillah,” ujarnya. 



Kata Zainab, walaupun berusia lebih lapan dekad itu namun dia bersyukur kerana masih sihat tanpa menghidap apa-apa penyakit kronik sekali gus membolehkannya berniaga seperti itu. 

“Duit itu bolehlah saya bayar api air tetapi nak makan minum memang tak lepas juga sebab itu saya jual rojak buah. Alhamdulillah, saya masih sihat dan tak ada apa-apa penyakit setakat ini sebab itu saya kuat kayuh basikal lagi. 

“Saya berniaga setiap hari kecuali Jumaat sahaja dari pukul 11 pagi sampailah rojak habis. Kalau hujan ke saya berteduhlah dekat masjid atau perhentian bas sekejap,” katanya. - KitaReporters

17
12
0
10
0

Copy Link: