Menghulur kaki dan mencemar jemari ke ruang panas politik
Published bySELEPAS saya menulis mengenai sains ‘umran Ibn Khaldun, ramai yang bertanya, kenapa tidak tulis tentang politik. Tulisan mengenai politik mudah laku, senang dijual, dan cepat viral. Bagi menjawab pertanyaan-pertanyaan tersebut, saya respons di sini dengan artikel ini, walaupun pada saya, tidak akan menjawab semua persoalan atau memenuhi harapan sebahagian yang lain. : OLEH DR MOHD FAUZI SHAFFIE
Kredit foto: MalaysiaDateline.com
Salam Maal Hijrah. Sempena Awal Muharam 1442H, saya nukilkan makalah ini.
Selepas saya menulis mengenai sains ‘umran Ibn Khaldun, ramai yang bertanya, kenapa tidak tulis tentang politik. Tulisan mengenai politik mudah laku, senang dijual, dan cepat viral.
Bagi menjawab pertanyaan-pertanyaan tersebut, saya respons di sini dengan artikel ini, walaupun pada saya, tidak akan menjawab semua persoalan atau memenuhi harapan sebahagian yang lain.
Sambungan untuk artikel mengenai sains ‘umran itu sudah siap, dan saya jangka akan diterbitkan pada hari Isnin nanti, sebagai garapan sekali seminggu setiap Isnin mengenai ilmu serius dalam membina fikrah ummah.
Menulis mengenai politik banyak risiko, kadang-kadang menjadikan saya sedikit gerun, terutama pada musim panas-politik ini apabila suhu pilihan raya umum semakin meningkat dan pemikiran rakyat masih bercampur baur dengan masalah ekonomi yang kian tenat.
Ramai rakan saya yang sudah konsisten menulis dan terkenal, tulisan mereka mudah viral, dan mereka amat faham tentang resipi yang boleh membangkitkan selera pembaca, malah sekali sekala mereka sanggup menghadapi risiko jari-jari mereka terbakar. Itu rencah penulis.
Pada saya, sebagai artikel ulung mengenai politik dalam kolum ini, saya pilih untuk tidak menghidupkan unggun api politik dengan minyak tanah, cukup dengan mengumpul daun-daun kering dan ranting-ranting kayu, asalkan tidak basah ditimpa hujan.
Saya ibaratkan menghidup unggun api kerana, politik negara ini begitu terbelah hinggakan tidak ada yang boleh mengaku ‘duduk atas pagar’, mahu tidak mahu, sedikitpun mereka akan tercemar dengan warna politik yang berbelah.
Jika tidak mewarnai diri, orang lain akan menyapu warna tersebut ke badan kita, dan tengok nasiblah, sama ada warna tersebut merupakan cat kekal atau water colour. Tabahkan diri, teruskan selagi sanggup. Ini realiti.
Kredit foto: MalaysiaDateline.com
Sebagai orang Melayu yang membesar dalam kalangan masyarakat desa, saya berasa lebih selesa membawa isu politik ini daripada perspektif masyarakat Melayu, sejarah Melayu dan tanah air Melayu. Memang susah untuk saya elak. Ini fakta.
Negara kita tidak pernah sunyi dengan isu politik yang pelbagai, seakan-akan merai kepelbagaian warganegara, dari segi etnik dan agama, dari segi ideologi dan pegangan, dan dari segi rakan separti dan seperjuangan. Namun, istilah ‘perjuangan’ itu banyak takwilannya nanti. Kita tunggu, kalau-kalau saya sempat mengungkit maksudnya.
Satu perkara mengenai masyarakat Melayu yang saya perhatikan, dengan memohon maaf kepada para sosiologis jika pemerhatian ini tidak segah yang mengikut metodologi kajian akademik, bahawa orang Melayu secara umumnya, begitu fokus kepada sesuatu yang ketara, sama ada apa yang ada di depan mata atau secara pemikiran.
Orang Melayu, apabila mendeskripsi seseorang, sering kita dapati gelaran yang diberi adalah berkait dengan sesuatu yang ketara pada diri orang yang hendak dideskripsikan. Contohnya ialah, ‘botak’ bila mendeskripsi seorang yang berkepala botak, tiada atau kurang rambut. Maka kita dapati gelaran-gelaran sebegini adalah lumrah dalam masyarakat Melayu, seperti ‘Mat Botak’, ‘Mat Bulat’, “Man Kidal’, ‘Minah Jongang’ dan banyak lagi.
Pemerhatian ini ada kaitannya dengan politik orang Melayu yang berfikiran mudah, ‘simple-minded’, atau lebih tepat, dalam dialek Kelantan ‘mudoh bbaso’, iaitu senang dibawa berbincang. Walaupun ini adalah satu konklusi yang sungguh simplisitk, namun, saya percaya banyak benarnya. Contoh paling bersejarah adalah apabila orang Melayu tidak memberontak ganas sewaktu Jus Soli dipaksakan oleh British sebagai syarat untuk merdeka pada tahun 1957.
Karakter sesuatu etnik susah untuk diubah secara menyeluruh, walaupun memang ada orang Melayu yang bersikap terperinci dalam urusan mereka, dan saya percaya keadaan politik orang Melayu hari ini adalah amat berkait dengan ciri ini.
Kesannya, politik orang Melayu hari ini lebih fokus kepada apa yang ada di hadapan mereka, tentang makan minum dan pakai, tentang peluang pekerjaan, tentang projek dan upah sejurus yang dapat dikilas.
Susah untuk membawa mereka berfikir jauh ke hadapan, duduk merancang strategi, atau membuat rencana agung (grand design). Tetapi mereka bijak dalam gerak taktikal, sebagaimana gerak silat, hebat bila rapat.
Namun dalam gerak politik, grand design politik Melayu-Islam tidak kelihatan mengawasi, apa lagi mengawal arus perdana penjanaan kuasa bagi jangka masa panjang.
Kredit foto: MalaysiaKini.com
Aktivisme anak-anak muda hari ini masih tenggelam dalam arus perkembangan teknologi maklumat. Masih belum kelihatan kelibat umpama Tun Abdul Razak yang turut memimpin kemerdekaan negara, menjadi Timbalan Perdana Menteri pada umur 35 tahun, Pengarah Mageran, 47 tahun, dan Perdana Menteri 49 tahun.
Apabila kerajaan memutuskan pada tahun 2019 supaya umur pengundi diturunkan kepada 18 tahun, dan disokong oleh pembangkang ketika itu, sehingga diluluskan di Parlimen secara sebulat suara, saya sangsi ianya dibuat kerana anak muda sudah cukup matang.
Artikel ini adalah tulisan pertama mengenai politik dalam kolum ini, maka tidaklah saya berhasrat mencipta marak sambutan pembaca secara tiba-tiba.
Banyak isu yang saya timbulkan, tetapi tidak ada yang sudah ranum untuk terus dikunyah. Kita simpanlah buah-buah tertentu moga-moga masaknya nanti sesuai dengan angin yang sedang bertiup pada kala itu.