Innalillahi! Dua hari jala ikan! Mantan imam dipercayai mati lemas! Buang kayu tersangkut pada jala!

Published by
KitaReporters

ANGGOTA Scuba dari PPDA Jertih bersiap dalam usaha mencari dan menyelamat Zakaria Mat Nong yang dipercayai lemas di tali air Kampung Fikri, Setiu, Terengganu pada malam tadi, 12 Disember 2022.


SELEPAS dua petang berturut-turut menjala ikan di Kampung Fikri, Setiu, Terengganu, akhirnya mantan Iman Masjid Beris Tok Ku, Zakaria Mat Nong, 71, dipercayai mati lemas akibat terjatuh ke dalam tali air ketika cuba membuang kayu yang tersangkut di jalanya pada kira-kira pukul 5.30 petang semalam, 12 Disember 2022. 

Sebelum kejadian, warga emas itu yang tinggal di Beris Tok Ku, Setiu dikatakan menjala ikan bersendirian di parit berkenaan berhampiran dengan kolam udang di kampung tersebut. 


Lagi cerita-cerita tragedi berkaitan kejadian mati lemas

ZAKARIA MAT NONG


ZAKARIA bersama isterinya, Khalthum Jusoh. 


Ketika menjala ikan itu, tiba-tiba jala warga emas dipercayai tersangkut sebatang kayu menyebabkan dia turun ke dalam tali air sedalam kira-kira 2.5 meter untuk membuang kayu itu.

Seorang warga yang secara kebetulan melihat kejadian itu memberitahu, selepas warga emas itu turun ke dalam tali air, mangsa dipercayai lemas ketika menyelam bagi membuang kayu yang tersangkut di jala.

‘’Saya melihat dia (Zakaria) sedang menjala ikan dari jauh. Selepas itu saya ternampak warga emas itu terjun ke dalam tali air dipercayai untuk membuang kayu yang tersangkut di jalanya.

‘’Beberapa minit kemudian, saya tidak ternampak dirinya timbul lagi di permukaan air lalu saya fikir warga emas itu lemas,’’ katanya sebelum memberitahu kepada orang ramai tentang kejadian tersebut.


LOKASI (bulatan merah) Iman masjid Beris Tok Ku terjun ke dalam tali air ketika menjala ikan ikan pada petang 12 Disember 2022.


Beberapa warga yang tinggal tidak jauh dari lokasi kemalangan berkata sebelum kejadian itu mereka ternampak Zakaria sudah datang menjala ikan di sekitar tali air berkenaan pada petang 11 Disember 2022.

‘’Tak sangka pula, hari ini (12 Disember 2022) dia (Zakaria) datang sekali lagi menjala ikan di sepanjang tali air itu dan mungkin petang semalam dia dapat  banyak ikan,’’ kata salah seorang penduduk Kampung Fikri.

Zakaria yang meninggalkan seorang isteri, Khalthum Jusoh, 65, yang kini sedang mengidapi penyakit strok di rumahnya sejak 2021.



Sementara itu, Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penguasa Bomba Muhammad Syahir Ab Rahim berkata, selepas menerima laporan jam 6.44 petang semalam (12 Disember 2022),  anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Setiu berkejar ke lokasi kejadian pada pukul 7.02 petang.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilakukan membabitkan 53 anggota dari BBP Daerah Setiu, Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jertih serta Setiu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Setiu dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Setiu.


ANGGOTA Scuba dari PPDA Jertih menyelam untuk mencari Zakaria malam tadi pada 12 Disember 2022.


‘’Dalam operasi itu termasuk 10 anggota Scuba dari PPDA, kami gagal menemui mayat mangsa dan kami mencari warga emas itu di lokasi kejadian berdasarkan seutas jala dipercayai milik Zakaria ditemui di situ.

‘’Sehingga pagi ini, kami gagal menemui mayat mangsa walaupun operasi ini tertumpu ke lokasi lain pula,’’ kata Muhammad Syahir selaku Komander Operasi SAR ketika ditemui di lokasi kejadian pada hari ini, 13 Disember 2022. 

Perkembangan terkini: Mayat Zakaria telah dapat ditemukan pada pukul 10.45 pagi dengan jarak kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian. - KitaReporters


9
14
0
14
0

Copy Link: