PAS Terengganu pertahan 6 kerusi Parlimen yang dimilikinya
Published bySUASANA politik di negeri Terengganu mula menarik perhatian rakyat negeri ini terutama ahli politik peringkat pertengahan dan ahli parti akar umbi apabila tercetusnya kenyataan pemimpin Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang tegas memperkatakan parti itu akan mempertahankan enam kerusi Parlimen yang telah dimiliki sejak Pilihan Raya Umum (PRU14) 2018 lalu. : OLEH MOHAMMAD ISHAK
Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
SUASANA politik di negeri Terengganu mula menarik perhatian rakyat negeri ini terutama ahli politik peringkat pertengahan dan ahli parti akar umbi apabila tercetusnya kenyataan pemimpin Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang tegas memperkatakan parti itu akan mempertahankan enam kerusi Parlimen yang telah dimiliki sejak Pilihan Raya Umum (PRU-14) 2018 lalu.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar amat memeranjatkan dan melukakan hati pemimpin dan ahli parti yang menjadi rakan dalam ikatan politik Muafakat Nasional (MN) yang dianggap terlalu awal membincangkan perkara tersebut.
Isyarat awal PAS yang ingin mempertahankan enam daripada lapan kerusi Parlimen di Terengganu itu seolah-olah tiada pakatan dalam komponen Perikatan Nasional (PN) Terengganu yang turut dikongsi UMNO dan BERSATU.
Ahmad yang juga Menteri Besar
Terengganu menegaskan sebagai salah sebuah parti yang menjadi komponen kepada
Perikatan Nasional, PAS perlu bijak untuk berdepan dengan pelbagai latar
belakang rakan parti dengan ideologi berbeza.
“Sebagai ketua pasukan perunding yang
akan berunding dengan UMNO dan BERSATU, saya akan memastikan supaya enam kerusi Parlimen kekal milik PAS Terengganu, insya-Allah”, tegasnya.
Mantan Ketua Pengarah Pilihan Raya
PAS itu berkata demikian dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PAS
Kawasan Dungun kali ke 61 di Dewan Terbuka Sekolah Rendah Islam Darul Bayan,
Paka, pada 18 Julai 2020.
Terengganu mempunyai lapan kerusi
Parlimen, enam daripadanya dimenangi PAS, manakala masing-masing satu milik UMNO
dan BERSATU.
Kerusi milik PAS ialah Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman, manakala Besut dan Hulu Terengganu milik UMNO, tetapi kerusi Hulu Terengganu kemudian berpindah menjadi milik BERSATU apabila penyandangnya Datuk Rosol Wahid berpindah kepada BERSATU.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said
Selepas kenyataan Ahmad Samsuri itu menjadi pengetahuan umum ramai penyokong parti UMNO dilihat tidak setuju dengan hasrat PAS tersebut kerana ia seolah-olah tiada pemufakatan berlaku di Terengganu.
Penyokong UMNO menzahirkan luahan menerusi media sosial yang membangkitkan kenyataan pemimpin tertinggi PAS Terengganu itu kerana perkara itu tidak dibincangkan bersama pemimpin tertinggi PN peringkat negeri.
Bagaimanapun, sehingga ini tidak ada seorang pun dalam kalangan pemimpin tertinggi UMNO termasuk Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Said yang mengeluarkan kenyataan balas berhubung isu berkenaan.
“Ahmad yang diketuai ramai seorang
pemimpin tegas, berani dan lantang bersuara belum lagi tampil mempersoalkan isu
berkenaan,” kata Ketua Cawangan UMNO, Rashid Jusoh dari Kuala Besut.
Ketua UMNO Cawangan Gong Kemuntong,
Jertih, Azizul Jasni Mohamad pula berharap isu pengagihan kerusi sama ada
Perlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu dibincang bersama jika ingin
melihat MN di negeri itu kuat dan padu.
Bagaimanapun, kenyataan Ahmad Samsuri
itu hanya menyebut PAS ingin mempertahankan kerusi Parlimen tetapi tidak pula
menyentuh kerusi DUN.
Pada PRU14, PAS menguasai 22 daripada
32 kerusi DUN, manakala 10 dimiliki UMNO, sekali gus membolehkan PAS menjadi kerajaan negeri
bagi kali ketiga.
Mengikut perkiraan pemain politik di
Terengganu pengagihan kerusi amat mudah di negeri tersebut jika dengan kaedah
simple PAS (4) dan UMNO (4) bagi kerusi Parlimen, manakala PAS (16) dan UMNO
(16) untuk kerusi DUN.
Ada yang berpendapat BERSATU tidak
perlu diberikan kerusi di negeri ini kerana parti itu tidak mempunyai cawangan
dan ahli yang ramai.
Apa pun keputusan sebenar pengagihan kerusi di negeri ini perlu mendapat keputusan pemimpin tertinggi MN atau PN peringkat pusat.