HANYA dalam tempoh dua hari, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di Temerloh melakukan 120 pembedahan mata. Jumlah pembedahan yang tinggi dalam tempoh yang singkat itu, sekali gus mencatatkan rekod dan sejarah sebagai pembedahan mata katarak terbesar di negara ini. : KitaReporters.com

Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang, Datuk Dr. Sha'ari Ngadiman (depan empat dari kiri) bersama pakar bedah dan kakitangan. 


Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr. Sha'ari Ngadiman berkata, seramai sembilan pakar bedah dari empat hospital terkemuka negara dibawa ke Hoshas, Temerloh, Pahang pada Khamis (15/11/2019) lalu bagi melakukan pembedahan mata.

"Seramai sembilan orang pakar bedah dari Hoshas, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Pusat Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan 70 kakitangan terlibat dalam program ini.

"Bagi program dua hari ini, tumpuan adalah dalam rawatan katarak khususnya di kawasan Pahang Tengah dan pembedahan kali ini juga turut mencapai bilangan pembedahan katarak yang ke 1,000 di Hoshas," katanya semasa ditemui.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr. Sha'ari Ngadiman (kanan) menyampaikan cenderahati kepada salah seorang pesakit yang menjalani pembedahan katarak.


Menurutnya, program tersebut melibatkan pesakit yang berumur 60 tahun ke atas yang majoritinya adalah daripada golongan berpendapatan rendah.

Beliau memberitahu, kebanyakan pesakit menerima bantuan kanta untuk katarak di bawah Skim Peduli Kesihatan untuk kumpulan B40.

Dalam pada itu, beliau berkata, peningkatan jangka hayat penduduk Malaysia pada masa ini secara tidak langsung memberi kesan kepada peningkatan penyakit-penyakit tidak berjangkit seperti katarak, diabetik retnopati dan lain-lain lagi.

"Jabatan Kesihatan Negeri Pahang akan terus komited untuk memperbaiki mutu perkhidmatan kepada rakyat di negara ini yang terbukti dengan aktiviti promosi kesihatan berterusan dan penyediaan fasiliti-fasiliti kesihatan serta pembelian aset-aset baharu di hospital dan klinik kesihatan," ujarnya. - KitaReporters.com

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr. Sha'ari Ngadiman (kanan) menyampaikan cenderahati kepada salah seorang pesakit yang menjalani pembedahan katarak. 

1
0
0
0
1

Copy Link: