Jom Share The Joy! HWC Coffee, IR Malaysia santuni En Yuan Old Folk Home! Serah angpau, bantuan!
Published byPersembahan tarian naga menghiburkan semua yang hadir.
Dengan semangat kemanusiaan dan perpaduan yang tinggi, HWC Coffee bekerjasama dengan Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) bagi menjayakan program Share The Joy 2025 yang diadakan di rumah En Yuan Old Folk Home, Persatuan Kebajikan Orang-Orang Tua Bahagia Selangor pada 12 Februari 2025.
Program itu bertujuan untuk membawa kegembiraan dan keceriaan kepada 30 penghuni warga emas di pusat jagaan tersebut bersempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Antara aktiviti yang diadakan termasuk seni kaligrafi, pembersihan kuku, pembuatan ang pow, fun games, serta persembahan tarian singa yang memukau. Kemuncak program menyaksikan penyerahan angpau dan barangan keperluan asas sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang.
Zenda Ng menyerahkan angpau kepada salah seorang penerima manfaat.
Ketua Pegawai Eksekutif HWC Coffee, Zenda Ng berkata, program ini merupakan sebahagian daripada usaha syarikat untuk memberi kembali kepada masyarakat.
“Kami percaya bahawa setiap individu, tanpa mengira latar belakang, berhak untuk merasakan kemeriahan perayaan.
“Hari ini (12 Februari 2025), saya dapat lihat sendiri penghuni rumah ini gembira meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bersama-sama. Saat menerima ang pow, mereka tersenyum seperti mendapat restu dan sokongan, mengingatkan mereka bahawa mereka masih dihargai.
“Program hari ini diharapkan dapat memberi kesedaran dan inspirasi kepada lebih banyak pihak untuk turut serta dalam kerja-kerja kebajikan,” katanya.
Tambah Zenda, program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kemanusiaan HWC Coffee bersama IR Malaysia di bawah projek Cup of Hope yang telah dilancarkan pada 1 November tahun lalu (2024).
Sementara itu, Pengurus Kanan Bahagian Program IR Malaysia, Nurbazilah Sulaiman menekankan kepentingan menjaga kebajikan semua lapisan masyarakat.
“Sebagai sebuah organisasi kemanusiaan, misi bantuan kami meluas, tidak mengira bangsa dan agama.
“Program Share The Joy 2025 bukan sekadar bantuan, tetapi juga peluang untuk mendekati masyarakat, berkongsi kegembiraan, dan memastikan mereka tidak berasa keseorangan, terutama dalam suasana perayaan,” jelasnya.
Edmund Lai (kiri) dan Irma Hasmie (tengah) khusyuk mendengar cerita salah seorang penghuni.
Ikon Kemanusiaan IR Malaysia, Irma Hasmie yang turut serta dalam program itu berkongsi pengalamannya dengan berkata, “melihat senyuman pada wajah mereka hari ini benar-benar menyentuh hati saya.
“Kadangkala, perkara kecil seperti meluangkan masa bersama boleh memberi impak besar dalam hidup seseorang dan saya berasa sangat bahagia bila dapat menggembirakan orang lain.”
Pengasas En Yuan Old Folks Home, Stanley Yap turut menyatakan penghargaan atas inisiatif ini.
“Program hari ini sangat best! Ia bukan sahaja menggembirakan penghuni kami tetapi juga dapat mengingatkan mereka bahawa masih ada masyarakat yang prihatin terhadap kesejahteraan mereka.
“Terima kasih kepada HWC Coffee dan Islamic Relief Malaysia atas usaha serta sumbangan ini,” katanya.
Salah seorang penghuni pusat jagaan tersebut meluahkan, “Hari ini terasa sangat istimewa. Sudah lama saya tidak menyambut Tahun Baru Cina dengan suasana semeriah ini. Terima kasih kepada semua yang sudi meluangkan masa bersama kami.”
Turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua Pegawai Pemasaran HWC Coffee, Edmund Lai; Pengurus Kanan Bahagian Partner & Donor Care IR Malaysia, Sharmiza Husin; serta Ikon Kemanusiaan IR Malaysia, Chef Imelda Harris dan Ahmad Zuhaidi Abdul Aziz (Saujana).
Kakitangan HWC COFFEE, IR Malaysia dan Ikon Kemanusiaan IR Malaysia bergambar bersama penghuni rumah kebajikan, En Yuan Old Folks Home.
Dengan kejayaan penganjuran Share The Joy 2025, HWC Coffee dan IR Malaysia berharap agar lebih banyak pihak dapat menyertai inisiatif seperti ini pada masa hadapan, bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir dalam meraikan kegembiraan perayaan.
Selain Share The Joy, program lain yang bakal dilaksanakan bersama pada tahun ini (2025) ialah Shopping Raya, projek istimewa Gift of Hope dan Cheer To School. - KitaReporters/Kenyataan Media