Kami menggesa seluruh umat Islam di Malaysia menghentikan berbuka puasa secara bermewahan pada bulan Ramadan ini (1445H/2024M).

Dengan iklan berbuka puasa di hotel-hotel yang sangat mewah, semangat Ramadan yang sebenarnya akan terhakis dan pembaziran menjadi sangat menonjol.

Umat Islam harus insaf bahawa Ramadan tidak harus jadi pesta makan sehingga lupa matlamat berpuasa Ramadan adalah untuk mendidik hidup berjiwa sederhana dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Apatah lagi dalam keadaan jutaan umat Islam ditindas di Palestin, Kashmir, India, Myanmar dan Turkistan Timur. Musibah yang melanda mereka sangat kritikal.



Umat Islam menjadi mangsa sehingga mengalami kebuluran, hilang tempat kediaman, terpaksa hidup dalam keadaan sangat daif tanpa makanan dan air bersih.

Umat Islam di Malaysia dicatat menyumbang kepada pembuangan makanan, terutama pada bulan Ramadan pada tahap paling tidak munasabah.

Dilaporkan rakyat Malaysia membazir 16,720 tan makanan setiap hari di luar bulan Ramadan, manakala pada bulan Ramadan meningkat kepada 19,228 tan sehari. 

Ia lebih menyedihkan apabila lebih sejuta rakyat Gaza kini mengalami kebuluran yang sangat parah. Ada yang terpaksa makan makanan haiwan dan minum air laut untuk kelangsungan hidup. Bulan Ramadan kali ini paling sukar untuk mereka.



Kami menggesa Ramadan kali ini ditumpukan kepada usaha meningkatkan infak untuk umat Islam yang tertindas.

Kami menyeru agar budaya membazir dihentikan serta-merta dan umat Islam kembali menumpu kepada amalan paling dituntut pada bulan Ramadan, iaitu bersedekah untuk golongan yang memerlukan bantuan.


Mohd Azmi Abdul Hamid

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)


13
14
0
15
0

Copy Link: