Masyarakat Melayu, khususnya generasi zaman nenek moyang kita dahulu amat mudah terjebak dengan perbuatan khurafat malah ada yang menyekutukan Allah apabila menjadikan makhluk jin dan iblis sebagai tempat bergantung untuk mencapai sesuatu tujuan.

Kisah-kisah yang mengaitkan manusia dengan makhluk seperti hantu raya, polong, toyol, hantu belaan dan sebagainya memang kerap kita dengar yang mana hakikatnya memang berlaku kerana kecetekan ilmu agama sehingga tidak menyedari bahawa apa yang mereka lakukan adalah dosa besar.

Inilah cerita yang ditonjolkan melalui komik bertajuk Pendamping, buah tangan terbaharu dari rumah penerbitan, Ukhwah Creative hasil garapan skrip oleh penulis (Rodly Fadly) dan dilukis komikus berpengalaman, Athool.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan komik

Petikan menarik daripada komik Pendamping. - Kredit foto: Ukhwah Creative.


Berdasarkan kejadian benar, Pendamping menceritakan kisah seorang wanita tua, Nek Oyah yang berusia 90 tahun, terlantar sakit sekian lama namun menghadapi kesukaran untuk ‘berangkat pulang’ ke alam abadi kerana jasadnya ditumpangi makhluk belaannya yang dipanggil pendamping.

Sepanjang keuzurannya, Nek Oyah hanya terbaring lesu pada siang hari, namun bertukar menjadi cergas selepas waktu tengah malam. Keanehan itu mencetuskan rasa curiga kepada anaknya, Halimah dan menantunya, Hamzah yang kemudian meminta bantuan Haji Hambali untuk merawat penyakit misteri itu.

Tindakan itu menyebabkan pendamping berkenaan ‘mengamuk’ lalu menyerang Haji Hambali. Apakah kesudahannya? Semuanya pasti terjawab apabila anda membaca komik ini.

Apa yang menarik, jalan cerita Pendamping bukan sahaja menonjolkan sisi seram dan misteri sebaliknya turut menampilkan unsur dakwah melalui watak Haji Hambali yang mana beberapa terjemahan petikan ayat Al-Quran turut diselitkan bagi memberi kesedaran.


Unsur dakwah turut diselit dalam komik Pendamping. - Kredit foto: Ukhwah Creative


Ia bertepatan dengan hasrat Ukhwah Creative yang mahu menjadikan komik terbitannya bukan sekadar wadah bacaan ringan sebaliknya menjadi medan dakwah serta memberi iktibar dan pengajaran kepada pembaca.

Pemilik Ukhwah Creative, Halim Hassan berkata, ia adalah antara usaha dakwah dilakukannya melalui bidang kreatif sejak beliau aktif menerbitkan komik selepas bersara sebagai guru tiga tahun lalu.

“Sebagai bekas guru, jiwa pendidik sudah sebati dengan diri saya. Apatah lagi, dengan masa yang terluang sekarang, inilah waktu yang sesuai untuk saya berdakwah. Dan dengan bakat yang dianugerahkan Allah sebagai pelukis, saya fikir ini adalah medium terbaik untuk saya melaksanakan tanggungjawab itu.

“Atas sebab itu, saya sentiasa mengutamakan karya-karya yang mempunyai unsur pengajaran untuk diterbitkan. Cerita-cerita berbentuk seram, misteri dan mistik memang menjadi pilihan pembaca, jadi saya kekalkan unsur itu sambil menyelitkan dakwah.


Penulis (kiri) bersama Halim Hassan, penerbit Ukhwah Creative.


Pendamping adalah sebuah karya yang menepati hasrat saya. Sebaik menerima skrip itu, saya amat tertarik dengan naskhah ini kerana ia menggabungkan unsur seram, misteri dan dakwah. Jalan ceritanya menarik dan lebih hebat, ia adalah berdasarkan kisah benar. Unsur seramnya menegakkan bulu roma dan misterinya pula sukar dijangkau oleh akal tapi pengakhirannya penuh dengan pengajaran.

“Tidak dinafikan, amalan syirik dan menyekutukan Allah sebagaimana dipaparkan dalam komik ini masih berlaku dalam masyarakat kita dan saya berharap, dakwah yang disampaikan melalui komik Pendamping mampu memberi kesedaran kepada kita,” kata Halim.


Athool, pelukis komik Pendamping. 


Sementara itu, bagi pelukis, Athool, pengalaman melukis komik ini adalah sesuatu yang menyeronokkan kerana ia sangat dekat dengan jiwanya. 

“Selari dengan hasrat Ukhwah Creative, saya juga mahu menjadikan karier sebagai pelukis untuk berdakwah. Sepanjang menghasilkan Pendamping, saya berasa seronok kerana jalan ceritanya amat menepati jiwa saya menyebabkan penghasilannya menjadi mudah dan cepat.

“Ini adalah kali kedua saya berkerjasama dengan Rodly dalam menghasilkan komik solo. Kami turut berganding dalam komik Serapah Kasih yang juga berunsur misteri dan dakwah, diterbitkan oleh Ukhwah Creative,” kata Athool yang turut bekerjasama dengan penulis menghasilkan siri kartun Sembang Sumbang melalui portal KitaReporters.

Pendamping adalah skrip komik pertama dihasilkan penulis selepas lebih 40 tahun ‘berehat’ dari bidang itu kerana sebelum ini lebih menumpukan kerjaya sebagai wartawan. Kelahiran komik solo ini sudah tentu menambahkan semangat untuk penulis terus berkarya dengan karya-karya berkualiti.

Komik Pendamping yang dijual dengan harga RM25 (termasuk belanja pos) boleh ditempah terus daripada Ukhwah Creative. - KitaReporters


 

 

19
12
0
17
0

Copy Link: