LAWATAN CUTI BELAJAR: HATI-HATI PILIH LOKASI!!
Published byHATI-HATI pilih lokasi rombongan. Ini kerana sempena minggu akhir persekolahan sudah tentu banyak aktiviti rombongan sambil belajar akan diadakan oleh pihak sekolah. : KitaReporters.com
Namun dalam melaksanakan aktiviti itu guru dan ibu bapa perlu berhati-hati dalam memilih lokasi dikunjungi bagi mengelakkan risiko dan jangkitan wabak penyakit seperti selesema burung atau pun H1N1.
Ini kerana seramai sembilan murid prasekolah sebuah sekolah di Bentong, Pahang mengalami penyakit demam dan jangkitan saluran pernafasan dipercayai influenza A selepas balik dari rombongan ke beberapa lokasi termasuk di kawasan pemeliharaan burung dan kawasan yang dipenuhi orang ramai.
Sembilan murid berkenaan antara 73 individu yang disahkan mengalami jangkitan saluran pernafasan di daerah ini yang dipercayai Influenza A (H1N1).
Seorang penjaga Mat Sabuddin Che Long, 61, berkata, cucunya yang merupakan murid prasekolah di Sekolah Kebangsaan Mempaga 1 telah mengikuti rombongan sekolah pada 2 November lalu sebelum mengalami demam.
"Cucu saya mulanya dibawa ke klinik sebelum pergi ke hospital kerana disyaki H1N1 dan semalaman duduk di wad sebelum keluar keesokan harinya.
"Saya berasa lega kerana jangkitan yang dialaminya tidak serius dan saya harap wabak ini dapat dibendung," katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Mempaga 1.
Mat Sabuddin Che Long, 61.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr. Sha'ari Ngadiman berkata, sebanyak tiga kluster jangkitan saluran pernafasan melibatkan 73 orang dikesan di daerah ini yang melibatkan pelajar dua buah sekolah dan pesakit unit hemodialisis Hospital Bentong.
Bagaimanapun katanya, keadaan masih terkawal dan tiada trend jangkitan luar biasa berlaku serta pesakit telah mendapatkan rawatan sewajarnya.
"Bagi kluster pertama, kes mula dikesan pada 5 November lalu melibatkan sembilan pesakit di unit Hemodialisis Hospital Bentong dan semua kes beransur pulih di mana pada masa ini hanya seorang dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan dan dua orang di Hospital Bentong, manakala yang lain-lain mendapat rawatan sebagai pesakit luar.
"Kluster berikutnya adalah melibatkan 11 orang murid prasekolah di Mempaga dan kluster ketiga melibatkan 53 pelajar di sebuah Sekolah Berasrama Penuh yang mana kes bermula pada 12 November 2019," katanya.
Tambah Sha'ari kesemua kluster jangkitan yang berlaku tidak ada kaitan antara satu sama lain dan telah berjaya dikawal. - KitaReporters.com