Musibah banjir di Hulu Tembeling, Jerantut memberikan impak besar apabila setiap kawasan atau kampung di pesisir sungai ditenggelami air dan perhubungan jalan raya dengan luar terputus langsung. Kesulitan itu menyebabkan penduduk terkepung dengan air (banjir) lantaran itu tidak dapat keluar ke bandar untuk berbelanja barang keperluan dapur. : KitaReporters


Sebatang jalan yang menghubungkan antara perkampungan di Kuala Tahan ditenggelami air berikutan kejadian banjir di kawasan Hulu Tembeling, Jerantut mulai 3 Januari 2021. - Kredit foto: Roslan Abu Kassim


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Kuala Tahan:

https://kitareporters.com/search?search=kuala+tahan


Tekanan ini dialami sebanyak 453 buah keluarga di tujuh buah kampung di bawah pentadbiran Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kuala Tahan berdekatan Taman Negara apabila tidak dapat keluar berbelanja keperluan dapur kerana jalan raya dinaiki air.

Kesulitan itu berlaku apabila air Sungai Tembeling melimpah masuk menenggelami jalan raya antara Jerantut ke Kuala Tahan berdekatan Kampung Paya Garuk pada 4 Januari 2021 masih tidak surut sehingga hari ini 8 Januari 2021.


Jalan raya Jerantut ke Taman Negara Kuala Tahan berdekatan Kampung Paya Garuk dinaiki air sedalam lebih dua meter menyebabkan penduduk mukim Hulu Tembeling dan mukim Tembeling Tengah terputus hubungan dengan bandar Jerantut. - Kredit foto: Penduduk Kampung Paya Garuk


Selain itu, ada penempatan penduduk di kawasan rendah di Kuala Tahan juga dinaiki air dan jalan perhubungan antara perkampungan kawasan itu terputus.

Bertolak daripada kesulitan penduduk berdepan kehabisan keperluan dapur, JKKK Kuala Tahan 'bertindak pantas' bagi menangani masalah kebajikan ahli komuniti di situ.  


ABDUL JALIL ABD RAHMAN


Pengerusi JKKK Kuala Tahan, Abdul Jalil Abd Rahman berkata, ahli jawatankuasa itu dengan kerjasama Bird Group Taman Negara (BGTN) terpaksa keluar berbelanja barang keperluan dapur di bandar Jerantut dengan menaiki bot penambang.

"Ketika arus Sungai Tembeling yang deras dan berbahaya, kita terpaksa meredah air (banjir) dengan bot penambang bersaiz besar untuk ke bandar Jerantut dan memuatkan barang ke atas bot penambang di jeti Feri Jerantut lalu membawa balik ke sini (Kuala Tahan) dalam tempoh perjalanan selama tiga jam.

"Kita berbelanja barang dapur seperti beras, gula, minyak masak, garam kopi, teh, sardin, dan biskut bagi  menampung keperluan tambahan memandangkan stok barang yang diperoleh pada banjir gelombang pertama awal Oktober tahun lalu (2020) masih ada tersimpan di stor," katanya di Kuala Tahan, Jerantut pada 7 Januari 2021.


Barang keperluan dapur dibawa turun daripada bot penambang di jeti Kuala Tahan dan hantar ke stor pejabat Felcra Tembeling Tengah sebelum disampaikan kepada ketua keluarga yang terbabit dengan banjir pada 7 Januari 2021. - Kredit foto: FB Komuniti Kuala Tahan.


Barang keperluan dapur yang dipunggah dengan bot penambang dari jeti Jerantut Feri, berdekatan bandar Jerantut dibawa turun oleh penduduk untuk disumbangkan bantuan kepada keluarga mangsa banjir di Kuala Tahan, Jerantut.  - Kredit video: Abdul Jalil Abd Rahman


Abdul Jalil yang juga penggiat BGTN berkata, barang makanan itu akan diserahkan kepada ketua keluarga yang terlibat dengan banjir, iaitu di Kampung Kuala Tahan, Kampung Terisik, Kampung Belabar, Kampung Tekah/Tuit, Kampung Rempai, Perumahan Felcra Tembeling Tengah dan Kampung Padang.




NUR AKMALAH KHAIDIR


Sementara itu, penggiat ekopelancongan dan juga sukarelawan BGTN, Nur Akmalah Khaidir berkata, dia dan bersama penduduk yang terbabit bersabar apabila berdepan dengan ujian Allah yang kini memasuki gelombang ketiga banjir di Kuala Tahan.

"Apabila tiada aktiviti ekopelancongan sebab banjir, saya tampil membantu JKKK dan BGTN memasukkan dan menyusun barang ke dalam bekas untuk disumbangkan kepada mangsa banjir. 

"Inilah aktiviti mengisi masa lapang saya di samping mencari pengalaman sebagai sukarelawan lebih lagi dapat mengerah kudrat antara usaha murni untuk membantu komuniti setempat yang ditimpa kesusahan," ujarnya. - KitaReporters

Sukarelawan JKKK Kuala Tahan dan BGTN sedang menyusun barang keperluan dapur untuk bantuan kepada penduduk yang terlibat dengan banjir. - Kredit foto: FB Komuniti Kuala Tahan 

7
0
5
0
4

Copy Link: