.


Chua Wei Kiat diberi taklimat ringkas sebelum penyampaian sumbangan kotak prihatin bersama kakitangan Skuad Prihatin PERKESO.


BETAPA beruntungnya kalau kita bijak melindungi diri - nyawa dan badan - ketika masih sihat dan kuat bekerja.

Usia bukan faktor utama kerana dalam semua skim perlindungan diri sama ada insurans (untuk bukan Islam), takaful dan aset sama ada emas, duit atau hartanah, semua itu akan bermanfaat ketika ditimpa kesusahan terutama jika kemalangan, lumpuh atau sebab kematian.

Begitulah matlamat agensi skim perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang menyantuni setiap pelanggannya dengan begitu berhemah dan prihatin sekali. 

Dalam kes terbaharu. mangsa yang masih bekerja selepas had umur bersara 60 tahun, terus dapat memberi pelindungan kepada ahli keluarganya. Selagi mana masih bekerja dengan syarikat, maka majikan wajib membayar caruman.

Malah berdasarkan sijil sakit yang dikemukakan dari hospital, semua kos rawatan dan perubatan dibayar sepenuhnya di bawah faedah hilang upaya sementara.


Chua (dua dari kanan) bersama balu mendiang Loo Kien Nam (tengah) dan Muhammad Hanafi Che Abdullah (kanan).


Timbalan Pengurus Pejabat PERKESO Rawang, Muhammad Hanafi Che Abdullah berkata, mangsa itu ialah Loo Kien Nam, 64, meninggal dunia ketika menjalankan tugasnya sebagai penyelia di tapak pembalakan di Terengganu.

Mendiang terbabit dalam nahas jalan raya pada 20 Januari 2024. Dan mangsa kemudian menerima rawatan perubatan di Hospital Selayang. 

Sijil Cuti Sakit (MC) yang diterimanya adalah perubatan di hospital selama 90 hari dan akhirnya pada 30 Jun 2024, dia menghembuskan nafas terakhir.

Sewaktu kejadian mangsa sudah menjangkau usia 62 tahun dan bernasib kerana majikannya masih mencarumnya di bawah Skim Orang Berinsurans (OB).

Berdasarkan laporan kes kemalangan, mendiang dalam perjalanan ke Mentakab, Pahang untuk mengambil alat ganti kenderaan bila kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya, hilang kawalan dan terbabas di Lebuh Raya Pantai Timur, lalu melanggar batu longkang di kilomter KM370 . 

Mangsa (OB) bekerja dengan majikan selama 7 tahun ini. Tinggal di hostel dan hanya balik dua bulan sekali ke rumahnya di Rawang, Selangor untuk menjengok isteri dan anak-anaknya.

Tuntutan Kemalangan telah dibuat oleh majikan pada 27 Mac 2024 di Pejabat PERKESO Terengganu. Kes kemudian dipindahkan ke Pejabat PERKESO Rawang kerana mangsa dan waris berada di Rawang. 

PERKESO telah membayar  RM7,080.00 untuk faedah Hilang Upaya Sementara (HUS) berdasarkan tempoh sijil sakit (MC) yang dikemukakan selama 90 hari rawatan. Kos perubatan dan rawatan serta semua manfaat yang layak diterima.

Walaupun mangsa dirawat lebih kurang lima bulan berikutnya tetapi sijil cuti sakit (MC) tidak bersambung. Sijil Cuti Sakit terakhir diterima pada 20 Mei, 2024 . Oleh kerana, MC tidak bersambung, PERKESO membayar tuntutan bagi tempoh 90 hari sahaja berdasarkan MC yang dikemukakan.

Sementara itu, selain menerima Manfaat Pengurusan Jenazah (FHM) RM3,000, balu mendiang, Yang Teo Sin turut menerima pencen bulanan di bawah Faedah Orang Tanggungan (FOT) sepanjang hayat. 


Terima kasih PERKESO kerana melindungi keluarga ini.


Muhammad Hanafi berkata demikian ketika mewakili pengurusnya, Jamilah Siro mengiringi Ahli Dewan Undangan Negeri Rawang, Chua Wei Kiat yang membuat lawatan ke rumah mendiang di Rawang, empat hari sebelum Tahun Baru Cina 2025 lalu bagi menyerahkan kotak prihatin kepada isteri dan anak-anak.

Sedikit sebanyak kedatangan wakil rakyat itu telah memberikan kegembiraan kepada mereka ketika meraikan tahun baharu itu.

Chua menyerahkan sumbangan khas PERKESO, dokumen penyerahan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM3,000 yang diterima pada 14 Januari 2025, bayaran pencen RM9,770.40 bermula dari 1 Julai 2024 hingga 31 Disember 2024 dan mulai tahun ini yang dimasukkan ke bank pada 15 Januari 2025.

Manakala bayaran pencen secara bulanan di bawah Faedah Orang Tanggungan (FOT) RM53.10/hari akan diterima oleh balunya, Yang Teo Sin, sepanjang hayatnya.

Fakta kes, pencen itu dikira setiap hari bermula RM53.10 setiap hari dikira dengan tempoh sebulan. Contohnya, Januari ada 31 hari  yang berjumlah  RM1,646.10.

Berdasarkan maklum balas daripada pegawai perubatan yang telah diperolehi pada 13 Januari 2025 dan menyatakan diagnosis penyebab kematian mendiang adalah berkaitan dengan kemalangan. Maka fail FOT itu terus dibuka dengan segera.

Untuk info, PERKESO yang telah ditubuhkan sebagai sebuah Jabatan Kerajaan di bawah Kementerian Sumber Manusia bagi mentadbir, melaksana dan menguatkuasakan Akta Keselamatan Sosial Pekerja (AKSP) 1969 dan Peraturan-Peraturan (Am) Keselamatan Sosial Pekerja 1971.

Bukan warga Malaysia saja dapat macam-macam manfaat perlindungan malah pendatang yang bekerja di negara ini turut menikmati faedah itu, selagi dicarumkan oleh majikan mereka. Yang pastinya, pewaris yang ditinggalkan dapat menfaat sepanjang hayat. - KitaReporters


Chua (empat dari kanan) menyerahkan kotak prihatin Skuad Prihatin PERKESO Rawang yang turut dihadiri bersama kakitangan pertubuhan itu.  

7
10
0
7
0

Copy Link: