Longgokan pelbagai hadiah menarik ditawarkan kepada pemenang.


Komuniti Masjid Kariah Kampung Rinching Hulu (MKKRH), Semenyih, Selangor, menjadikan kejohanan boling anjuran masjid itu sebagai platfom terbaik mereka untuk mengeratkan serta memupuk ukhuwah antara penduduk sebagai menyambut kedatangan bulan Ramadan.

Menerusi kejohanan itu yang terbuka kepada semua ahli kariah mereka akan bertemu antara satu sama lain dalam permainan boling kerana setiap hari masing-masing sibuk dengan tugas hakiki sehingga terlupa untuk bertegur sapa.

Ahli Jawatankuasa (AJK) MKKRH, Mohd Nazri Abdul Latif, berkata kejohanan boling itu satu kebetulan semakin hampir untuk menyambut Ramadan maka ramai ahli jawatankuasa kejohanan mencadangkan ia sebagai usaha mengharmonikan hubungan ahli kariah.

Justeru itu, tambahnya, kejohanan berkenaan menjadi medan untuk ahli kariah yang bukan setakat menunjukkan kehebatan dalam sukan boling malah digunakan bagi beramah mesra dan bertanya khabar antara satu sama lain termasuk mengenai persiapan sambut Ramadan.

Menurutnya, situasi itu menambahkan lagi kemeriahan kejohanan yang turut dihadiri ahli keluarga bagi memberi sokongan dan berlangsung dalam suasana kekeluargaan, malah menang atau kalah tidak menjadi suatu yang terkesan sebaliknya diterima dengan semangat persaudaraan.


Mohd Nazri Abdul Latif (kiri) bersama-sama ahli kariah MKKRH bergambar kenangan selepas selesai menyertai Kejohanan Boling di Bangi Gateway pada 23 Februari 2025.


“40 ahli kariah membabitkan AJK dan pegawai MKKRH memberi pengsyoran supaya kejohanan itu diadakan setiap tahun dengan membabitkan lebih ramai kariah termasuk dalam kalangan generasi muda kerana mereka adalah komuniti pelapis di kampung ini,” ujarnya yang memaklumkan kejohanan itu diadakan di Bangi Gateway, pada 23 Februari 2025.

Manakala Nazir MKKRH, Noor Rashid menzahirkan rasa bersyukur dan gembira kerana kejohanan itu berjalan lancar dengan semangat kesukanan serta kekeluargaan yang merapatkan lagi hubungan kejiranan kariah kampung berkenaan menjelang Ramadan.

Tambahnya, pada masa akan datang sekiranya mendapat sokongan dan kerjasama pelbagai pihak kejohanan itu boleh menarik lebih ramai penyertaan khusus dalam generasi muda di samping mengadakan pelbagai kategori bersesuaian.

“Bersukan bukan setakat boleh menyihatkan diri seseorang malah mampu menjadi saluran untuk mengeratkan hubungan kariah satu-satu tempat termasuklah dalam membina keharmonian menyambut bulan mulia iaitu Ramadan,” ujarnya lagi. - KitaReporters

15
14
0
15
0

Copy Link: