HATI-HATI MAKAN GULA-GULA 'SPORTS CANDY'
Published byJADUAL yang padat pasti memenatkan, masa yang diperuntukkan selama 24 jam pasti tidak mencukupi, ada sahaja yang ingin dilakukan.
Bagi wanita dan seorang ibu, tamat sahaja waktu bekerja, aktiviti di rumah pula sedang menunggu. Penat betul!
Selain daripada mengambil minuman berkhasiat untuk memberikan tenaga yang berpanjangan, tahukah anda kini menjadi viral pengambilan gula-gula Himalaya Salt lebih dikenali sebagai gula-gula sukan untuk tenaga berpanjangan.
Terbaru, seorang pengguna Facebook, Mohd. Khairul Azuan yang juga pakar diet tampil berkongsi maklumat tentang 'sports candy' tersebut selepas melihat gula-gula berkenaan menjadi kegilaan masyarakat hari ini tanpa mengetahui fungsi sebenar.
Katanya, ramai masyarakat hari ini didapati mengambil sports candy tersebut sebagai menggantikan dengan gula-gula biasa.
“Himalaya Salt bukan boleh diambil suka-suka bagi menggantikan gula-gula biasa kerana mempunyai kandungan sodium di dalamnya.
“Ia bukan pilihan yang lagi baik atau lagi 'sihat' hanya kerana ia dari Himalayan salt. Kandungan sodiumnya adalah lebih kurang sama sahaja!” katanya menerusi perkongsian di Facebook miliknya.
Khairul berkata, gula-gula berkenaan hanya sesuai kepada mereka yang dalam keadaan aktif berpeluh, individu yang sering mendaki gunung dan juga mereka yang mempunyai kadar sodium yang rendah dalam darah.
Dalam masa sama, Khairul berpandangan, sekiranya seseorang mengalami masalah darah tinggi, jantung atau buah pinggang dinasihatkan agar tidak mengambilnya.
Tegas beliau, kadar pengambilan garam sudah cukup banyak kita ambil secara semula jadi atau secara tambahan dalam makanan harian kita.
Oleh yang demikian, katanya, orang ramai dinasihatkan agar tidak sewenang-wenangnya mengambil gula-gula berkenaan sekadar mengikut peredaran semasa kerana dikhuatiri akan memberi implikasi buruk terhadap kesihatan.
Sebaliknya pakar diet itu menasihatkan supaya merujuk kepada doktor dahulu sebelum membuat keputusan untuk membelinya... ya!