LIMA tahun merancang, akhirnya impian untuk menerbitkan sebuah buku bagi menggumpul data generasi Allahyarham Bonah Arshad jadi kenyataan.

Penasihat projek itu, Mohd Noor Mohd Desa, 72, seorang pesara guru, menganggap penerbitan buku itu sangat penting bagi memastikan semua waris ibunya yang kini mencecah ratusan orang dapat mengenali antara satu sama lain.

“Kami mempunyai sembilan adik-beradik, lima daripadanya sudah meninggal dunia. Daripada kami sembilan beradik itu, emak saya mempunyai lebih 50 orang cucu iaitu generasi ketiga.

“Waris emak saya sekarang sudah masuk generasi kelima iaitu sudah peringkat piut. Tidak dinafikan, memang sukar untuk mengenali antara satu sama lain terutama generasi keempat dan kelima.

“Apatah lagi mereka menetap di tempat yang berbeza. Boleh dikatakan waris Bonah ada di setiap negeri di Semenanjung Malaysia. Memang peluang untuk bertemu dan saling mengenali agak sukar.


MOHD NOOR MOHD DESA


“Justeru, saya terfikir, satu cara untuk memastikan setiap anak cucu, cicit dan piut saling mengenali adalah dengan menerbitkan sebuah buku yang mengumpul semua data generasi Bonah dari emak saya hingga ke generasi terkini, iaitu piutnya.

“Walaupun mereka mungkin tidak kenal secara fizikal namun sekurang-kurangnya dengan terbitnya buku ini, mereka dapat menjejaki susur galur keluarga Hajah Bonah,” ujar Mohd Noor.

Bagi Mohd Noor, walaupun buku bertajuk ‘Waris Hajah Bonah Haji Arshad’  hanya memuatkan data dan gambar-gambar setiap keluarga dan generasi, namun proses penerbitannya bukan mudah.

Mohd Noor menjelaaskan  ia mengambil masa yang lama kerana mereka yang ditugaskan menyelaras penerbitannya terikat dengan tugas hakiki masing-masing.

“Kami membentuk satu pasukan yang terdiri wakil daripada setiap keluarga untuk memyelaraskan penerbitan buku ini. Mereka bekerja secara sukarela, mengumpulkan data keluarga masing-masing. 

“Nampak simple tapi cabaran menerbitkan buku ini bukan mudah terutama untuk mendapatkan data setiap waris Bonah dari anak hingga ke piut.

“Alhamdulillah, akhirnya berjaya diterbitkan. Saya amat berharap setiap ahli keluarga membelinya kerana ia sangat berguna bagi mereka mengenali generasi Bonah Arshad,” katanya.


DATUK RAMLE NAYAN


Sementara itu, penaung projek itu, Datuk Ramle Nayan turut teruja apa yang diusahakan sejak lima tahun lalu akhirnya terhasil.

“Saya berterima kasih kepada pasukan penyelaras yang menjadikan usaha ini sebagai realiti. Buku ini sangat penting kepada generasi Bonah dan perlu dimiliki oleh anak cucu, cicit dan piutnya.

“Saya sendiri dari generasi ketiga sudah tidak mengenali generasi keempat apatah lagi kelima. Begitu juga mereka sesama mereka. Jadi, dengan terbitnya buku ini, saya berharap ia boleh dijadikan panduan untuk mengenali antara satu sama lain,” katanya. 

Ramle yang merupakan cucu sulung Bonah bercadang membuat majlis pelancaran buku berkenaan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, Jun 2025 nanti dan berharap ramai generasi Bonah akan hadir.

Pada masa sama, Ramle merancang sebuah majlis himpunan generasi Bonah dengan skala lebih besar yang mana beliau berharap dapat mengumpul generasi dua hingga lima.

“Sepuluh tahun lalu, saya pernah menganjur majlis seumpamanya tapi pada skala kecil. Saya harap kali ini, semua generasi dapat berkumpul,” ujar Ramle.


MASLIZA ABDUL RAHMAN 


Bagi Masliza Abdul Rahman yang juga merupakan cucu Bonah, penerbitan buku itu membolehkan beliau lebih mengenali saudara maranya.

“Sebagai generasi ketiga, saya hanya mengenali bapa saudara dan emak saudara serta sepupu tapi ramai dari generasi keempat yang tidak kenal, apatah lagi generasi kelima.

“Bila buku ini diterbitkan, baru saya tahu betapa ramai generasi Bonah. Buku ini memang membantu untuk kami saling mengenali,” kata Masliza yang merupakan salah seorang penyelaras penerbitan buku berkenaan.


SITI Fasihah Zahari, generasi keempat Bonah.


Cicit kepada Bonah, Siti Fasihah Zahari, turut teruja dengan penerbitan buku itu kerana ia membolehkan dia mengenali saudara-maranya yang lain.

“Saya memang tidak sempat mengenali moyang (Bonah) dengan lebih dekat kerana keluarga saya menetap di Seremban sementara moyang saya di Parit Buntar, Perak.

“Ketika beliau meninggal dunia pada 1999, saya baru berusia 12 tahun. Malah, saya tidak pernah menatap wajah moyang lelaki saya (Mohd Desa Mohamad) kerana beliau meninggal pada 1965.

“Sebenarnya, ramai lagi yang saya tak kenal. Oleh itu, penerbitan buku ini memang penting supaya kami dapat kenal mengenal,” kata Fasihah.


MOHD DESA MOHAMAD


Untuk rekod Hajah Bonah Haji Arshad dilahirkan pada 4 November, 1918 dan meninggal dunia pada 24 April, 1999. Beliau merupakan anak ke-5 daripada lapan adik-beradik yang terdiri daripada Hajah Habsah, Hajah Doyah, Haji Mahmud, Che Jam, Hajah Rahmah, Haji Md Noor dan Hajah Fatimah.

Beliau berkahwin dengan Mohd Desa Mohamad yang lahir pada tahun 1912, meninggal pada 6 Julai, 1965 dan mempunyai tiga adik-beradik terdiri daripada Haji Taha, Che Jah dan Che Embun.

Hasil perkahwinan mereka, Hajah Bonah dan Mohd Desa dikurniakan sembilan orang anak iaitu Aishah, Ibrahim, Salmah, Mezenah, Che Gayah, Che Amah, Mohd Nor, Othman dan Che Su. - KitaReporters

 

 

12
12
0
11
0

Copy Link: