Ohsem! 10 OKU tawan Bukit Panau sempena Program Kembara Merdeka 2023! Kekurangan diri bukan halangan!
Published bySTATUS orang kurang Upaya (OKU) cacat penglihatan tidak menghalang untuk mencipta kejayaan tersendiri untuk terlibat dalam aktiviti pendakian.
Itulah yang dibuktikan oleh 10 OKU dari Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) Cawangan Kelantan apabila berjaya menawan puncak Bukit Panau di Tanah Merah setinggi lebih 255 meter melalui Program Kembara Merdeka 2023.
Kesemua mereka mengambil masa kira-kira tiga jam untuk tiba ke puncak yang dibantu oleh seramai 22 sukarelawan daripada Persatuan Pengakap Tanah Merah.
Terbaiklah!! Kalian memang ohsem... semangat juang mengatasi individu normal yang lain.
Selepas tiga jam akhirnya perjuangan mereka membuah hasil apabila berjaya menawan puncak setinggi 255 meter.
Menurut penyelaras belia SBM Cawangan Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nor, penyertaan OKU berkenaan bukan sahaja dapat membuka minda masyarakat luar tetapi juga memberi peluang kepada golongan ini menunjukkan semangat kemerdekaan dengan cara tersendiri.
“kejayaan itu membawa mesej kepada masyarakat bahawa OKU mampu melakukan misi mencabar sekiranya diberikan sokongan penuh oleh semua pihak.
“Alhamdulillah saya gembira dengan pencapaian yang ditunjukan oleh semua peserta. Rata-rata mereka membuktikan kekurangan yang ada pada diri bukan penghalang kepada kejayaan,” katanya.
Bagaimanapun Mohd Firdaus berkata, sepanjang cabaran itu pihaknya lebih menitikberatkan kesihatan fizikal dan mental bagi membolehkan aktiviti ini diteruskan tanpa sebarang masalah.
Katanya, aktiviti berkenaan mampu menyuntik semangat patriotik kerana program
ini sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-66 pada tahun ini (2023).
Malah, pihaknya sangat menghargai apabila turut mendapat kerjasama sepenuhnya daripada sukarelawan pengakap yang memandu arah dan memberi sokongan mental sepanjang pendakian.
Jelas beliau, bantuan itu juga dapat merealisasikan hasrat kumpulan OKU itu yang mahu menganjurkan program pendakian di Bukit Panau. Sukarelawan pengakap membantu peserta Kembara Merdeka 2023 menawan Bukit Panau.
“Kejayaan ini turut membawa mesej bahawa kekurangan kami bukan halangan untuk melakukan misi ini dan menyuntik semangat patriotik,” katanya lagi.
Sementara itu seorang peserta, Mohamad Syukran Che Amat, 36, mengakui sangat teruja dapat menjayakan projek kemerdekaan tersebut dengan bantuan sukarelawan untuk sampai ke puncak.
Namun lelaki berusia 36 tahun berkata, stamina yang kuat amat diperlukan selain ketabahan mental diutamakan dalam menempuh laluan sukar.
“Halangan akar kayu tersangkut di kaki, batu dan
pelbagai lagi berlaku, namun saya berjaya mengatasinya
kerana ada sukarelawan membantu,” ujar beliau yang terlalu bangga dengan pencapaian
dirinya.
Tahniah persatuan SBM cawangan Kelantan. Anda memang terbaik!. - KitaReporters