Sepanjang Jalan Kenangan| Tragedi feri karam Sg Kerian! Dah 53 tahun berlalu! Tapi, ada iktibarnya!
Published by
TRAGEDI feri karam 1972 yang mengorbankan 27 nyawa.
SEMINGGU sebelum menyambut Ramadan 1446 (2025), penulis sempat balik ke kampung penulis, Kampung Relau yang terletak dalam daerah Bandar Baharu, Kedah.
Uniknya kampung penulis, ia berada di sempadan antara tiga negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
Keluar 1.6 kilometer dari kampung penulis, ia sudah memasuki negeri Pulau Pinang, sementara menyeberang Sungai Kerian dari Bandar Baharu, yang jarak hanya 100 meter, penulis sudah berada di Parit Buntar, Perak.
Justeru, bukan sesuatu yang pelik, penulis boleh berada di tiga negeri sekali gus pada masa yang singkat. Bersarapan pagi di Kedah, makan tengah hari di Pulau Pinang dan minum petang di Perak.
Kesempatan balik ke kampung baru-baru ini, penulis ke Parit Buntar untuk melihat keadaan terkini Pekan Lama. Sejak ada bandar yang lebih moden dan lengkap dengan pelbagai fasaliti, berjarak kira-kira 2km dari situ, penulis sudah lama tak menjejakkan kaki ke pekan lama itu.
JAM besar kekal sebagai mercu tanda Pekan Lama Parit Buntar. Ia dirasmikan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 24 Ogos, 1961. - Kredit foto: FB Menarik Di Kerian.
Ternyata ia tidak
banyak berubah sama ada struktur bangunannya mahu pun aktiviti. Kedai-kedai
menjual pakaian (kebanyakannya tidak berjenama dan murah) masih beroperasi.
Dulu-dulu, sepanjang bulan Ramadan terutama menjelang hari raya, inilah tempat shopping paling happening.
Ia menjadi lokasi tumpuan keluarga untuk membeli-belah sama ada pakaian mahupun barang-barang keperluan hendak membuat kuih atau mencari karpet baharu kerana ia menawarkan banyak pilihan dan harga yang jauh lebih murah dari tempat lain.
Cuma panggung wayang yang menjadi tempat penulis menonton flem Hindustan dulu sudah tidak beroperasi. Begitu juga dengan sebuah lagi panggung wayang yang kerap menayangkan filem Melayu atau Indonesia, sudah bertukar menjadi restoran makanan Cina.
Penulis mempunyai kenangan tersendiri di salah sebuah panggung wayang itu. Di sinilah penulis berkenalan dengan seorang gadis yang berakhir sebagai kisah cinta tak kesampaian apabila si gadis ditunangkan dengan jejaka pilihan keluarga.
TAMAN Pinggiran Sungai Kerian menjadi tempat tumpuan pengunjung terutama pada hujung minggu.
Penulis juga sempat berjalan-jalan di pinggiran Sungai Kerian yang memisahkan Parit Buntar dengan Bandar Baharu.
Kawasan dinamakan Taman Pinggiran Sungai Kerian itu sudah dicantikkan sebagai taman tempat rekreasi dan riadah. Selain dibina tembok, terdapat pondok-pondok dan kerusi untuk pengunjung bersantai sambil menikmati suasana sungai itu.
Menurut adik penulis yang turut bersama, ia menjadi tempat tumpuan terutama pada hujung minggu yang dimeriahkan lagi gerai-gerai jualan terutama makanan dan minuman.
Memandangkan pada hari penulis ke sana merupakan hari bekerja, suasana di situ nampak 'mati' tanpa pengunjung.
Melihat sungai yang terbentang di depan mata dengan airnya mengalir tenang, penulis terimbau kembali tragedi yang pernah berlaku di situ lima puluh tiga tahun yang lalu apabila seramai 27 orang menjadi korban selepas feri dinaiki untuk menyeberang Bandar Baharu ke Parit Buntar karam.
PENULIS berfoto berlatarbelakangkan Sungai Kerian yang mencetuskan tragedi 1972.
Kejadian itu, tepatnya berlaku pada 13 September, 1972 meragut nyawa 27 pelajar sekolah dan dua orang awam. Kesemua murid itu adalah penumpang sebuah van sekolah yang turut menaiki feri berkenaan.
Ketika kejadian, penulis berusia 11 tahun. Walaupun tidak terbabit mahupun berada di tempat kejadian namun tragedi itu akan kembali terimbau setiap kali penulis ke kawasan berkenaan.
Pagi itu, 13 September, 1972, hujan memang turun dengan lebat. Penulis yang ke sekolah berjalan kaki terpaksa memakai selipar dan menyimpan kasut sekolah dalam beg plastik bagi mengelak ia basah dan menggunakan daun pisang sebagai payung.
Tragedi feri karam itu berlaku kira-kira jam 7 pagi ketika murid-murid yang bersekolah di Sekolah Rendah (SR) Methodist Parit Buntar dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Cina Kerian berada dalam van sekolah, menyeberang sungai menggunakan feri.
Ketika itu tidak ada jambatan untuk menyeberang antara Bandar Baharu-Parit Buntar. Feri adalah satu-satunya perkhidmatan yang boleh digunakan sebagai pengangkutan.
BAS sekolah yang terbabit dalam kejadian feri karam 1972.
Sebagaimana di kampung penulis, pagi itu hujan juga turun dengan lebat di sekitar Bandar Baharu dan Parit Buntar. Ia membuatkan arus Sungai Kerian bergerak laju lalu menyebabkan tali kabel feri di antara kedua-dua tebing putus, sekali gus mengakibatkan feri hilang imbangan dan karam.
Bas yang dinaiki murid sekolah turut terhumban ke dalam sungai. Keadaan menjadi kelam-kabut, arus yang deras menyukarkan mereka untuk menyelamatkan diri.
“Masih jelas pekikan meminta tolong, tangan kanak-kanak di dalam van terkapai-kapai. Tetapi tiada apa yang mampu kami lakukan kerana masing-masing bergelut menyelamatkan diri.
“Secara tiba-tiba saja feri yang berada di tengah sungai menyenget ke kiri dan secara kebetulan, pintu van juga berada di sebelah sama,” singkap Anuar Ahmad, salah seorang mangsa kejadian yang selamat sebagaimana dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia.
LIPUTAN akhbar mengenai tragedi feri karam pada 1972.
Sepanjang persekolahan pagi itu, suasana di sekolah penulis tenang. Kami sebenarnya tidak tahu apa yang berlaku di Sungai Kerian kerana ketika itu sumber berita hanya boleh diperolehi menerusi berita radio dan televisyen atau surat khabar keesokan harinya.
Hanya apabila penulis balik ke rumah, baru tahu mengenai tragedi berkenaan daripada berita radio, itupun tidak lengkap untuk kita mengetahui senario sebenar. Selalunya berita lebih terperinci akan disiarkan oleh televisyen, siap dengan videonya sekali. Malangnya rumah penulis hanya ada radio.
Keesokannya semua akhbar menjadikan tragedi itu sebagai tajuk utama. Lunyai surat khabar di kedai kopi kerana masing-masing berebut hendak membaca berita kejadian malang itu.
Penulis agak bernasib baik kerana ayah memang membeli akhbar Utusan Melayu setiap hari. Walaupun terpaksa ‘merangkak’ membaca akhbar bertulisan Jawi itu, penulis berusaha membacanya kerana tidak mahu ketinggalan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai peristiwa itu.
Selepas peristiwa hitam itu, perkidmatan feri ditamatkan dan diganti dengan sebuah jambatan yang dinamakan Jambatan Sultan Idris mengambil sempena nama DYMM Sultan Perak ke-33, Almarhum Sultan Idris Shah ibni Sultan Alang Iskandar Shah.
S ANNAMALAI
Di sebalik tragedi itu, terserlah keperwiraan pengendali feri terbabit, S Annamalai yang sanggup menggadai nyawa membantu mangsa. Beliau diangkat sebagai hero kerana berjaya menyelamatkan tujuh orang kanak-kanak.
Annamalai dilaporkan berenang menyelamat seorang demi seorang kanak-kanak, membawa mereka ke tebing dan berenang semula ke tengah sungai untuk menyelamatkan yang lain. Akhirnya mungkin keletihan selepas menyelamatkan tujuh kanak-kanak, beliau turut tenggelam dan hanyut dibawa arus.
Mayat Annamalai hanya ditemui keesokan harinya. Beliau meninggalkan seorang balu dan lapan orang anak.
Satu hikmah di sebalik tragedi itu, ia menyatukan pelbagai bangsa dan agama, saling membantu bila dalam keadaan yang memerlukan. Orang ramai menubuhkan tabung bantuan untuk keluarga Annamalai.
Malah, seorang ahli perniagaan berbangsa Cina menyumbangkan RM1,000 serta memberi bantuan bulanan RM100 kepada keluarga itu sehingga anak bongsu Annamalai mencapai usia 10 tahun serta mampu berdikari.
SEBUAH monumen didirikan bagi memperingati peristiwa feri karam di Sungai Kerian pada 1972.
Nama Annamalai kini diabadikan di monumen yang dibina di tepi sungai yang meragut 27 nyawa itu untuk tatapan kita terutama kepada generasi muda supaya menghargai erti pengorbanan dan perpaduan.
Ketika isu sentimen perkauman kini rancak dimainkan terutama dalam kalangan mereka yang mencari laba politik, tragedi Sungai Kerian elok dijadikan rujukan untuk kita kembali mencari titik perpaduan.
Lima puluh tiga tahun sudah berlalu namun tragedi feri karam Sungai Kerian tetap kekal dalam diari sepanjang jalan kenangan penulis. - KitaReporters
PERKHIDMATAN feri dihentikan dan diganti oleh Jambatan Sultan Idris Shah sebagai penghubung antara Bandar Baharu dengan Parit Buntar.