Peluang kenali IKS di Selangor! Melancong Sambil Membeli-belah! Usaha Persatuan Bekas Kakitangan KTMB!
Published byAhli PBKKTM menaiki bas menuju ke perusahaan IKS di Kuala Selangor, Sekinchan dan Sabak Bernam, Selangor.
Ziarah sambil melakukan amal jariah menyambut bulan Ramadan menjadikan program Melancong Sambil Membeli belah anjuran Biro Sosial Persatuan Bekas Kakitangan Keretapi Tanah Melayu (PBKKTM), ke Kuala Selangor, Sekinchan dan Sabak Bernam, Selangor pada 25 Februari 2025 sesuatu yang bermanfaat.
Sebelum itu bagi ahli PBKKTM menikmati makanan ringan
seperti kerepek pisang, ubi, keropok, menggunakan penambah rasa, kuih-muih
tradisional dan sebagainya tanpa mengambil kisah mengenai syarikat yang
mengeluarkan produk berkenaan khusus diusahakan Bumiputera.
Namun dalam ziarah yang dianjurkan itu, membuka mata dalam kalangan 44 ahli persatuan apabila dapat melihat di depan mata pelbagai makanan yang mereka nikmati saban hari itu adalah hasil dari Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Bumiputera lokasi mereka kunjungi .
Ahli PBKKTM mendengar taklimat mengenai produk dihasilkan oleh seorang pengusaha IKS.
Setiausaha persatuan berkenaan, Abdul Rahim Osman, berkata hampir sebahagian ahli terperanjat wujudnya IKS di Selangor yang begitu aktif menghasilkan produk pelbagai makanan termasuk tradisional untuk pasaran ke seluruh tanah air selain berasa bangga ia merupakan perusahaan milik orang tempatan.
Menurutnya, kehadiran ahli PBKKTM ke perusahaan itu secara tidak langsung dapat membantu serta menyokong IKS milik orang Melayu dengan membeli-belah di situ yang turut menjadi sebahagian matlamat program berkenaan sebagai persiapan menyambut Ramadan.
Tambahnya, program berkenaan juga mendedahkan kepada ahli persatuan mengenai wujudnya IKS khusus di Selangor mengeluarkan pelbagai produk IKS yang bermutu dan berkualiti tinggi malah setanding produk diimport yang masyarakat terlalu banggakan selama ini.
“Kehadiran kami juga turut membuka peluang kepada pengusaha IKS ini untuk mempromosi produk makanan halal mereka kerana apabila pulang nanti ahli-ahli ini akan bercerita kepada sahabat handai atau jiran tetangga mengenai industri IKS yang wujud di daerah negeri Selangor.
“Kami juga pada asasnya sudah mewujudkan hubungan dua hala antara IKS yang dikunjungi ini dengan koperasi ex-rail yang membuka peluang untuk memasarkan produk mereka kepada ahli dan orang awam,” ujarnya.
Ahli PBKKTM melihat dan membeli produk IKS Bumiputera.
Dalam program sehari itu, ahli PBKKTM mengadakan ziarah dan singgah di beberapa tempat menarik seperti Tangga Viral Villa Chee di Sekinchan melihat pemandangan sawah padi, Kilang Cili Sos Azryma Food Industri, Baulu Panas IKS, Nata De Coco, BNO Kilang Biorich, (Pengeluar Minyak Kelapa Dara /Gula O, Kerepek Tusimah Sungai Tengar.
Ahli persatuan itu yang datang dari Terengganu; Sungai Siput, Perak; Dengkil dan Beranang, Selangor; serta Putrajaya, juga sempat ke Bengkel Biskut Kelapa Rezeki Faleana di Kampung Sungai Haji Dorani, Kilang Beras Wangi Berkat Padi, IKS Choco Crispy-Borong Choco Jar dan ke Ladang Tebu Aidil.
Ahli PBKKTM menikmati minuman disediakan pengusaha IKS yang diziarah.
Abdul Rahim berkata, ziarah dalam program itu
meninggalkan kesan mendalam kepada ahli kerana berpeluang melihat secara dekat
bagaimana proses pembuatan makanan ringan seperti kerepek, keropok dan kuih
muih tradidsional dihasilkan oleh IKS terbabit.
Menurutnya, kewujudan IKS di kawasan kampung memberi
kefahaman kepada ahli mengenai peluang memasarkan bahan mentah seperti pisang
dan ubi yang diusahakan penduduk di kebun milik mereka di samping menawarkan
pekerjaan di kilang.
“Ahli berasa amat seronok mengikuti program ini kerana bukan sahaja mendapat kesempatan membeli produk IKS dengan harga borong malah berpeluang menikmati hidangan masakan kampung di samping disantuni dengan baik oleh pengusaha IKS juga penduduk di lokasi yang disinggahi,” ujarnya lagi. - KitaReporters
Abdul Rahim Osman (duduk depan, dua dari kanan) bersama ahli PBKKTM merakam kenangan di depan kilang IKS pada program Melancong Sambil Membeli-Belah pada 25 Mac 2025.