Peningkatan kes Covid-19 Mendadak! 177 sekolah Negeri Sembilan ditutup!

Published by
Malaysia Times

PUTRAJAYA – Sebanyak 177 buah sekolah di seluruh daerah Seremban, Negeri Sembilan akan ditutup mulai esok hingga 9 November depan berikutan peningkatan kes Covid-19 di kawasan terbabit yang kini dikategorikan sebagai zon merah.

Keputusan itu selaras dengan perutusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 6 Oktober lalu berhubung keputusan kerajaan untuk menutup sekolah di kawasan-kawasan yang disahkan zon merah oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan berkata, bilangan sekolah terbabit merangkumi sekolah rendah dan menengah di bawah KPM selain institusi pendidikan guru serta sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM.

“Senarai institusi pendidikan yang ditutup di daerah Seremban akan dimuat naik di portal serta platform media sosial rasmi KPM untuk rujukan ibu bapa, penjaga serta warga sekolah dan institusi terbabit,” katanya di sini hari ini.

KPM berkata, sekolah dan institusi yang mempunyai asrama juga ditutup dan ibu bapa serta penjaga perlu mengambil murid yang tinggal di asrama tersebut untuk pulang.

“Bagaimanapun, murid yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau murid yang ingin terus kekal berada di asrama sekolah dan institusi berkaitan sepanjang tempoh penutupan sekolah akan berada di bawah penjagaan warden asrama.

“Keperluan makan dan minum murid sepanjang tempoh tersebut akan disediakan oleh pihak sekolah dan institusi berkenaan,” katanya.

Sementara itu, KPM berkata, murid-murid yang perlu menduduki peperiksaan antarabangsa seperti yang telah dijadualkan sepanjang tempoh penutupan institusi pendidikan perlu mendapatkan surat dari sekolah masing-masing untuk menghadiri peperiksaan.

Dalam hal ini, KPM sentiasa memantau situasi di seluruh negara serta sentiasa bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM.

“Sebarang pemakluman berhubung penutupan sekolah bagi daerah-daerah lain akan dibuat dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam perkembangan sama, KPM berkata, pentadbir sekolah serta semua institusi pendidikan diarah untuk memastikan guru-guru, tenaga pengajar serta murid dan pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah.

“Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi www.moe.gov.my,” katanya. 

Berita dari K! ONLINE

0
0
0
0
0

Copy Link: